Sunday, November 8, 2009

Kerongsang

Baru-baru ni seorang teman bawa lima kotak kerongsang ke sekolah. Kerongsang cantik yang ada macam-macam warna. Saya cukup suka dengan kerongsang bentuk daun paku-pakis. Dah lama saya berkenan tapi sering kali tak berkesempatan untuk membeli. Dua tiga hari sebelum itu, En. Roomate sudah belikan sebentuk kerongsang bentuk daun berwarna oren untuk dipadankan dengan tudung merah bata baru saya. Tapi kerongsang yang En. Roomate beli itu agak besar sedikit daripada kerongsang paku-pakis yang saya berkenan ini. Batu 'permata'nya pun ada sampai dua tiga baris berbanding kerongsang paku-pakis yang sangat ringkas dengan permata cuma sebaris sahaja. Diam-diam saya pasang niat untuk tangkap satu - bila En. Roomate dah masuk kelas nanti.

Belumpun belakang kemeja hitam belang-belang milik En. Roomate hilang dari pandangan, saya sudah sampai di meja 'Ustazah Kerongsang'. Saya tenung-tenung isi setiap kotak walaupun sebenarnya dalam hati pilihan sudah ada - warna putih yang boleh senang-senang dipadankan dengan apa saja. Tiba-tiba, muncul seorang teman - guru lelaki yang baru usai mengajar. Saya dengan santai memanggilnya untuk sama-sama datang melihat sambil bercanda agar dia mengambil satu untuk bakal tunangannya. Tanpa banyak soal dia terus letak buku atas meja dan berjalan ke arah saya sambil tersengih-sengih. Saya cepat-cepat 'sambar' kerongsang paku-pakis warna putih, kemudian berkata " Jat, nah, pilihlah semua cantik-cantik".

Lama betul dia membelek. Lepas satu, satu. Diambil, ditilik, diletak. Ambil lagi, ambil satu yang lain, diadukan berdua, letak semula. Saya memerhati, terasa geli hati juga melihat kekoknya orang lelaki memilih kerongsang. Hai..kalaulah bakal tunangnya lihat betapa sungguh-sungguhnya dia memilih, pasti saja perempuan itu akan pakai kerongsang itu nanti ke mana saja, setiap waktu walau ke bilik air sekalipun!

"Mana satu ni Kak Dayah? Semua cantik ni..tapi saya paling suka yang tu lah." Kerongsang putih saya juga yang dia berkenan.
"Hijau ni la cantik..sesuai dengan orang muda, ungu pun boleh tahan juga. Kenapa tidak yang bentuk rama-rama ni? "
"Bentuk rama-rama saya tak hendak..nanti dia terbang". Saya senyum dengan ungkapannya. Saya faham hati orang sedang bercinta.

Akhirnya dia beli tiga, semuanya bentuk bunga besar, bulat. Cuma warna saja lain-lain.
Amboi..tiga sekali beli..maklumlah sedang sayang..

Selepas dia berlalu, sambil bawa kerongsang-kerongsangnya macam menatang minyak, saya terkilas seorang lagi teman yang baru masuk ke bilik guru dari kelas, kali ini seorang teman yang sudah punya anak tiga.
Apabila saya tawarkan kerongsang untuk dia beli buat hadiah kepada isterinya, tahu dia jawab apa? "Huh, tak payah..kalau dia nak pandai-pandailah beli sendiri!"
Aduhai...

Sunday, November 1, 2009

Rindu kepada rindu

Malam hening yang damai
tatkala diam membungkus diri
aku termenung di jendela kayu
dalam bulan yang cuma tinggal sepertiga
dikelilingi bintang yang malu.
Di kala ini
aku jadi rindu kepada rindu
kerana sampai saat ini
aku sudah tidak bisa merasakannya lagi

Wednesday, October 21, 2009

Dia kembar saya

Adik saya yang nombor dua - Noor Syakirah adalah kembar tak seiras saya. Kalau ada apa-apa onar yang saya buat, dialah yang mula-mula jadi tukang sokong, beri sokongan moral supaya saya tak kena marah. Kalau ada sikit-sikit benda baik yang saya buat pun, dia jugalah yang jadi tukang uar-uar supaya semua orang jadi tahu 'kebaikan' saya. Bukan sedikit rahsia saya yang ada dalam kocek dia tapi saya tahu adik saya yang seorang ini orangnya amanah kalau datang bab menyimpan rahsia, sebab tu lah saya berani kongsi macam-macam dengannya.

Masa mula-mula dulu ayah hendak letak nama Noor Eryani padanya, kata ayah maksudnya 'cahaya pintu syurgaku'. Waktu itu, saya dengan yakinnya mengemukakan hujah bahawa sebaik-baiknya nama anak-anak perempuan ayah semuanya harus berakhir dengan huruf 'h'. Lagipun, kalau saya dipanggil 'ida', asu boleh saja dipanggil 'ila', lantas adik yang baru ini boleh kita panggil 'ira'. Kalau dikenang-kenang, cemerlang jugalah idea saya padahal, waktu itu umur saya baru saja sebelas tahun. Kemudian ayah tanya, mahu letak ejaan 'Sya' atau 'Sha'? Saya kata 'Sya' itu akan kedengaran lebih baik, lantas ayah bertanya : Ada beza ye? Saya jawab ya, sebab ejaan 'Sya' itu lebih islamik. Entah di mana saya kutip idea sebegitu.
Itu cerita dulu. Apabila saya kenang-kenangkan semula, saya fikir sebenarnya ayah cuma mahu menduga saya, meneroka cara fikir saya sebab selepas itu saya lihat ayah senyum panjang. Senyum yang beberapa lama kemudian saya kenal sebagai senyum bangga yang ayah akan beri tiap-tiap kali saya banggakan ayah dengan buah fikiran saya.

Saya ingin sekali agar adik saya yang ini boleh jadi seorang doktor. Dulu, saya mana pernah pandai memasang cita-cita lain selain jadi doktor. Masa saya terima surat tawaran kursus Teknologi Industri dulu saya lihat air muka ayah sangat kecewa. Mula-mula masa ayah koyak sampul surat berlambang harimau dengan pelepah pinang itu wajahnya ceria sekali tapi bila saja ayah baca kursus yang saya dapat, serta-merta wajah ceria ayah bertukar mendung. Lepas tu ayah jadi diam. Saya betul-betul tak tahan kalau ayah sampai jadi diam. Saya lebih rela kalau ayah marah-marah atau sekeh saja kepala saya kalau itu boleh buat ayah rasa lebih puas hati. Tapi ayah seperti selalu, tak akan buat perkara-perkara sebegitu, dan kebisuan ayah itu telah menghukum saya dengan lebih dahsyat. Pun begitu, ayah tetap hantar saya pergi belajar dengan senyuman semangat. Ayah tetap usung beg besar saya sampai berbilur bahunya. Ayah tetap ulang-alik ke universiti tiap-tiap hujung semester. Ayah tetap pastikan saya tidak pernah akan terkurang wang. Ayah tetap ayah. Dan saya akan seumur hidup terhutang budi padanya.

Maka, pada adik saya yang ini, saya sandar harapan setinggi puncak Everest. Saya mahu lihat dia jadi doktor, tabibah pertama dalam keluarga. Saya mahu kembalikan senyum pada wajah ayah. Saya mahu emak rasa berbaloi, menyediakan santapan pagi buat kami adik-beradik seawal sebelum subuh, saat ayam jantan pun masih lena bermimpikan kepuk padi. Saya mahu adik bongsu saya terbakar semangatnya untuk jadi anak lelaki yang berjaya macam kakaknya.
Akhir sekali, kerana semua orang biasa mengatakan bahawa dia kembar saya, maka saya ingin sekali agar dia sambut baton di tangan saya ini dan kemudian terus berlari. Kali ini saya benar-benar harap agar dia dapat berlari sehingga sampai. Saya akan tunggu dia di garisan penamat dengan sorakan yang tak pernah putus-putus. Dengan sejambak ros warna biru dan sebuah patung beruang bereben merah.

Sunday, October 18, 2009

Sepeninggalan kamu...

Hari ini hati saya dibawa pergi. Pukul sepuluh pagi tadi ayah, emak, asu dan adik pulang semula ke Terengganu setelah duduk di rumah saya selama 45 jam. 45 jam yang macam mana tu, wahai mak dan ayah? Yang pasti bagi saya 45 jam yang sangat-sangat bermakna dan sangat-sangat berbekas di hati. Saya akan merindui saat-saat manis kita selama-lamanya. Moga tidak serik kamu semua kembali ke teratak daif saya ya. Oh ya, emak dan ayah juga bawa pulang sebahagian dari diri saya bersama-sama - Aleiya, Si Chantek, Si Pelanduk kecil, yang keletah, yang banyak cakap dan suka menyanyi, yang sejak akhir-akhir ini juga sudah pandai menjadi sangat manja.

Memandang tuala hijau yang baru tadi ayah guna, periuk belanga yang baru kejap-kejap tadi emak susun dan bubur ayam yang emak tinggalkan, hati saya menjadi runtun. Senang-senang saja air mata turun tanpa saya sedar. Wah, kalaulah saya terpilih masuk rancangan Macam-macam Aznil segmen menangis-menangis tu saat ini, tentu saya sudah nangis sebelum saja muzik bermula. Harus selepas itu, mungkin saja saya terus-terus saat itu juga dapat tawaran berlakon drama sebab berjaya menghayati watak dengan sangat cekap sampai mengalahkan artis jemputan yang datang segmen yang sama, tapi cuma dapat menangis dalam masa 4-5 kali lebih lama! Betullah kata si Erni Yusniza, kawan zaman kanak-kanak yang baru saya temui semula baru-baru ni, "Oh, awak ni Hidayah, yang manja sangat dengan ayah tu kan?". Wah, sampai begitu sekali dia label saya dalam sistem fail otak dia. "Erni, ya, betullah tu. Sayalah anak manja ayah tu, dan saya masih saja anak manja ayah sampai sekarang".

