Ramadhan menjenguk dengan senyum yang manis. Alhamdulillah, sempat bertemu dengannya lagi kali ini. Diam-diam hati berdoa "Ya ALLAH! Janganlah aku yang hina ini engkau golongkan dalam golongan orang-orang yang kau haramkan Ramadhan untuknya" Moga maghfirah Ramadhan melimpah-ruah, menyimbah nur dalam hati-hati kami.
Bulan Ramadhan membuatkan saya jadi teringat pada emak. Err..bukan bererti di bulan-bulan lain saya lupa tau, cuma Ramadhan dan emak semacam sinonim aje. Saya cuma kagum dengan emak. Macamana emak boleh begitu tegar, bangun pagi-pagi dan masak itu ini untuk kami semua ya? Melengking-lengking bunyi lesung batu emak memecah hening pagi. Menu sahur emak selalunya akan termasuk telur dadar, yang harumnya semerbak memenuhi ruang tamu. Sekadar mahu memancing selera anak-anaknya barangkali. Padahal, kami-kami yang sudah terlebih sihat bagai johan ini tak perlu pun untuk orang berusaha banyak, pasti selera aje. Kemudian, mesti emak gorengkan keropok, buat peneman kopi panas.
Kemudian, emak biasanya akan layan pula kerenah-kerenah kami yang nak makan macam-macam waktu berbuka. Semuanya yang payah-payah pulak tu..masa ni lah ada yang nak makan nasi kerabu lah, bubur lambuk lah, ikan percik lah, cencaru sumbat lah (dan ayah pastinya dengan cendolnya). Aduh, emak..mulianya kamu!
Tadi, sewaktu sedang duduk-duduk, Encik Roomate menyuarakan hasrat hatinya untuk bangun bersahur tahun ini. (Tahun-tahun lepas kami tidur aje sampai orang azan). Katanya, cukup-cukup lah kita berlagak macam orang muda, lebih baik kalau kita kutip setiap satu pahala yang gugur di bulan yang mulia ni...Ya betul, saya setuju. Lalu, dalam berdebar-debar saya bertanya, apa-apa yang hendak kita jadikan menu sahur ya? (dalam hati berdoa : mintak-mintak roti laa). Tapi beliau kata "Nasi. Biar kenyang sampai ke petang" DUH! Tu laa, tanya lagi!
Tapi, saya pun terfikir juga, sampai bila saya nak ngelat bangun sahur ni? Nanti-nanti bila anak-anak dah besar pun nak kena bangun jugak kan? Jadi, lebih baik la kalau saya berlatih mulai sekarang. Lagipun, bukankah kamu mahu jadi isteri mithali wahai Hidayah! Lalu saya setuju. Saya tak mahu dilihat mengalah sebelum mencuba. Relax relax.
Malam ni tidur sampai pagi. Malam besok? Alamak! Nak start dengan apa ya? Saya sudah mula jadi gundah-gulana. Minta-minta Allah kuatkan hati saya. Semoga saya bisa jadi sekuat emak. Ya Allah, permudahkanlah! Amiin...
Saturday, July 30, 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)