Wednesday, October 21, 2009

Dia kembar saya

Adik saya yang nombor dua - Noor Syakirah adalah kembar tak seiras saya. Kalau ada apa-apa onar yang saya buat, dialah yang mula-mula jadi tukang sokong, beri sokongan moral supaya saya tak kena marah. Kalau ada sikit-sikit benda baik yang saya buat pun, dia jugalah yang jadi tukang uar-uar supaya semua orang jadi tahu 'kebaikan' saya. Bukan sedikit rahsia saya yang ada dalam kocek dia tapi saya tahu adik saya yang seorang ini orangnya amanah kalau datang bab menyimpan rahsia, sebab tu lah saya berani kongsi macam-macam dengannya.

Masa mula-mula dulu ayah hendak letak nama Noor Eryani padanya, kata ayah maksudnya 'cahaya pintu syurgaku'. Waktu itu, saya dengan yakinnya mengemukakan hujah bahawa sebaik-baiknya nama anak-anak perempuan ayah semuanya harus berakhir dengan huruf 'h'. Lagipun, kalau saya dipanggil 'ida', asu boleh saja dipanggil 'ila', lantas adik yang baru ini boleh kita panggil 'ira'. Kalau dikenang-kenang, cemerlang jugalah idea saya padahal, waktu itu umur saya baru saja sebelas tahun. Kemudian ayah tanya, mahu letak ejaan 'Sya' atau 'Sha'? Saya kata 'Sya' itu akan kedengaran lebih baik, lantas ayah bertanya : Ada beza ye? Saya jawab ya, sebab ejaan 'Sya' itu lebih islamik. Entah di mana saya kutip idea sebegitu.
Itu cerita dulu. Apabila saya kenang-kenangkan semula, saya fikir sebenarnya ayah cuma mahu menduga saya, meneroka cara fikir saya sebab selepas itu saya lihat ayah senyum panjang. Senyum yang beberapa lama kemudian saya kenal sebagai senyum bangga yang ayah akan beri tiap-tiap kali saya banggakan ayah dengan buah fikiran saya.

Saya ingin sekali agar adik saya yang ini boleh jadi seorang doktor. Dulu, saya mana pernah pandai memasang cita-cita lain selain jadi doktor. Masa saya terima surat tawaran kursus Teknologi Industri dulu saya lihat air muka ayah sangat kecewa. Mula-mula masa ayah koyak sampul surat berlambang harimau dengan pelepah pinang itu wajahnya ceria sekali tapi bila saja ayah baca kursus yang saya dapat, serta-merta wajah ceria ayah bertukar mendung. Lepas tu ayah jadi diam. Saya betul-betul tak tahan kalau ayah sampai jadi diam. Saya lebih rela kalau ayah marah-marah atau sekeh saja kepala saya kalau itu boleh buat ayah rasa lebih puas hati. Tapi ayah seperti selalu, tak akan buat perkara-perkara sebegitu, dan kebisuan ayah itu telah menghukum saya dengan lebih dahsyat. Pun begitu, ayah tetap hantar saya pergi belajar dengan senyuman semangat. Ayah tetap usung beg besar saya sampai berbilur bahunya. Ayah tetap ulang-alik ke universiti tiap-tiap hujung semester. Ayah tetap pastikan saya tidak pernah akan terkurang wang. Ayah tetap ayah. Dan saya akan seumur hidup terhutang budi padanya.

Maka, pada adik saya yang ini, saya sandar harapan setinggi puncak Everest. Saya mahu lihat dia jadi doktor, tabibah pertama dalam keluarga. Saya mahu kembalikan senyum pada wajah ayah. Saya mahu emak rasa berbaloi, menyediakan santapan pagi buat kami adik-beradik seawal sebelum subuh, saat ayam jantan pun masih lena bermimpikan kepuk padi. Saya mahu adik bongsu saya terbakar semangatnya untuk jadi anak lelaki yang berjaya macam kakaknya.
Akhir sekali, kerana semua orang biasa mengatakan bahawa dia kembar saya, maka saya ingin sekali agar dia sambut baton di tangan saya ini dan kemudian terus berlari. Kali ini saya benar-benar harap agar dia dapat berlari sehingga sampai. Saya akan tunggu dia di garisan penamat dengan sorakan yang tak pernah putus-putus. Dengan sejambak ros warna biru dan sebuah patung beruang bereben merah.

No comments:

Post a Comment