Tuala hijau ayah tidak akan terus saya basuh. Saya cadang nak guna dulu sampailah tuala tu menjadi busuk sebab dengan begitu saya rasa dekat dengannya. Malam ni pula saya cadang nak tidur atas bantal yang emak guna, biar saya tidur bermimpikannya. Biar saya rasa hangatnya kasih mereka lama-lama. Saat ini, kalau orang tanya apa yang paling ingin saya buat, saya akan jawab yang saya paling ingin peluk Alexander Graham Bell untuk ciptaannya yang amat cemerlang itu. Kalau kini ciptaan itu masih belum wujud, tak sanggup saya lepaskan mereka pulang pagi tadi!

Tuesday, October 13, 2009

Pensel

Masa sekolah rendah, cikgu selalu puji tulisan saya cantik. Daripada Cikgu Rubiah, cikgu Bahasa Melayu darjah satu sampai Cikgu Muhammad, cikgu Bahasa Melayu darjah enam, semuanya suka 'menghayati keindahan' tulisan tangan saya. Sampaikan Cikgu Muhammad bawa balik ke rumah buku karangan saya, buat contoh kepada anak-anak, katanya. Cikgu Abu Bakar pun sama, tunjuk tulisan saya pada anaknya, Rose Aida Baizura (saya ingat nama anaknya sebab bunyinya cantik sangat).

Sebenarnya, saya cuma tiru tulisan ayah. Tulisan ayah sangat cantik dan sangat kemas. Letak aturnya indah sekali. Itu belum lagi ayah tulis pakai pen dakwat. Kalau tulisan berangkai yang ditulis guna pen dakwat milik ayah, di mana-mana dan sampai bila-bila pun saya akan kenal. Terima kasih ayah kerana sudi mengabadikan tulisan yang cantik itu atas cek hantaran perkahwinan saya. Saya sudah simpan dalam album gambar yang InsyaAllah, akan kekal di situ selamanya.

Masa darjah dua, ayah berkata kepada saya, kalau mahu tulisan kemas dan tak kembang, gunalah pensel picit. Pensel tu tak payah asah, cuma kena masukkan ubat aje. Masa tu, manalah banyak sangat pensel jenis mekanikal dijual di kedai, tambahan kedai seperti Kedai Pok Li, sekadar sebuah kedai runcit kampung. Jadi, ayah janji, lain kali kalau ke Kemaman, ingatkan dia tentang hal pensel picit itu, dia akan belikan.

Selang dua minggu, saya ikut ayah ke bandar Kemaman (saya tak pandai memanggilnya 'Chukai' sebab saya tak pernah diajar memanggil begitu). Saya berkitar di belakang ayah, lama saya berhenti di tempat pensel picit tapi ayah tak pula berkata apa-apa. Saya ambil pensel dan main picit-picit dengan harapan ayah perasan dan kemudian jadi teringat akan janjinya. Tapi sampai sudah, ayah tak perasan sebab terlalu sibuk memilih pen khat untuk pertandingan khat peringkat negeri. Lepas beberapa waktu yang saya rasa amat lama, ayah telengkan kepala yang saya faham sebagai isyarat mengajak pulang. Hah, ini tak boleh jadi! Dipendekkan cerita, akhirnya ayah pilih sebatang pensel Papermate warna merah darah ikan yang sangat cantik. Pensel berharga dua ringgit dua puluh sen itu saya bawa pulang dengan rasa sangat bangga.

Di sekolah, semua kawan-kawan tumpang belek pensel picit saya, tapi saya cuma bagi cuba kepada kawan-kawan yang rapat dengan saya saja, yang lain-lain cuma boleh tengok dari jauh saja. Dalam masa seminggu, boleh dikatakan hampir sepuluh orang kawan-kawan saya sudah punya pensel picit. Cuma, tak ada satu pensel pun yang boleh menandingi kecantikan pensel merah saya. Pada pensel itu, saya tampal sticker gambar 'love' warna merah jambu dan gambar bunga yang ada mata dan mulut.

Suatu petang, sedang saya mengemas beg untuk pulang, saya dapati pensel merah saya hilang! Puas saya mencari, isi beg saya keluarkan dan saya belek satu-satu, saya tunggang keluar segala isi kotak pensel, pensel warna pun saya keluarkan satu-satu, saya tanya pada kawan-kawan, semuanya saya tanya termasuk Cikgu Abu Bakar - ada tak nampak pensel picit merah saya? Tapi sampai sepuluh minit lagi nak balik, pensel tu tetap saya tak dapat jumpa. Saya rasa sangat gelisah, saya rasa sangat bersalah pada ayah, apa-apa yang diajarkan oleh Cikgu Abu Bakar, langsung sudah tidak masuk dalam kepala saya.

Tiba-tiba saya terpandang akan Shahrul Nizam. Shahrul Nizam bin Roslan sedang salin sifir lapan dengan pensel Papermate warna merah darah ikan! Sebaik saja loceng berbunyi, saya terpa Shahrul Nizam, saya rampas pensel merahnya. Dia memandang terkulat-kulat. Saya jerit kuat-kuat, saya kata Shahrul Nizam ambil pensel saya. Ida Afdzan, Suzzila dan Siti Rokiah cepat-cepat 'memberi sokongan moral'. Shahrul Nizam pula mati-mati menafikan. Kasihan juga saya tengok dia waktu itu, tapi saya mana peduli sangat, yang saya tahu, pulang hari ni saya mesti bawa balik pensel picit warna merah, tak kira macam mana caranya. Tak kira saya punya atau tidak.

Waktu saya pegang pensel tu, saya serta-merta tahu itu bukan pensel saya. Sebabnya ada dua, pertama, pensel itu sangat buruk dan ada banyak kesan gigit sedangkan pensel saya masih baru dan kedua tak ada langsung kesan gam sticker pada pensel itu. Walau macamanapun, saat Cikgu Abu Bakar datang terkocoh-kocoh dalam kumpulan budak-budak yang sedang bertengkar itu, saya cepat-cepat reka cerita sambil menangis teresak-esak.

Kesudahannya, cikgu suruh saya pulang dan cikgu pujuk Shahrul Nizam supaya beli saja pensel baru lagipun, pensel itu sudah tak cantik lagi. Saya pulang dengan gembira, sambil menggenggam pensel merah Shahrul Nizam. Lepas mandi malam itu, tiba-tiba baru saya teringat yang saya sebenarnya dah tertinggal pensel picit saya dalam bilik muzik! Aduh, kasihan Si Shahrul Nizam! Sebelum balik tadi, saya lihat dia turut menangis, mungkin dek kerana terkejut dituduh mencuri pensel. Ketika saya kembali ke bilik muzik pada minggu depannya, pensel saya memang betul-betul sudah hilang. Dalam pada itu, hampir seminggu juga Shahrul Nizam tak menegur saya.

Semasa Malam Potpourri, kami murid-murid 2 Intan menari lagu Ramlah Ram - Apa Khabarmu Di Sana. Ada 5 pasangan semuanya. Saya salah seorang daripadanya. Saya pakai gaun biru dan reben segala bagai. Dan saya menari berpasangan dengan Shahrul Nizam. Budak yang penselnya saya 'cilok' dengan jayanya itu.

Ilham di lewat dinihari

Semalam, sedang saya berbual-bual dengan seorang teman tiba-tiba Cik Ilham datang ketuk pintu. Cik Ilham kalau dah datang, tak bolehlah saya pura-pura buat tak endah sebab dia akan ekori saya juga sampailah saya tulis apa yang dibisikkannya ke telinga saya. Bisikannya kali ini berupa sebuah karangan puisi.
Puisi ini tidak ada kena-mengena dengan apa-apa atau siapa-siapa, cuma sebuah untaian kata gubahan rasa daripada seorang perempuan yang biasa-biasa seperti saya.

Duhai angin khabarkanlah

Khabarkan padaku wahai angin
tentang cerita dia
walau mendengarnya bakal memanggang aku dengan api derita
sekurang-kurangnya tidaklah aku terus tertanya-tanya.

Khabarkanlah padaku wahai sang angin
sedang apakah dia
lantaran lisan ini tidak lagi mampu bersabda
ain ini tidak lagi mampu menyapa
dan diri ini tidak lagi mampu bertanya.

Maka, tolonglah kau khabarkan padaku wahai sang angin
di manakah dia gantung hati pemberianku
sudahkah ia kering dipanah terik mentari
atau dingin beku di sejuk dinihari?

Aku merayu agar kau khabarkan padaku duhai angin semilir yang baik hati
di mana hatiku?
agar dapat kujejaki ia
agar dapat kucantum kembali keping-kepingnya
kurawat calar-balarnya
kusapu ubat mujarab pada lukanya
dan supaya dapat kubasuh dengan air telaga biru
sebelum kuisi ia kembali ke dalam dadaku
dada yang kini tidak lebih daripada
sebuah kolong yang kosong.

Semoga ketabahan sentiasa mengiringi insan-insan yang diuji!

Wednesday, October 7, 2009

Tali leher warna merah

1 Ramadhan 1426 bersamaan 5 Oktober 2005 adalah hari bersejarah dalam diari cinta saya dan En. Roomate kerana pada hari inilah saya mula perasan bahawa hati saya telah dicuri olehnya - pencuri hati kelas satu yang cekapnya mengalahkan En. Zorro lagi. Di Pantai Teluk Ketapang hati saya dilarikannya dan sampai kini, hati saya tetap saja menjadi miliknya.
Waktu itu, dalam malu-malu dia minta untuk memandu Kancil perak saya dan kami tidak pula terus-terus pulang ke rumah selepas habis kerja sebagaimana layaknya perempuan-perempuan baik lain lakukan. Hari itu, saya langgar prinsip Perempuan Melayu Terakhir saya dengan membiarkan saja dirinya mambawa saya pusing-pusing makan angin di pantai. Sungguh kena benar konotasi pantai dengan hati yang telah jatuh kasih!
Merenung dia yang cekap memandu (padahal pernah dia mengaku tak pandai bawa kereta) membuatkan saya berfikir dua kali tentang dia - tentang banyaknya yang saya tidak tahu tentang dia, tentang dia yang terlalu budiman dan merendah diri (sehinggakan saya yang menumpangkan dia selama ini tergamak dengan berlagaknya menunjuk-nunjuk skil memandu saya yang kononnya sangat hebat padahal entah apa-apa itu untuk membuatkan dia kagum. Maklumlah, mati-mati selama ini saya percaya yang saya sedang membawa orang tak pandai memandu di sebelah, jadi senang-senang saya 'kapurkan' dia tentang jalan pintas dan macam-macam lagi. Di kebanyakan masa, dia cuma senyum dan angguk..Wahh..sangat maluuu!!)
Apapun, jika hendak diceritakan kisah ini, nescaya sampai bila-bila pun tak akan pernah selesai. Tentang tali leher merah menyala dan cinta yang sama merahnya membakar dalam senyum yang penuh rahsia dan makna.

