Wednesday, June 17, 2009

Di sini kasih tertumpah

Saya benci untuk menjadi etnosentrik kerana saya mendukung tinggi gagasan Satu Malaysia. Pun begitu, walau di mana sekalipun saya berada, Negeri Terengganu tetap dekat di hati. Pantainya, ombak lautnya, pepohon nyiurnya, sungainya, nasi dagangnya, keropok lekor dan pulut lepanya telah bergaul sebati dengan jiwa saya, mengiringi saya sepanjang jalan menuju dewasa. Dan yang paling utama, adalah kerana saya tahu, di sana ada emak, yang sayangnya tidak pernah surut dan ayah, yang kasihnya tidak pernah susut. Di sana ada adik-adik, Asu, Uda dan Adi, yang keletah dan kerenahnya sentiasa saya rindui. Bersama mereka, saya bisa menjadi diri saya yang sebenar. Itulah sebenarnya antara sebabnya.

Berkereta dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu memakan masa kurang lebih 6 jam. Itupun jika lalu ikut LPT dan jika memecut sekitar 120 km sejam. Jika Abang Khairul yang bawa kereta, alamat tak pernah kurang dari 8 jam, bukan kerana dia kurang cekap tetapi lebih kepada kerana dia terlalu sayangkan saya dan anak kami untuk memotong dan mencelah sana sini sesuka hati.

Dalam menempuh perjalanan yang panjang itupun, tatkala saja saya membaca papan tanda 'SELAMAT DATANG KE NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN' hati saya sentiasa akan menjadi sejuk tiba-tiba. Melihat deretan pokok nyiur yang tinggi melanggut sepanjang jalan dan pokok-pokok rhu yang berpasak gagah membuatkan segala penat dan bosan bertukar rentak menjadi suka. Melihat pakcik-makcik separuh usia yang galak menjual madu tualang, manisan kelulut, umpan udang dan macam-macam jenis makanan kampung di sepanjang jalan di Merchang membuatkan saya rasa semakin dekat dengan rumah. Asap berkepul-kepul dari periuk besar berisi jagung rebus membuatkan saya teringat akan enaknya jagung rebus emak, walaupun kadang-kadang selalu sahaja kekurangan garam.

Tatkala saya buang pandang ke sebelah kanan, ke arah pesisir Pantai Marang, saya seakan dapat menghirup masinnya hembusan angin Laut China Selatan. Ombaknya yang putih bergulung-gulung pecah berderai di gigi pantai menjadi buih-buih yang kemudian diseret semula terapung-apung di permukaan laut yang jernih bak kaca. Ombak Laut China Selatan berlainan sekali dengan ombak Selat Melaka. Ombak di sini garangnya bukan main. Itu belum lagi bersatu dengan angin laut bulan November! Jika di bulan-bulan akhir dalam kalender, Laut China Selatan tidak lagi tersenyum simpul dengan warna-warna biru dan hijau. Kala itu, Laut China Selatan seakan raksasa jahat yang merenung nelayan bot kecil dengan mata merah menyala seolah kelaparan. Di kala itu, laut yang gelisah dan langit yang menangis bersatu dalam warna kelabu yang suram. Sesuram hati anak nelayan, yang terpaksa ke sekolah berbekalkan ubi rebus cecah nyiur dan air daripada botol mineral yang berkerepot kerana diisi kopi yang tadinya panas. Ahh..ombak laut bulan November jarang bersimpati!

Lalu di hadapan deretan gerai di Pantai Kelulut, air liur menjadi kecur dek kerana teringatkan keenakan sotong bakar. Sotong yang baru dicandat malam tadi. Ikan goreng celup tepung, udang, kerang bakar...senarainya tidak pernah akan habis.

Saya juga senang sekali dengan batik Terengganu. Lukisan tangannya terkenal amat indah. Walaupun begitu, saya cuma suka memandang dan menikmati keindahan coraknya sahaja, untuk memiliki sepasang batik corak baru yang cantik itu saya belum mampu. Dengan harga sekitar RM500 sepasang, saya kira ia hanya layak sebagai persalinan mak-mak datin sahaja dan bukan untuk guru biasa bergaji kecil seperti saya.

Di bumi Terengganu inilah kasih saya tertumpah. Di sinilah mengalirnya darah dan air mata. Namun, walau bagaimana sayang sekalipun saya kepada negeri Terengganu dan walau berapa ribu kali sekalipun saya mengaku sebagai watannya, jauh di sudut hati tetap berbunga rasa bangga apabila hujung telinga tertangkap orang berbicara bahawa perempuan Pasir Mas terkenal sangat ayu. Saya yang berasal dari Pasir Mas, Terengganu!

No comments:

Post a Comment