Monday, July 13, 2009

Tentang malam, bas ekspres dan roti telur

Semasa saya masih belajar di Minden dulu, sebahagian daripada kegembiraan pulang bercuti ke kampung adalah perjalanan pulang itu sendiri. Kerapkali, saya pulang sendirian saja. Mungkin dek kerana saya tidak banyak gaul, sudahnya saya sering saja sendirian. Anehnya, saya semacam sangat menghargai 'kebersendirian' itu kerana bagi saya dalam kesunyian, sering ada keindahan. Keindahan tidak pernah saya temui dengan berbicara bersama teman sebelah dalam 8 jam perjalanan bas ekspres Pulau Pinang-Kuala Terengganu. "Alone, but never lonely" saya ucap dalam hati sambil senyum seorang. Akhirnya, saya terima hakikat keinginan hati saya yang paling dalam dan untuk itu, saya beri seribu alasan setiap kali dipelawa pulang bersama-sama oleh sebilangan kecil kawan-kawan yang saya ada.

Sendirian bersandar di kerusi bas yang kerapkali saja rosak (seingat saya jarang benar saya dapat kerusi bas yang tidak rosak), apa yang paling saya tunggu-tunggu adalah setelah bas selesai berhenti di hentian terakhirnya untuk mengambil penumpang, Perhentian Bas Sungai Petani - kerana saya sudah boleh enak-enak mengelamun tanpa ada gangguan daripada orang yang naik-turun lagi, juga tanpa lagi diganggu lampu yang kejap padam, kejap nyala dek kerana bas berhenti mengambil penumpang (yang akan melingas mencari nombor tempat duduknya sehingga saya rasa rimas betul). Kenapalah mesti naik di tengah jalan?

Selepas habis penyeksaan itu semua, barulah saya 'ditinggalkan sendirian' bagi menjalankan hobi saya. Saya paling suka melihat malam. Teringat saya pada filem Melayu lama, Dayang Senandung - sewaktu putera raja terpandang wajah Dayang Senandung yang hitam legam, dia pimpin tangan isterinya itu dengan lembut ke jendela istana sambil berkata "Cuba adinda lihat malam yang gelap gelita ini. Walaupun gelap, malam tetap indah dengan bulan dan bintang-bintang.." Aduhai..budiman sungguhlah putera raja dalam cerita itu. Walaupun isterinya berwajah hodoh, tetap baginda kasihi isterinya itu sungguh-sungguh. Kalaulah lelaki benar-benar begitu..ini tidak, demi dilihat saja wajah isteri yang kurang elok, di malam pertama pula, mahu dia terjun tingkap, cabut lari, tak balik-balik lagi agaknya. Hai..apa-apalah.

Berbalik kepada kisah saya tadi, saya jadi mudah jatuh cinta dengan malam. Melihat malam dari kelam jalan berbukit-bukau di Lebuhraya Timur-Barat. Melihat pemandangan Hutan Belum yang penuh misteri. Mengkagumi tingginya Bukit Kelian Intan, merasakan dinginnya angin malam yang berhembus di Dataran Rabwah. Sambil melihat bintang-bintang yang bertaburan macam intan terpilih. Kadang-kadang, jika nasib saya cukup baik, saya juga akan dapat menatap ayunya wajah bulan. Acap kali, saya nikmati ini semua sambil makan roti telur dari kedai mamak depan universiti yang dah saya tapau siap-siap sebelum naik bas. Roti telur saya makan sorang-sorang dalam gelap. Satu kelebihan kembara sendirian : Anda tak perlu pelawa sesiapa makan bersama anda. Tak perlu berbasa-basi. Anda cuma perlu buka bungkusan dan makan dengan muka penuh selamba. Tika bermesraan dengan alam itulah juga otak saya yang terlebih kreatif ini akan mula mereka itu dan ini..macam-macam!

Suatu ketika, sedang saya duduk sorang-sorang macam biasa, di Sungai Petani naik seorang lelaki muda. Setelah terhendap-hendap mencari nombor tempat duduk, dia duduk di sebelah saya. (Aduh..bikin rosak saja!). Dia perkenalkan namanya - entahlah, saya benar-benar sudah lupa, sejak saya mengahwini En. Roomate, hanya namanya sajalah yang ada dalam register otak saya. Saya tak pernah membohonginya apabila saya kata dialah yang pertama dan dialah juga yang terakhir..moga diizinkan Allah. Lelaki itu pelatih Pembantu Perubatan di Kolej Kesihatan Batu Rakit, orang Kuala Ketil. Menurutnya, rumahnya betul-betul di belakang Balai Polis Kuala Ketil. Hampir sepanjang malam kami berbicara tanpa henti. Agak terharu juga saya apabila dia bersusah-payah turun belikan minyak angin di Bukit Bunga apabila lihat penyakit mabuk bas saya mula datang. Menjelang fajar, lelaki itu dengan beraninya mengaku sukakan saya dan ingin ketemu ibu bapa saya. Saya tolak hasrat baiknya dengan baik juga. Saya memang belum ada siapa-siapa waktu itu, tapi sememangnya belum sedia untuk siapa-siapa sekalipun. Tapi kenapa ya, saya cerita kisah ini di sini? Kerana, untuk rekod, itulah kali pertamanya saya tak dapat nak makan roti telur saya walau secubitpun! Pagi itu, saya kata pada mak, " Nah mak, along teringat mak suka makan roti telur, ni along belikan, dari Pulau Pinang lagi!"

No comments:

Post a Comment