Nyiur gading puncak mahligai
buat ketupat berisi inti
hancur daging tulang berkecai
kasih sayang sampai ke mati

Cinta Si Burung Bulbul

EK THA GUL AUR EK THI BULBUL DONO CHAMAN - Related Indian Videos, Bollywood Videos - utube.smashits.com

Shared via AddThis

Sedang memerhati perjalanan Peperiksaan PMR pagi tadi, hati teringat tentang kisah burung bulbul. Tentang bagaimana seekor burung bulbul yang setia akhirnya mati bersama kekasihnya dalam dingin musim sejuk yang membeku. Burung bulbul yang memilih maut daripada berpisah dengan cinta hatinya. Di akhir lagu En. Shaashi Kapoor a.k.a Mr. Raja berpesan : Jika suatu hari kamu ditakdirkan bercinta, jadilah setia seperti burung bulbul...

(Sila klik pautan di atas untuk menonton video lagu yang dimaksudkan. Terima kasih)

Monday, October 5, 2009

Kisah Si Chantek

Rumah kecil saya sememangnya serba sederhana. Sekecil-kecil saiznya pun, bila datang bab mengemas, boleh patah juga pinggang saya. Nak-nak pula kalau saya mengemas di satu ruang, sedang En. Roomate pula 'membantu' Si Pelanduk Nakal 'mengatur' mainan-mainannya satu-satu atas lantai, atas almari, celah rak DVD dan bawah meja komputer. Manalah Gunung Vesuvius tak meletup kalau begitu.

Hari minggu adalah hari yang terlebih sibuk bagi saya (dan terlebih rehat bagi yang berbahagia En. Roomate dan anak perempuannya). Masa tu lah Aleiya mahu cuba teknik baru mewarna lantai dengan krayon dan En. Roomate pula tolong hulurkan krayon satu-satu kepada Si Pelanduk yang tersenyum lebar sampai telinga. "Oh sayang, dia tak mahu lukis atas kertas, tak apalah, nanti tolong lapkan saja ye"
Sabar. Sabar. Sabar.

Pukul 5.30 petang saya dah tak tahan panas. Saya capai tuala dan menapak ke bilik air. Saya berkira-kira mahu mandi sepuas-puasnya. Mandi dari air kolah yang sejuk macam air peti sebab hujan malam tadi. Saya mandi sambil menyanyi kecil. Bila tubuh sudah sejuk, hati timbul rasa menyesal sebab memasamkan muka kepada 'anak beranak gembira' di luar tadi. Tak apalah, lepas mandi nanti mama akan goreng keropok dan nugget ikan untuk kamu sebagai tanda damai.

Keluar dari bilik air, saya senyum siap-siap untuk menyambut pandangan Aleiya dan papanya. Tetapi alangkah terkejutnya hati apabila melihat En. Roomate sedang terbongkok-bongkok memasukkan anak kunci dalam tombol pintu bilik. Untuk makluman, En. Roomate selalu saja bersungut tentang bilik kami yang ketiadaan anak kunci - hilang sejak mula-mula kami duduk di sini. Katanya, kalaulah Si Aleiya masuk dan tertekan kunci kemudian hempas pintu, pasti saja dia akan terkurung sebab dia mana pandai lagi pulas tombol pintu. Saya pandang keliling, Aleiya tiada. Sah!

"Aiyya kat dalam" En. Roomate tunjuk muka serius.
"Dah dekat 20 minit dah" Ahhh sudahh..kepala saya mula memutarkan imej bukan-bukan. Tuala hampir saja terloroh.
"Kenapa senyap aje??" Saya guna not panik.
"Itu yang risau tu". En. Roomate terus hogeh pintu.
Saya dah hampir menangis. Chantek!!!
Macam mana kalau dia telan ubat nyamuk? Macam mana kalau dia main dengan gunting? Macam mana kalau kepalanya terhentak sebab jatuh katil? Oh Tuhan, janganlah...

"Aiyya?? Aiyya? Anak mama??
Tiba-tiba, saya lihat wajah En. Roomate berubah riak. Beberapa detik kemudian, dia ketawa terbahak-bahak. Otak saya tak dapat menaakul. Saya bingung.
"Aleiya ikut Kak Syam lah, dia nak pergi main lompat-lompat dengan Si Ayu"
Hah? Apakah?

Saya jeling tajam En. Roomate yang masih ketawa dengan gembiranya. Saya masuk, tutup pintu rapat-rapat dan menangis semahu-mahunya. Lepas menangis, saya berfikir..kenapa ya saya menangis walaupun saya tidaklah marah sangatpun pada En. Roomate dengan lawak antarabangsanya tu. Kemudian saya sedar, saya menangis sebab saya sayangkan Si Pelanduk dengan sangat banyak. Si Pelanduk kecil dengan hobi barunya - main lompat-lompat dengan anak jiran sebelah atas pad bermuzik.

Saturday, September 26, 2009

Budak kecil di ujung padang

Petang tadi saya lalu di jalan kecil tepi Asrama Puteri SMKA Sheikh Abdul Malek. Bukan sekali ini baru saya lalu di jalan kecil itu, boleh dikatakan sepanjang cuti raya kali ini, tiap-tiap hari saya masuk jalan kecil itu - jalan ke rumah Mok. Selalu, Encik Roomate akan jadi terlebih suka untuk masuk ke jalan kecil ini, maklumlah tempat jatuh lagikan dikenang! Dia akan parkir kereta elok-elok di bawah teduhan pokok rambai depan Kedai Ang (atau macam tu la lebih kurang bunyi sebutannya. Untuk pengetahuan, tuan punya kedai kecil berdinding papan ini adalah seorang perempuan Melayu dan bukannya mana-mana Ang Siong Lai atau apa). Daripada depan kedai, saya akan kelek beg merah Aleiya berserta macam-macam buah tangan untuk Mok - separuh daripadanya adalah usaha 'murni' saya untuk mengambil hati Mok sebab saya culas sedikit bila datang bab bermalam di rumahnya. Bukan kerana apa, sebabnya kerana saya kurang pandai memasak jadi saya tak mahu Mok sampai jadi risau memikirkan apa yang saya beri anak kesayangannya makan nanti.

Sebelum-sebelum ini, saya tak pernah pula berpaling ke arah asrama itu. Tak seperti petang tadi. Petang tadi saya bukan sekadar berpaling sepintas lalu, saya melihat dan hati saya jadi terkenang akan sesuatu.

Saya mana pernah suka duduk di asrama, tapi ayah suruh juga saya duduk asrama demi untuk mengajar saya bagaimana susahnya untuk menjadi dewasa. Dalam tempoh sehari ayah tinggalkan saya di asrama, macam-macam perkara sudah terjadi. Elok-elok saja saya selesai mengemas kain baju (dengan air mata berjejeran), saya terkesan setompok warna perang atas cadar putih tempat saya duduk tadi. Dan itulah kali pertama saya dikunjungi 'kawan' yang selepas itu terus setia tanpa mungkir mengunjungi saya tiap-tiap bulan sampai sekarang. Saya masih ingat macamana saya reka-reka cipta cara pakainya alas putih pemberian Fatini. (Terima kasih tak terhingga untuk kamu, semoga sejahtera). Hampir empat hari saya asyik minta saja dari Fatini tanpa terfikir untuk mencari alternatif untuk tidak menyusahkan dia, tetapi gadis 13 tahun sepolos saya..sememangnya hampir saja tidak tahu apa-apa tentang dunia selain lingkungan keluarga yang selama ini sentiasa di sisi. Hari kelima, ayah dan emak datang bawa macam-macam makanan, tapi kesudahannya saya ikut pulang ke rumah dengan berulang-alik ke sekolah selama dua hari.

Suatu petang, semasa saya sedang termenung di langkan asrama, merenung kereta lalu lalang (dan berdoa untuk terpandang kelibat Proton Saga merah ayah memberi isyarat belok ke kanan) saya lihat seorang budak perempuan sedang memaut tembok batu langkan asrama sambil menarik dirinya ke depan dan ke belakang. Lama juga saya perhatikan budak perempuan bertubuh kecil dan berkaca mata bingkai plastik warna hitam itu bermain seorang diri sebelum saya mengambil keputusan untuk pergi menegurnya. Itulah detik perkenalan saya dengan Nurhayu yang kemudian sama-sama mewarnai alam persekolahan saya selama 5 tahun di SHAMS. (Nurhayu sekarang masih lagi seorang sahabat akrab, sedang melanjutkan pelajaran di Perth dalam bidang pergigian). Nurhayu cuma bertahan di asrama kurang sebulan, meninggalkan saya kembali sepi.

Untuk mengisi masa senggang, saya sentiasa berdiri di langkan. Saya lihat rumah-rumah kayu berjajaran di seberang jalan kecil di kiri asrama. Saya terbayang, alangkah indahnya kalau dapat berlari-lari macam budak-budak lelaki yang sedang kejar-mengejar di keliling rumah. Saya selalu saja melihat sekumpulan budak lelaki bermain-main di tepi parit depan sekolah kalau tidak bermain bola di padang sekolah rendah nun di depan sana. Asyik sungguh saya melihat budak-budak itu kejar-mengejar saban petang, macam tak ada masalah langsung!

