Monday, June 22, 2009

Hati tertinggal di Titiwangsa

Barangkali entri saya kali ini agak berlainan daripada yang sudah-sudah kerana ia telah ditulis di altitud 1500m dari aras laut. Malam di Tanah Tinggi Cameron. Cuaca agak dingin dengan suhu saya kira sekitar 260C - sekurang-kurangnya jauh lebih dingin daripada suhu di Lembah Kelang. Suasana sepi sungguh. Kalau bukan dek kerana bunyi klik-klik daripada papan kekunci notebook HP saya, langsung tiada bunyi lain yang dapat ditangkap oleh telinga, barangkali kerana waktu yang telah menginjak 1.20 pagi menyebabkan semua penghuni tanah tinggi ini 'menarik diri' daripada sebarang aktiviti.
Mengenangkan saya yang sebenarnya sedang tercampak di salah satu puncak di Banjaran Titiwangsa yang gah itu, di tengah-tengah rimba belantara yang saya kira semestinya penuh dengan rahsia, menyebabkan saya sedar betapa kerdilnya saya jika dibandingkan dengan alam.
Sebenarnya Tanah Tinggi Cameron adalah salah satu destinasi impian saya sejak sekian lama. Saya sering bayangkan yang saya sedang berjalan bergandingan tangan di celah-celah kebun teh bersama lelaki yang saya cintai. Dalam bayangan saya, lelaki itu kemudiannya menghadiahi saya tiga kuntum ros merah yang cantik dan harum. Saya bermimpi untuk jalan-jalan di tepi batas petunia dan daisi sambil memegang setiap kuntumannya, merasa lembutnya kelopak dan harumnya bunga-bunga yang menyambut saya dengan mesra, menghirup teh suam yang diseduh teliti sehingga tepat tahap 'kemolarannya' sambil mengilas kaki, macam tuan-tuan yang punya ladang berekar-ekar. Itu bayangan saya, tetapi yang terjadi seperti ini - saya mengunjungi tanah tinggi ini dengan 32 orang lagi rakan sejawatan yang datang atas urusan kerja, bukan datang untuk enak-enak bersantai di kebun bunga.
Di Ringlet, saya disambut oleh pemandangan gunung-ganang daripada rangkaian Banjaran Titiwangsa yang tinggi mencuar. Jauh dan membiru, gagah dalam bisu. Air terjun dan tasik kelihatan dingin sekali. Semakin ke atas menuju arah Tanah Rata, hati saya mengakui kata-kata Cikgu Latifah, guru Geografi saya semasa di Tingkatan Dua -"Makin tinggi atas gunung, strata pokok makin berbeza, ada pokok tirus, pokok renek, lepas tu lumut..tu yang pusing belakang tu dengar ke tidak?", Cikgu Latifah tiba-tiba tanya sahabat saya Nurhayu, yang elok-elok saja mengadap saya membelakangkan cikgu. Nurhayu pusing depan semula, merah mukanya. (Nurhayu sekarang sudah jadi doktor gigi, berkhidmat sambil belajar di Brisbane =) Ucapan selamat saya kepadanya.
Tiga jenis tumbuhan memukau saya, pohon-pohon konifer pelbagai spesies yang menggugurkan biji benih di atas rumput padang golf Tanah Rata, pokok paku pakis saiz gergasi dan pohon buluh yang daunnya lebar-lebar sebesar daun pokok mempelam.
Saya cuma dapat perhatikan tiga jenis spesies pokok tirus yang salah satu daripadanya mirip sekali dengan gambar pohon Redwood gergasi di California yang saya pernah lihat dalam buku ensiklopedia yang saya pinjam dari Perpustakaan Awam Kerteh masa saya kecil-kecil dahulu. Pokok lain yang seiras pine saya lihat menggugurkan acorn yang kelihatan sama macam dalam cerita kartun 'Chip and Dale' saja. Pokok paku gergasi berbatang hitam pula sekali-sekala kelihatan menggerunkan. Saya fikir mungkin pokok-pokok itu telah wujud sejak zaman jurasik lagi, kalau tidak, masakan ia setinggi itu! Hampir saja separas pohon kelapa dara! Kalau pucuknya mahu dimasak gulai lemak cili api, mahu kenyang sekampung! Dan akhir sekali pokok buluh. Hutan buluh yang gemersik menari mengiringi angin dingin yang menyapa membuatkan saya terasa seolah-olah saya mengunjungi sebuah daerah di Negara China (walaupun sebenarnya saya tak pernah walau sedetik pun meninggalkan Negara Malaysia). Wah, saya kalau bercerita tentang alam, sekajang kertas memang tak pernah cukup. Saya yang mengaku diri seorang environmentalis!
Di tepi jalan, orang-orang asli mendirikan pondok-pondok kecil daripada bilah-bilah buluh. Pondok yang beratapkan rumbia itu kelihatan sebati sekali dengan alam. Di atas para-para buluh mereka jual ubi, taruk kayu, rebung dan pokok hiasan yang cantik, dan kami naik ke atas lagi.
Rossa Pasadena, Brinchang. Di sini anginnya dingin. Di sini permai dan damai. Di sinilah hati tertinggal, nun di puncak Titiwangsa. Tempat dedaun teh menggeliat malas. Tempat gemalai mawar menari. Pagi di Tanah Tinggi Cameron. 3.05, Cameron menangis...

No comments:

Post a Comment