Masa tu, manalah saya tahu yang suatu hari nanti saya akan pulang beraya di rumah kayu di seberang jalan kiri asrama. Dan kalau bukan Encik Roomate suatu hari 'terbercerita' tentang hobinya masa kanak-kanak yang suka sangat main-main di parit depan sekolah dan tiap-tiap petang jadi striker di padang sekolah rendah, manalah saya akan pernah tahu yang saya sebenarnya selalu saja memerhatikannya saban petang dari langkan asrama bercat biru itu!

Friday, September 25, 2009

Saya pada Anas

Sebelum cuti raya, sekolah buat Peperiksaan Percubaan PMR. Macam biasa, saya masuk kelas Tingkatan 3 yang saya ajar sambil bawa kertas soalan Geografi. Lepas bahagi-bahagikan kertas soalan dan jawapan OMR, saya duduk di meja guru sambil baca novel yang saya pinjam dari seorang teman. (Novel yang saya pinjam semata-mata untuk mengambil hati teman yang suka benar ajak saya bertukar-tukar novel, padahal pada saya, citarasa kami berbeza macam langit dengan bumi!). Dalam kantuk, sempat juga saya baca empat bab sebelum saya tutup dan mengalah.

Duduk di baris paling depan, betul-betul depan meja guru ialah Anas, budak lelaki yang dilucutkan dari jawatan pengawas gara-gara sikapnya yang gemar bergaul dengan budak-budak nakal dan selalu lewat datang sekolah. Saya senyum sekilas pada Anas yang asyik menghitamkan jawapan pada kertas OMR. Tiba-tiba dia membongkok ke depan. Dengan suara separuh berbisik, Anas tanya saya jawapan bagi soalan nombor dua puluh tiga. Saya ambil kertas soalan lebih atas meja guru dan buka muka surat yang ada soalan nombor dua puluh tiga - soalan tentang Sungai Lena dan Yenessey. Saya sentiasa suka bab-bab belakang dalam Geografi. Bab yang banyak mengajar tentang alam dan rahsianya. Saya beri saja jawapannya pada Anas yang kelihatan sangat suka. Setelah meronda seketika, saya kembali duduk di meja sambil pura-pura membaca.

Lima belas minit sebelum tamat waktu, saya lihat Anas curi-curi buat sesuatu. Walau bagaimanapun, saya diam saja. Rancangannya, saya akan dekati dia dari arah belakang dalam keadaan dia tidak sedar. Mungkin Anas sedang meniru, sebab tu dia selalu jeling ke arah saya. Dua minggu lepas, saya tangkap Anas sedang baca komik yang di dalamnya ada lukisan kartun ala porno dengan bahasa sedikit lucah. Pun begitu, saya lepaskan Anas kerana mengambil kira dia baru saja kena lucut jawatan. Saya cuma suruh Anas simpan dan jangan bawa lagi komik itu datang sekolah.

Lima minit sebelum masa saya tamat, saya bangun meronda dan saya rapati Anas dari arah belakang seperti yang saya rencanakan. Pada kertas kosong di belakang kertas soalan, Anas lukis gambar seorang perempuan yang sedang duduk sambil membaca. Perempuan itu berbaju kurung, bertudung dan berkaca mata. Perempuan itu saya sangat kenal. Perempuan itu adalah saya. Dan Anas telah berbaik hati dengan melukis gambar saya lebih cantik daripada yang sepatutnya- saya pada kaca mata seorang Anas.

Hijab Kekasih II ~ Mengintai dia dari tirai kamar

Mengintai dari balik tirai yang tersembunyi
menyingkap hijab yang padanya terlindung sekeping hati
menerka maksud dalam indah bait-bait puisi
menebak dalamnya isi sanubari
mungkin khilaf dalam tafsiran
mungkin kabur dalam pandangan
mungkin salah dalam tanggapan
atau mungkin juga segalanya benar bagai anggaran

Syawal 1430 menyaksikan terpaterinya hati-hati adik-adik saya. Sungguh benar, mencintai dia yang dicinta di dalam hati adalah suatu hal yang besar, namun untuk mengakuinya dengan lisan adalah suatu hal lain yang jauh lebih besar..dan bagi dia menyambut dan memulangkan rasa yang sama itu adalah anugerah tertinggi yang tak terhinggakan.
Semoga rasa yang tumbuh sentiasa mekar dan semoga janji yang terpateri membawa kamu ke hala tuju yang kamu berdua inginkan. Amin.
(Sesungguhnya Allah s.w.t. sentiasa memberikan yang terbaik buat sekalian hamba-Nya dan andai sesuatu yang kamu pinta dengan bersungguh-sungguh itu tiada dikabulkan-Nya, maka yakinlah bahawa perkara tersebut bukanlah yang terbaik untukmu - Wallahu a'lam)

Wednesday, August 26, 2009

Cik Ilham yang datang dan pergi sesuka hati

Ilham itu datang macam hujan..kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai, kadang-kadang kemarau panjang. Dan bila saja ia datang, saya kena cepat-cepat menghadap laptop, atau kertas kosong, paling tidak pun buku catatan kecil yang saya selalu simpan dalam tas tangan. Kalau tidak, hati saya jadi tak senang, macam ada tugas yang tak tertunai.

Malam ini, Cik Ilham datang lagi, menderu macam air terjun di Sekayu. Tapi, nampaknya saya kena mengajar hati untuk bersabar, sebab malam dah semakin tua dan esok saya perlu bangun awal. Jadi, sabar dulu ya.

Wednesday, July 29, 2009

Hijab Kekasih (Catatan kecil buat seorang sahabat)

Harus bagaimanakah perlu saya mulakan ye...sebetulnya, saya ingin sekali berbicara soal kasih, berkongsi sudut pandang dan perspektif dalam melihat dunia cinta dari kaca mata seorang perempuan yang sudahpun memiliki cintanya. Moga-moga catatan kecil dari hati ini mampu menjadi dian yang menerangi...

Cinta,
cinta itu pohon kayu
cinta itu dian
cinta itu api
cinta itu penawar kepada racun, yang juga bernama cinta...
...cinta itu ubat segala neka.

Ayuhai,
bukan cintalah namanya andai ia tiada tumbuh
bukan cintalah namanya andai ia tiada membakar diri
bukan cintalah namanya andai ia dingin dan sepi
bukanlah ia itu cinta jika ia tidak mampu menyembuhi

Hijab seorang kekasih sewajarnya bisa disingkap..dan cinta itu seharusnya ada wajahnya..
Wallahua'lam

Menghilang tahun kutahan dahaga
setelah habis madah untuk sang puteri
pautan kasih ku kenal sendiri
teringin ku melihat sebalik hijabmu
wajah yang kupuja - M. Nasir

Peristiwa Hujan Lebat

Hujan. Hujan tidak semestinya sentiasa membawa konotasi yang buruk. Seringnya, hujan mudah-mudah saja dikaitkan dengan rasa sendu, syahdu, pilu, sayu dan air mata. Walaupun, melayan sayunya rasa putus kasih di tengah malam dalam deruan hujan yang mencurah terasa 'kena' sekali (seolah-olah alam dan seluruh isinya pun turut sama meratapi sebuah kasih yang tak jadi), hujan kadang-kadang itu bisa saja membawa cerita bahagia.
Contohnya seperti pagi ini..

Sejak kelmarin lagi saya dan En. Roomate telah bersepakat untuk memberi 'bahu dingin' dan 'rawatan senyap' kepada satu sama lain. Mungkin sebab dah lama benar bertukar cerita dalam gelak ketawa, terasa ingin pula menukar angin. Maklum, kami memang anti pada hidup yang monotonus - tak mencabar! Pagi ini, saya bangun daripada tidur yang tak berapa aman (macam-macam mimpi bercampur-aduk, lazimnya begitu jika ada krisis dengan En. Roomate). Pusing kanan, nampak dia sedang lena. Ah! Biarkan..hari ni sehari lagi, esok baru tegur.

Rancangan : Saya ke tempat mesyuarat dengan kereta. En. Roomate naik saja motor kapcainya. Aleiya, biar dia uruskan. Saya akan buat-buat bodoh dan keluar rumah dengan muka ala-ala selamba badak.

Apa yang terjadi : Hujan turun. Lebat bagai.

...Jadi, harusnya bagaimana? Siapa yang perlu beralah untuk berunding?...
(Untuk rekod, saya tidak boleh dicap keras kepala sebab malam tadi saya sudah SMS mintak maaf tapi En. Roomate buat 'donno' aje)
Saya yang berhati mulia ni akhirnya membuat keputusan untuk memulakan misi mencabar itu.

Saya : Hujan pulak
En. Roomate : ...diam..
Saya : (adusss..dia ni memang la..) Naik motor kang basah pulak
En. Roomate : Kena naik keta jugaklah nampaknya
Saya : (huh, jawab pun)
Saya : Nah, kunci

(Senyap)

En. Roomate : Uh, maaf pasal semalam
Saya : Pasal apa pulak abang nak mintak maaf? (Penggunaan kata ganti nama yang pertama untuk hari ini). Rasanya Ida yang salah. (Penggunaan kata ganti nama kedua, nada tegas dibuang, ganti dengan nada yang lebih rendah)
En. Roomate : (Senyum) Boleh ke Ida drive hujan-hujan lebat ni, ke nak abang hantar? (Pengiyaan kata ganti nama yang membawa maksud perjanjian damai sudahpun termeterai)
Saya : Abang hantarlah (nada lebih lunak)
En. Roomate : Emm..iyelah. Nanti abang call sekolah cakap masuk lambat sikit hari ni..

Sebelum turun, saya salam tangannya dan kucup pipinya. Dia balas dengan mesra, dua-dua belah pipi dan dahi. Nah, siapa kata hujan sentiasa membawa berita hiba. Bukankah hujan itu rahmat buat sekalian alam? ;-)

Sunday, July 26, 2009

Kalimah Keramat Itu..

Tempatnya, Giant Batu Caves. Hari Ahad, 26 Julai 2009. Pukul 9.17 malam.
Saya sedang selak halaman-halaman majalah apabila tiba-tiba saya dengar kalimah itu dari mulut mungil Aleiya. Si Chantek yang ketelah macam pelanduk kecil. (Saya selalu juga panggil dia dengan panggilan Chantek. Bukan kerana saya perasan dia cantik sangat - walaupun sebagai seorang ibu saya kerapnya tidak boleh lari daripada memberikan pertimbangan yang berat sebelah begitu, cuma saya yakin sekali bahawa kata-kata seorang ibu itu adalah doa. Moga-moga dia cantik di mata semua orang daripada segala segi kelak).

Bukan baru sekali ini dia menyebut 'mama'. Memang sudah berkali-kali. Tetapi semalam, dia telah memanggilnya dengan nada menyeru. Merah-merah mukanya menjerit, mamanggil sungguh-sungguh. Dan apabila saja saya pandang ke arahnya dia senyum panjang semacam puas hati kerana panggilannya bersahut. Saat itu, hati saya terasa kembang sekali.

Dulu, saya ni bukanlah spesies anak dara yang suka sangat pada kanak-kanak. Saya cuma pernah dukung adik-adik saya sahaja. Anak-anak orang lain, entahlah..tak pernah pula berjaya menarik minat saya. Kadang-kadang saya cuma menegur untuk sekadar menegur. (Sehinggakan saya pernah berasa bahawa perempuan yang tidak jujur menyukai kanak-kanak tetapi pura-pura menunjukkan minat amat terhadap mereka sebenarnya hanya ingin menarik minat para lelaki sahaja - seolah-olahnya berkata "saya calon yang sesuai kerana saya sukakan anak-anak dan saya pandai melayani mereka. Jadi, silalah pilih saya"). Hmm..jika dikira, dangkal jugalah konklusi yang saya buat kerana saya tidak pernah mengambil kira sifat keibuan semulacipta yang mungkin benar-benar wujud dalam hati mereka. Hanya kerana saya tidak berjiwa ibu, saya tidak berhak menafikan hak perempuan-perempuan lain yang memang sudah berjiwa ibu walaupun mereka masih belum menjadi ibu. Ah saya! Kadang-kadang bisa menjadi begitu ekstremis. Cuma apa yang ingin saya katakan di sini, adalah bagaimana si kecil Aleiya, dengan matanya yang bercahaya macam bintang timur itu, telah merubah pandangan saya terhadap dunia, dan seluruh isinya.

Terima kasih Chantek, yang telah menjadikan mama seorang perempuan yang lebih lunak jiwanya.
Dan terima kasih daun keladi buat Abang, yang telah memberi ruang dan peluang..

Thursday, July 23, 2009

Catatan Buat Su

Semasa kecil, saya sangat teringin untuk punya basikal sendiri. Akhirnya, ayah belikan saya sebuah basikal beroda empat yang berwarna oren campur putih susu. Cantik sangat. Ada loceng warna kuning yang berbunyi 'trrett..trrett' dan mengeluarkan cahaya merah apabila ditekan atas hendal kanan basikal itu. Roda kecil di belakangnya warna hitam-putih dan dua tayarnya yang lebih besar adalah 'tayar mati'. Saya tak pernah pula dengar istilah 'tayar mati' sebelum ni, rupa-rupanya tayar basikal pun ada yang hidup dan ada yang mati! Kemudian barulah ayah beritahu saya bahawa tayar mati maknanya kita tak perlu isikannya dengan angin, tak payah pam. Oh, begitu rupanya...

Pulang ke Kelantan untuk beraya, rupa-rupanya sepupu saya, Nasiha pun baru saja dibelikan sebuah basikal biru oleh abahnya. (Adik Na, lama betul Along tak dengar berita dari kamu..) Saya pun, macam la tak pernah tengok basikal seumur hidup, terus melompat naik atas basikalnya yang baru sampai dari kedai sebaik saja dipelawa oleh abah. Riuh sekampung Adik Na menangis melihat saya enak-enak pusing-pusing dengan basikal barunya. Akhirnya emak pujuk saya kembalikan basikalnya. Saya bagi balik basikalnya dengan muncung panjang sejengkal.."huh, kedekut habis, tak sukalah main dengan dia, kalaulah ada adik..." Tika itu saya sedar, benda yang lebih menarik daripada sebuah basikal adalah seorang adik.

Balik ke Johor, Lina, jiran sebelah rumah saya yang punya anak patung besar berbaju gaun pun menangis bila emaknya unjukkan anak patung barunya untuk saya cuba dukung. Lina rampas balik anak patung tidak berambutnya itu dan saya menangis pulang ke rumah. Sedih, sebab terlepas peluang mendukung anak patungnya. Huh! Saya cuma mahu pinjamlah!
Ayah peluk saya erat-erat sambil berkata, " Nanti kalau Ida dah ada adik, Ida jangan lagi main dengan Lina. Ida main dengan adiiiik saja". Saya angguk. Dalam hati, "Awak tunggulah nanti Lina, bila saya dah dapat adik, saya tak akan main dengan awak lagi!" (Tak lama kemudian, ayah belikan anak patung yang boleh menangis, pejam-celik dan panggil mama. Anak patung berambut coklat tu kemudian saya namakan Ayu).

23 Julai 1984. Saya pamit emak yang masih ditahan di tangga berpusing wad bersalin HBSA sebab dah masuk dua minggu tapi emak masih juga belum mahu bersalin. Sebelum balik ayah suruh saya bisik dekat perut emak.."Adik, cepatlah keluar..kakak nak ajak main-main". Saya bisik sungguh-sungguh sebab saya percaya sungguh-sungguh bahawa adik dengar apa yang saya bisikkan.

24 Julai 1984. Saya dan ayah bawa emak dan adik balik dengan Mazda biru Pakcik Hidzir. Sungguh, saya tengok dialah bayi yang paling comel di dunia. Saya kata, "Adik kecik-kecik mak bungkus.." apabila tengok dia terbedung kemas dengan kain lampin. Sepanjang jalan pulang dia asyik pejam saja dan saya tak jemu-jemu memerhatikannya.

Petang itu, ayah suruh saya pilih nama adik : Noor Adilah atau Noor Akmal? Saya kira Noor Adilah kedengaran lebih manis. Saya jerit dekat ayah yang sudah sekerat jalan ke jalan besar dengan Vespa birunya, "Ayah!! Jangan lupa, Noor Adilah yee". Ayah angkat tangan dan angguk kemudian pergi. Masa tu saya tak tahu ayah pergi ke mana, bila difikirkan semula, sudah tentu ayah ke Pejabat Pendaftaran kalau tidak ke Balai Polis.

Jadi begitulah. Noor Adilah. Adik saya yang pertama. Teman, rakan, sahabat, saudara. Saya tidak pandai untuk menjadi lebih puitis lagi, tapi saya tak pernah bohong apabila saya katakan, dialah sahabat yang paling agung yang pernah saya ada. Selamat Hari Ulangtahun ke-25. Begitu cepatnya masa!

Sunday, July 19, 2009

Tentang aktiviti rahsia saya

1.15 tengahari..Sewaktu semua cikgu berkumpul ramai-ramai di bilik guru, meraikan tamatnya detik 1.10 di mana dengan rasminya (dan secara teknikalnya) kami semua bebas dari tugas dan tanggungjawab seharian..di celah-celah cikgu-cikgu yang sedang merasa kuih raya dan mengirai kain dan tudung yang ada dalam segala bagai, saya mengintai dia.

Dia sedang ketawa bersama-sama rakan-rakan guru lelakinya, dan dia kelihatan amat manis. Saya jadi teringat pertama kali saya jatuh hati padanya. Saya tak pernah silap dalam memilih dia.

Monday, July 13, 2009

Tentang malam, bas ekspres dan roti telur

Semasa saya masih belajar di Minden dulu, sebahagian daripada kegembiraan pulang bercuti ke kampung adalah perjalanan pulang itu sendiri. Kerapkali, saya pulang sendirian saja. Mungkin dek kerana saya tidak banyak gaul, sudahnya saya sering saja sendirian. Anehnya, saya semacam sangat menghargai 'kebersendirian' itu kerana bagi saya dalam kesunyian, sering ada keindahan. Keindahan tidak pernah saya temui dengan berbicara bersama teman sebelah dalam 8 jam perjalanan bas ekspres Pulau Pinang-Kuala Terengganu. "Alone, but never lonely" saya ucap dalam hati sambil senyum seorang. Akhirnya, saya terima hakikat keinginan hati saya yang paling dalam dan untuk itu, saya beri seribu alasan setiap kali dipelawa pulang bersama-sama oleh sebilangan kecil kawan-kawan yang saya ada.

Sendirian bersandar di kerusi bas yang kerapkali saja rosak (seingat saya jarang benar saya dapat kerusi bas yang tidak rosak), apa yang paling saya tunggu-tunggu adalah setelah bas selesai berhenti di hentian terakhirnya untuk mengambil penumpang, Perhentian Bas Sungai Petani - kerana saya sudah boleh enak-enak mengelamun tanpa ada gangguan daripada orang yang naik-turun lagi, juga tanpa lagi diganggu lampu yang kejap padam, kejap nyala dek kerana bas berhenti mengambil penumpang (yang akan melingas mencari nombor tempat duduknya sehingga saya rasa rimas betul). Kenapalah mesti naik di tengah jalan?

Selepas habis penyeksaan itu semua, barulah saya 'ditinggalkan sendirian' bagi menjalankan hobi saya. Saya paling suka melihat malam. Teringat saya pada filem Melayu lama, Dayang Senandung - sewaktu putera raja terpandang wajah Dayang Senandung yang hitam legam, dia pimpin tangan isterinya itu dengan lembut ke jendela istana sambil berkata "Cuba adinda lihat malam yang gelap gelita ini. Walaupun gelap, malam tetap indah dengan bulan dan bintang-bintang.." Aduhai..budiman sungguhlah putera raja dalam cerita itu. Walaupun isterinya berwajah hodoh, tetap baginda kasihi isterinya itu sungguh-sungguh. Kalaulah lelaki benar-benar begitu..ini tidak, demi dilihat saja wajah isteri yang kurang elok, di malam pertama pula, mahu dia terjun tingkap, cabut lari, tak balik-balik lagi agaknya. Hai..apa-apalah.

Berbalik kepada kisah saya tadi, saya jadi mudah jatuh cinta dengan malam. Melihat malam dari kelam jalan berbukit-bukau di Lebuhraya Timur-Barat. Melihat pemandangan Hutan Belum yang penuh misteri. Mengkagumi tingginya Bukit Kelian Intan, merasakan dinginnya angin malam yang berhembus di Dataran Rabwah. Sambil melihat bintang-bintang yang bertaburan macam intan terpilih. Kadang-kadang, jika nasib saya cukup baik, saya juga akan dapat menatap ayunya wajah bulan. Acap kali, saya nikmati ini semua sambil makan roti telur dari kedai mamak depan universiti yang dah saya tapau siap-siap sebelum naik bas. Roti telur saya makan sorang-sorang dalam gelap. Satu kelebihan kembara sendirian : Anda tak perlu pelawa sesiapa makan bersama anda. Tak perlu berbasa-basi. Anda cuma perlu buka bungkusan dan makan dengan muka penuh selamba. Tika bermesraan dengan alam itulah juga otak saya yang terlebih kreatif ini akan mula mereka itu dan ini..macam-macam!

Suatu ketika, sedang saya duduk sorang-sorang macam biasa, di Sungai Petani naik seorang lelaki muda. Setelah terhendap-hendap mencari nombor tempat duduk, dia duduk di sebelah saya. (Aduh..bikin rosak saja!). Dia perkenalkan namanya - entahlah, saya benar-benar sudah lupa, sejak saya mengahwini En. Roomate, hanya namanya sajalah yang ada dalam register otak saya. Saya tak pernah membohonginya apabila saya kata dialah yang pertama dan dialah juga yang terakhir..moga diizinkan Allah. Lelaki itu pelatih Pembantu Perubatan di Kolej Kesihatan Batu Rakit, orang Kuala Ketil. Menurutnya, rumahnya betul-betul di belakang Balai Polis Kuala Ketil. Hampir sepanjang malam kami berbicara tanpa henti. Agak terharu juga saya apabila dia bersusah-payah turun belikan minyak angin di Bukit Bunga apabila lihat penyakit mabuk bas saya mula datang. Menjelang fajar, lelaki itu dengan beraninya mengaku sukakan saya dan ingin ketemu ibu bapa saya. Saya tolak hasrat baiknya dengan baik juga. Saya memang belum ada siapa-siapa waktu itu, tapi sememangnya belum sedia untuk siapa-siapa sekalipun. Tapi kenapa ya, saya cerita kisah ini di sini? Kerana, untuk rekod, itulah kali pertamanya saya tak dapat nak makan roti telur saya walau secubitpun! Pagi itu, saya kata pada mak, " Nah mak, along teringat mak suka makan roti telur, ni along belikan, dari Pulau Pinang lagi!"

Monday, June 22, 2009

Hati tertinggal di Titiwangsa

Barangkali entri saya kali ini agak berlainan daripada yang sudah-sudah kerana ia telah ditulis di altitud 1500m dari aras laut. Malam di Tanah Tinggi Cameron. Cuaca agak dingin dengan suhu saya kira sekitar 260C - sekurang-kurangnya jauh lebih dingin daripada suhu di Lembah Kelang. Suasana sepi sungguh. Kalau bukan dek kerana bunyi klik-klik daripada papan kekunci notebook HP saya, langsung tiada bunyi lain yang dapat ditangkap oleh telinga, barangkali kerana waktu yang telah menginjak 1.20 pagi menyebabkan semua penghuni tanah tinggi ini 'menarik diri' daripada sebarang aktiviti.
Mengenangkan saya yang sebenarnya sedang tercampak di salah satu puncak di Banjaran Titiwangsa yang gah itu, di tengah-tengah rimba belantara yang saya kira semestinya penuh dengan rahsia, menyebabkan saya sedar betapa kerdilnya saya jika dibandingkan dengan alam.
Sebenarnya Tanah Tinggi Cameron adalah salah satu destinasi impian saya sejak sekian lama. Saya sering bayangkan yang saya sedang berjalan bergandingan tangan di celah-celah kebun teh bersama lelaki yang saya cintai. Dalam bayangan saya, lelaki itu kemudiannya menghadiahi saya tiga kuntum ros merah yang cantik dan harum. Saya bermimpi untuk jalan-jalan di tepi batas petunia dan daisi sambil memegang setiap kuntumannya, merasa lembutnya kelopak dan harumnya bunga-bunga yang menyambut saya dengan mesra, menghirup teh suam yang diseduh teliti sehingga tepat tahap 'kemolarannya' sambil mengilas kaki, macam tuan-tuan yang punya ladang berekar-ekar. Itu bayangan saya, tetapi yang terjadi seperti ini - saya mengunjungi tanah tinggi ini dengan 32 orang lagi rakan sejawatan yang datang atas urusan kerja, bukan datang untuk enak-enak bersantai di kebun bunga.
Di Ringlet, saya disambut oleh pemandangan gunung-ganang daripada rangkaian Banjaran Titiwangsa yang tinggi mencuar. Jauh dan membiru, gagah dalam bisu. Air terjun dan tasik kelihatan dingin sekali. Semakin ke atas menuju arah Tanah Rata, hati saya mengakui kata-kata Cikgu Latifah, guru Geografi saya semasa di Tingkatan Dua -"Makin tinggi atas gunung, strata pokok makin berbeza, ada pokok tirus, pokok renek, lepas tu lumut..tu yang pusing belakang tu dengar ke tidak?", Cikgu Latifah tiba-tiba tanya sahabat saya Nurhayu, yang elok-elok saja mengadap saya membelakangkan cikgu. Nurhayu pusing depan semula, merah mukanya. (Nurhayu sekarang sudah jadi doktor gigi, berkhidmat sambil belajar di Brisbane =) Ucapan selamat saya kepadanya.
Tiga jenis tumbuhan memukau saya, pohon-pohon konifer pelbagai spesies yang menggugurkan biji benih di atas rumput padang golf Tanah Rata, pokok paku pakis saiz gergasi dan pohon buluh yang daunnya lebar-lebar sebesar daun pokok mempelam.
Saya cuma dapat perhatikan tiga jenis spesies pokok tirus yang salah satu daripadanya mirip sekali dengan gambar pohon Redwood gergasi di California yang saya pernah lihat dalam buku ensiklopedia yang saya pinjam dari Perpustakaan Awam Kerteh masa saya kecil-kecil dahulu. Pokok lain yang seiras pine saya lihat menggugurkan acorn yang kelihatan sama macam dalam cerita kartun 'Chip and Dale' saja. Pokok paku gergasi berbatang hitam pula sekali-sekala kelihatan menggerunkan. Saya fikir mungkin pokok-pokok itu telah wujud sejak zaman jurasik lagi, kalau tidak, masakan ia setinggi itu! Hampir saja separas pohon kelapa dara! Kalau pucuknya mahu dimasak gulai lemak cili api, mahu kenyang sekampung! Dan akhir sekali pokok buluh. Hutan buluh yang gemersik menari mengiringi angin dingin yang menyapa membuatkan saya terasa seolah-olah saya mengunjungi sebuah daerah di Negara China (walaupun sebenarnya saya tak pernah walau sedetik pun meninggalkan Negara Malaysia). Wah, saya kalau bercerita tentang alam, sekajang kertas memang tak pernah cukup. Saya yang mengaku diri seorang environmentalis!
Di tepi jalan, orang-orang asli mendirikan pondok-pondok kecil daripada bilah-bilah buluh. Pondok yang beratapkan rumbia itu kelihatan sebati sekali dengan alam. Di atas para-para buluh mereka jual ubi, taruk kayu, rebung dan pokok hiasan yang cantik, dan kami naik ke atas lagi.
Rossa Pasadena, Brinchang. Di sini anginnya dingin. Di sini permai dan damai. Di sinilah hati tertinggal, nun di puncak Titiwangsa. Tempat dedaun teh menggeliat malas. Tempat gemalai mawar menari. Pagi di Tanah Tinggi Cameron. 3.05, Cameron menangis...

Wednesday, June 17, 2009

Saya dan impian

Saya sememangnya kuat berangan. Saya punya impian yang banyak sekali. Berbicara soal impian membuatkan saya teringat pada satu impian saya yang tak pernah tercapai. Saya pernah berangan hampir setiap masa untuk punya satu unit apartmen sederhana mewah yang terletak di tengah-tengah bandaraya. Apartmen itu dalam fikiran saya tidak besar tetapi cukup cantik, dengan hiasan dalaman bercitarasa tinggi sentuhan tangan saya sendiri. Saya bermimpi untuk mewarnakan dindingnya dengan warna-warna garang dan kemudian menghiasinya dengan kanvas yang dilukis gambar bunga dalam vas tinggi dengan cat minyak. Dan saya berangan untuk melukisnya sendiri. Saya sebenarnya tidak pernah mewarna kanvas dengan cat minyak, tetapi saya kira saya boleh saja belajar dan jika sekalipun lukisan saya tidak cukup cantik, tiada orang yang akan komen kerana yang akan bertembung dengan lukisan hodoh itu saban malam pun bukannya orang lain, tetapi saya sendiri juga. Saya bercadang untuk terus menggantung 'hasil seni' saya itu di situ sehinggalah saya dapat melukis sesuatu yang lebih cantik - mungkin setelah mencuba dengan lebih gigih, barulah saya akan menggantikannya.
Saya benci suasana panas. Oleh sebab itu, saya bercadang memasang hawa dingin bagi setiap ruang di apartmen kecil saya. Pulang dari kerja sekitar jam 6, setelah saya parkir kereta Gen 2 warna oren di garaj, saya akan berdiri lama-lama di balkoni apartmen saya. Saya suka sekali melihat orang lalu-lalang dan kereta bersimpang-siur. Saya gemar memerhati gelagat manusia. Dan seperti kata ayah, semenjak kecil saya memang sentiasa saja pandai memerhati. Saya suka melihat kota dari pandangan atas - sibuk dan penuh aktiviti. Tiap-tiap petang saya akan menyaksikan matahati terbenam di sebalik bangunan tinggi, hari yang semakin suram dan kemudian diganti dengan cahaya neon dari bangunan dan cahaya terang lampu-lampu kenderaan.
Penat berdiri, saya akan masuk, tutup rapat pintu selunsur, pasang penghawa dingin dan saya akan manjakan diri dalam kesuraman lampu mentol kuning, aroma lavender dari pewangi elektrik serta muzik yang dipasang perlahan, mungkin Frank Sinatra kalau bukan Elvis Prestley. Dalam fikiran saya, saya akan duduk enak-enak di kerusi sofa warna merah hati sambil menghirup coklat panas, berfikir tentang perjalanan hari saya.
Saya juga sering memasang impian untuk melihat negara luar seorang diri, tetapi itu semua cerita yang lain. Setelah saya penat menikmati hidup sendirian, yang selesa tetapi sunyi, barulah saya akan terfikir untuk mencari jodoh, barangkali apabila usia saya 33 tahun.
Tetapi Tuhan nampaknya tidak bersetuju dengan rancangan saya apabila, sebelum saya sempat bekerja, saya telahpun jatuh cinta. Untuk yang pertama dan InsyaAllah, terakhir kali.
Saya mengenal dia dan untuknya, saya sedia korbankan segala impian saya.
Sekarang saya hidup tenang-tenang aje. Di usia 28 tahun saya menjadi ibu kepada seorang puteri yang cantik. Saya tidak tinggal di apartmen kecil yang tinggi, saya tinggal di rumah tingkat paling bawah, walaupun masih saja bersaiz kecil. Rumah saya tidak sunyi kerana sering dipenuhi gelak tawa anak-anak jiran. Rumah saya tidak suram kerana disuluh terang lampu kalimatang,baik malam mahupun siang..dan saya tidak pernah pasang muzik kerana dia tidak gemarkan muzik-muzik barat. Pun begitu, di dalamnya saya hidup dengan sangat bahagia. Dan oh ya, saya sempat beli Gen 2 warna oren itu ;-)

Di sini kasih tertumpah

Saya benci untuk menjadi etnosentrik kerana saya mendukung tinggi gagasan Satu Malaysia. Pun begitu, walau di mana sekalipun saya berada, Negeri Terengganu tetap dekat di hati. Pantainya, ombak lautnya, pepohon nyiurnya, sungainya, nasi dagangnya, keropok lekor dan pulut lepanya telah bergaul sebati dengan jiwa saya, mengiringi saya sepanjang jalan menuju dewasa. Dan yang paling utama, adalah kerana saya tahu, di sana ada emak, yang sayangnya tidak pernah surut dan ayah, yang kasihnya tidak pernah susut. Di sana ada adik-adik, Asu, Uda dan Adi, yang keletah dan kerenahnya sentiasa saya rindui. Bersama mereka, saya bisa menjadi diri saya yang sebenar. Itulah sebenarnya antara sebabnya.

Berkereta dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu memakan masa kurang lebih 6 jam. Itupun jika lalu ikut LPT dan jika memecut sekitar 120 km sejam. Jika Abang Khairul yang bawa kereta, alamat tak pernah kurang dari 8 jam, bukan kerana dia kurang cekap tetapi lebih kepada kerana dia terlalu sayangkan saya dan anak kami untuk memotong dan mencelah sana sini sesuka hati.

Dalam menempuh perjalanan yang panjang itupun, tatkala saja saya membaca papan tanda 'SELAMAT DATANG KE NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN' hati saya sentiasa akan menjadi sejuk tiba-tiba. Melihat deretan pokok nyiur yang tinggi melanggut sepanjang jalan dan pokok-pokok rhu yang berpasak gagah membuatkan segala penat dan bosan bertukar rentak menjadi suka. Melihat pakcik-makcik separuh usia yang galak menjual madu tualang, manisan kelulut, umpan udang dan macam-macam jenis makanan kampung di sepanjang jalan di Merchang membuatkan saya rasa semakin dekat dengan rumah. Asap berkepul-kepul dari periuk besar berisi jagung rebus membuatkan saya teringat akan enaknya jagung rebus emak, walaupun kadang-kadang selalu sahaja kekurangan garam.

Tatkala saya buang pandang ke sebelah kanan, ke arah pesisir Pantai Marang, saya seakan dapat menghirup masinnya hembusan angin Laut China Selatan. Ombaknya yang putih bergulung-gulung pecah berderai di gigi pantai menjadi buih-buih yang kemudian diseret semula terapung-apung di permukaan laut yang jernih bak kaca. Ombak Laut China Selatan berlainan sekali dengan ombak Selat Melaka. Ombak di sini garangnya bukan main. Itu belum lagi bersatu dengan angin laut bulan November! Jika di bulan-bulan akhir dalam kalender, Laut China Selatan tidak lagi tersenyum simpul dengan warna-warna biru dan hijau. Kala itu, Laut China Selatan seakan raksasa jahat yang merenung nelayan bot kecil dengan mata merah menyala seolah kelaparan. Di kala itu, laut yang gelisah dan langit yang menangis bersatu dalam warna kelabu yang suram. Sesuram hati anak nelayan, yang terpaksa ke sekolah berbekalkan ubi rebus cecah nyiur dan air daripada botol mineral yang berkerepot kerana diisi kopi yang tadinya panas. Ahh..ombak laut bulan November jarang bersimpati!

Lalu di hadapan deretan gerai di Pantai Kelulut, air liur menjadi kecur dek kerana teringatkan keenakan sotong bakar. Sotong yang baru dicandat malam tadi. Ikan goreng celup tepung, udang, kerang bakar...senarainya tidak pernah akan habis.

Saya juga senang sekali dengan batik Terengganu. Lukisan tangannya terkenal amat indah. Walaupun begitu, saya cuma suka memandang dan menikmati keindahan coraknya sahaja, untuk memiliki sepasang batik corak baru yang cantik itu saya belum mampu. Dengan harga sekitar RM500 sepasang, saya kira ia hanya layak sebagai persalinan mak-mak datin sahaja dan bukan untuk guru biasa bergaji kecil seperti saya.

Di bumi Terengganu inilah kasih saya tertumpah. Di sinilah mengalirnya darah dan air mata. Namun, walau bagaimana sayang sekalipun saya kepada negeri Terengganu dan walau berapa ribu kali sekalipun saya mengaku sebagai watannya, jauh di sudut hati tetap berbunga rasa bangga apabila hujung telinga tertangkap orang berbicara bahawa perempuan Pasir Mas terkenal sangat ayu. Saya yang berasal dari Pasir Mas, Terengganu!

Wednesday, June 10, 2009

Cinta hati saya

Khairul Anuar A. Rahman. Lelaki ini adalah cinta hati saya..Pertama kali melihat dirinya, dia sedang mengelek sejumlah buku di tangan kanannya. Di bilik guru, SMK Padang Negara, Kuala Terengganu. Tarikhnya 02.02.2005 dalam pukul 9 suku lebih. Wah..sampai begitu sekali saya dapat mengingat dengan tepat. Sebabnya, saya akan ceritakan kemudian, jangan lupa ingatkan saya.
Pertama kali melihat dirinya, hati saya berkata " Entah di manalah jodoh saya sedang berada dan apalah pula yang sedang dibuatnya tika ini.." Begitulah apa yang benar-benar terlintas di hati saya saat itu. Saya senyum sendiri. Kemudian kami bertembung pandang untuk beberapa saat. Saya senyum padanya sekilas, sekadar berbahasa dan dia membalas, barangkali atas maksud yang sama.
Sungguh saya tidak menyangka, dialah rupa-rupanya teman yang telah dijanjikan Allah untuk saya, teman yang telah disimpulkan dengan ikatan jodoh sebelum saya mengenal dunia lagi. Dialah rahmat yang telah dianugerahkan kepada saya dalam bentuk lelaki yang sangat sempurna di mata dan di hati saya. Maha Suci Engkau yang telah mempermudahkan!
Barangkali benarlah kata orang bahawa sedang mata tidak mengenal, hati sentiasa akan tahu di mana bahagiannya yang satu lagi berada..Abang, terima kasih untuk segalanya. Engkaulah separuh lagi hatiku yang hilang itu! Semoga kita dapat saling berteman sambil merungkai apakah itu maknanya sayang sampai akhir waktu. Selamat Ulangtahun Perkahwinan yang kedua.

Tuesday, June 2, 2009

Dia yang bernama cinta

Sudah lama benar saya ingin berbicara soal cinta. Seringnya, ada saja halangan yang merencatkan keinginan saya. Malam ini nampaknya saya boleh menulis seenaknya memandangkan Si Pelanduk Aleiya telah tidur dengan pulas sejak jam 9.30 tadi lagi. Harap-harap janganlah Chantek bangun merengek minta susu dulu...
Cinta..
Bila bercakap tentang soal yang satu ini, takrif dan perlambangan yang diberi sering saja cliche. Begitu, sehinggakan orang yang paling kasar sifatnya pun tiba-tiba boleh menjadi begitu puitis apabila disuruh mentakrifkan cinta. Pelik bukan? Sebenarnya tidak..kerana cinta, dengan segala kuasa magis yang ada padanya bisa saja merubah manusia menjadi apa saja.
Bagi saya cinta itu mudah. Cinta adalah satu perasaan yang berasal-usul dari hati. Pun begitu, cinta itu sama sekali tidak sama dengan mana-mana perasaan lain kerana cinta adalah perasaan yang paling agung yang boleh wujud dalam nurani seseorang manusia. Di dalam hati, cinta adalah raja segala rasa.
Maka, tidaklah menjadi suatu kehairanan jika seseorang itu boleh menjadi tunduk kepada perasaan cintanya. Seseorang boleh saja menyeru seseorang yang lain untuk berhenti mencinta tetapi hakikatnya, berhenti untuk mencinta tidaklah sama dengan berhenti daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang lain kerana berhenti mencinta adalah mustahil untuk dilakukan begitu sahaja.
Kalau difikirkan, jika perasaan cinta itu tidak agung, mustahil bagi sebuah empayar yang kukuh dan masyhur seperti Rom boleh hancur hanya kerana penangan kuasa cinta Julius Caesar terhadap Cleopatra..lagipun, bukankah cinta yang memangkin kewujudan kita semua di dunia?
Cinta itu hanya dapat ditakrif oleh mereka yang merasa...

Tuesday, May 19, 2009

Sayang Ayah begini

Saya sentiasa tahu bahawa ayah sayangkan saya. Sebabnya banyak, saya masih ingat peristiwa kotak pensel 'Ninja Turles' semasa saya hendak naik Darjah Empat. Seingat saya, tak pernah ada satu pun permintaan saya yang ayah tidak tunaikan. Saya terperanjat sekali saat saya minta kereta. Ayah telah bincang lebih kurang dengan mak dan terus bawa saya ke kedai kereta. Begitu mudahnya! Saya telah jangkakan sesuatu yang lebih sukar daripada itu..sekurang-kurangnya saya telah jangkakan sedikit soal jawab, tetapi ayah cuma suruh saya berikan sebab kenapa saya mahu kereta dan bila saja ayah berkata begitu dan dalam nada yang sebegitu, saya sudah tahu yang saya tak perlu berusaha banyak.
Ayah tahu saya cukup anti tinggal di asrama, sebab itu dia layan karenah saya keluar-masuk asrama. Setiap kali saya terpengaruh dengan kawan-kawan untuk tinggal di asrama, ayah akan bawa saya ke pasar malam untuk beli sepit kain, baldi kecil, baldi, penyangkut baju dan macam-macam benda lagi yang kadang-kadang tu entah apa-apa..selang dua minggu, bila saya telefon teresak-esak, ayah angkut beg dan baldi-baldi saya yang banyak tu balik rumah semula. Dalam masa tinggal di asrama itu, macam-macam yang ayah bawa untuk menghiburkan saya.
Semasa saya masuk asrama di Bukit Mertajam, saya sendiri tahu kali ini saya tak boleh lagi main keluar-masuk atau saya akan rosakkan peluang saya sendiri untuk ke universiti..ya, memang saya bertahan selama setahun, tetapi itu semua kerana ayah. Berapa kali ayah ulang-alik dari Kuala Terengganu ke Bukit Mertajam pun sudah tak terkira oleh jari saya. Sehinggakan satu hari tu, ayah hantar saya pulang ke asrama, kemudian bawa saya balik semula dan hantar balik keesokan harinya semata-mata kerana tak ada orang, jadi dia bimbang saya keseorangan malam itu. Saya tak fikir ada ayah lain dalam dunia ni yang sanggup buat begitu. Mustahil ada!
Sekarang, selepas saya dah berjaya keluar universiti, saya terdengar ayah berkata...'kalau umurnya panjang di saat tiada anak-anak yang sudi menjaga, dia akan tinggal di rumah orang-orang tua..dia hendak cari tempat yang dingin dan damai..Chieangmai barangkali dan menggaji seorang jururawat dengan sisa wang pencennya'. Ayah, walaupun saya senyum sahaja mendengar kata-kata ayah itu, tetapi hati saya menjerit di dalam..'Sebagaimana ayah selalu selamatkan saya daripada tinggal di asrama, itu jugalah yang akan saya lakukan. Walau di abad manapun, saya takkan tinggalkan ayah di mana-mana asrama sekalipun! Saya akan jaga ayah dan kalau boleh, biarlah saya yang pergi dulu sebelum ayah supaya saya tak perlu berteleku seorang, mengirai kenangan di saat ayah sudah bahagia di negeri sana. Itulah yang paling saya bimbang dalam dunia, ayah..saat saya kehilangan redup kasih ayah. Terima kasih ayah atas bakti budi, sejahteralah buat ayah selama-lamanya. Selamat Ulang Tahun ke 57, ayah..semoga ayah hidup sejahtera untuk 57 tahun lagi..dan kemudian lebih lagi..

Sunday, May 17, 2009

Terima kasih cikgu!

Hujan gerimis sudah turun sejak malam semalam. Sekejap-sekejap berhenti, sekejap-sekejap hujan lagi. Pagi ini saya tersedar dari tidur yang tak berapa lena, jam menunjukkan lagi sepuluh minit pukul 6. Imam Masjid Kg. Nakhoda semestinya sudah selesai azan, cuma saya yang tak sempat mendengar barangkali...bunyi hujan telah menyebabkan saya teringat pada hiasan bunga manggar dan lilitan bunga melur di sepanjang tiang-tiang gajah menyusur di sekolah. Sudah punahkah ditiup angin malam semalam? Kalau punah, kasihan pula saya kepada kawan-kawan yang bersusah payah datang di pagi hari minggu semata-mata hendak siapkan hiasan sempena sambutan Hari Guru. Harap-harap tidaklah.
Pagi ini, cuaca lembap aje. Walaupun hujan berterusan malam tadi, segala hiasan dan lilitan kain warna hijau dan putih di dataran kawad nampaknya tak terjejas teruk. Basah, mungkin tapi tidak rosak atur duduknya. Barangkali pekerjaan yang dibuat dengan hati yang ikhlas akan dipelihara Allah.
Saya sebenarnya telah terbiasa dengan sambutan Hari Guru. Tiada yang asing bagi saya jika menerima bunga, kek, buah, bekas pensel, pen atau penindih kertas. Saya telah terbiasa bukan sebab saya telah lama sangat bergelar guru, saya terbiasa kerana hadiah-hadiah semacam itu sudah saban tahun ayah bawa pulang dari sekolah. Semenjak saya kecil sehinggalah sebesar sekarang. Saya masih ingat waktu kecil-kecil dahulu, saya akan 'larikan' bungkusan-bungkusan hadiah yang besar-besar supaya tidak sempat disambar Asu, adik saya. Dalam bilik, diam-diam saya buka satu persatu, kerap kalinya saya akan rasa sedikit kecewa..pen hitam, pensel, pen merah, pen lagi, buku nota, jam, penindih kertas dengan patung angsa, penindih kertas dengan replika kaabah, jam, penindih kertas dengan patung burung, pen, buku nota, penindih kertas dengan gambar bunga, jam...bungkusan terakhir, yang kerapkali bungkusan yang paling cantik (hingga tak sampai hati saya membukanya) saya koyak dengan penuh hati-hati. Kotak kasut Bata yang diisi penuh dengan gumpalan-gumpalan kertas akhbar lama..dan di tengah-tengahnya..sebuah jam yang seterusnya saya ambil dan susun dengan enam buah lagi jam yang sama-sama dibeli di kedai dua ringgit...huh! apakah?! Ini hadiah ke sampah?
Sewaktu saya duduk-duduk di meja guru, tiba-tiba datang Nuqman. Dia senyum malu-malu. Beg sandangnya dia turunkan lalu dia selongkar isinya. Perlahan-lahan Nuqman keluarkan tiga kuntum bunga ros warna pink campur kuning yang dibalut dengan plastik putih berbunga-bunga. Malu-malu Nuqman berkata, "Terima kasih cikgu!"..saya senyum kepada Nuqman sambil berkata "sama-sama". Nuqman pergi selepas saya berpesan supaya dia belajar rajin-rajin.
Bunga kain yang Nuqman beri bukannya apa-apa. Saya tahu, harganya cuma sekitar 2-3 ringgit sahaja. Tetapi cara Nuqman memberikannya kepada saya itulah yang mahal. Kerana dalam matanya ketika itu saya lihat rasa kekaguman, hormat, penghargaan dan rasa sayang.
Bunga yang tiga kuntum itu saya letakkan dalam pasu dan saya bubuh atas televisyen di rumah. Tiap-tiap hari saya boleh melihatnya dan daripadanya saya belajar tentang banyak perkara.

Sunday, May 10, 2009

Pagi yang indah untuk berbicara

Pagi ini saya bangun awal daripada biasa. Ceritanya lebih kurang begini..Aleiya menangis minta susu..argh! baru pukul 5.18! Aduh Chantek..bolehkah kalau tidur sekejap lagi? Semalam tidur waktu jam dah menginjak angka dua. Mama letih la sayang! Tetapi Aleiya ada fikiran dan pendapatnya yang tersendiri, tentunya! Saya ke dapur buatkan dia susu. Saya kira saya boleh buatkan dia susu Enfagrow (kalau di waktu senang-senang, Aleiya enggan benar minum susu cap mahal itu, dia tenang-tenang aje menyedut susu yang tiga kali ganda lebih murah! Oh anak mama yang sangat ekonomik!) Kali ini dek kerana matanya yang masih belum terbuka habis, dia minum juga susu cap mahal yang telah terlanjur dibeli itu dengan agak gelojoh. Bakinya saya selit pada poket beg merahnya buat bekalan ke rumah Kak Syam, pengasuh yang kami 'lantik' untuk menjaga hal-ehwal kebajikan Tuan Puteri Aleiya Purrah. Sebelum ke sekolah, sempat saya dan Encik Roomate bergaduh sekejap perihal tali leher. Maklumlah, agak payah nak cari topik pergaduhan kebelakangan ini sebab masing-masing sibuk menguruskan hal ehwal keluarga, kerja dan pelajaran..ada hal-hal kecik yang sepatutnya tidak begitu menjadi hal pun akhirnya dikira boleh aja!
Akhirnya, saya ke sekolah dengan berat hati lantaran kuatnya tangis Aleiya, enggan berpisah daripada dakapan saya.
Dalam diam saya buat nakal lagi hari ini. Dah banyak kali saya kenakan dia dengan cara yang pelbagai! Entah macamana, mengenakan dia semacam sudah menjadi hobi saya yang sudah bertaraf tetap dan berpencen. Kalau diikutkan, kasihan juga saya kepadanya..tapi..entahlah. Macamana ye saya nak buang tabiat buruk ni? Nanti-nantilah saya fikirkan. Buat masa ini, untuk pos yang pertama ini saya sudah cukup berpuas hati sekadar dengan yang ada-ada ini saja. Salam!