Semasa kecil, saya sangat teringin untuk punya basikal sendiri. Akhirnya, ayah belikan saya sebuah basikal beroda empat yang berwarna oren campur putih susu. Cantik sangat. Ada loceng warna kuning yang berbunyi 'trrett..trrett' dan mengeluarkan cahaya merah apabila ditekan atas hendal kanan basikal itu. Roda kecil di belakangnya warna hitam-putih dan dua tayarnya yang lebih besar adalah 'tayar mati'. Saya tak pernah pula dengar istilah 'tayar mati' sebelum ni, rupa-rupanya tayar basikal pun ada yang hidup dan ada yang mati! Kemudian barulah ayah beritahu saya bahawa tayar mati maknanya kita tak perlu isikannya dengan angin, tak payah pam. Oh, begitu rupanya...
Pulang ke Kelantan untuk beraya, rupa-rupanya sepupu saya, Nasiha pun baru saja dibelikan sebuah basikal biru oleh abahnya. (Adik Na, lama betul Along tak dengar berita dari kamu..) Saya pun, macam la tak pernah tengok basikal seumur hidup, terus melompat naik atas basikalnya yang baru sampai dari kedai sebaik saja dipelawa oleh abah. Riuh sekampung Adik Na menangis melihat saya enak-enak pusing-pusing dengan basikal barunya. Akhirnya emak pujuk saya kembalikan basikalnya. Saya bagi balik basikalnya dengan muncung panjang sejengkal.."huh, kedekut habis, tak sukalah main dengan dia, kalaulah ada adik..." Tika itu saya sedar, benda yang lebih menarik daripada sebuah basikal adalah seorang adik.
Balik ke Johor, Lina, jiran sebelah rumah saya yang punya anak patung besar berbaju gaun pun menangis bila emaknya unjukkan anak patung barunya untuk saya cuba dukung. Lina rampas balik anak patung tidak berambutnya itu dan saya menangis pulang ke rumah. Sedih, sebab terlepas peluang mendukung anak patungnya. Huh! Saya cuma mahu pinjamlah!
Ayah peluk saya erat-erat sambil berkata, " Nanti kalau Ida dah ada adik, Ida jangan lagi main dengan Lina. Ida main dengan adiiiik saja". Saya angguk. Dalam hati, "Awak tunggulah nanti Lina, bila saya dah dapat adik, saya tak akan main dengan awak lagi!" (Tak lama kemudian, ayah belikan anak patung yang boleh menangis, pejam-celik dan panggil mama. Anak patung berambut coklat tu kemudian saya namakan Ayu).
23 Julai 1984. Saya pamit emak yang masih ditahan di tangga berpusing wad bersalin HBSA sebab dah masuk dua minggu tapi emak masih juga belum mahu bersalin. Sebelum balik ayah suruh saya bisik dekat perut emak.."Adik, cepatlah keluar..kakak nak ajak main-main". Saya bisik sungguh-sungguh sebab saya percaya sungguh-sungguh bahawa adik dengar apa yang saya bisikkan.
24 Julai 1984. Saya dan ayah bawa emak dan adik balik dengan Mazda biru Pakcik Hidzir. Sungguh, saya tengok dialah bayi yang paling comel di dunia. Saya kata, "Adik kecik-kecik mak bungkus.." apabila tengok dia terbedung kemas dengan kain lampin. Sepanjang jalan pulang dia asyik pejam saja dan saya tak jemu-jemu memerhatikannya.
Petang itu, ayah suruh saya pilih nama adik : Noor Adilah atau Noor Akmal? Saya kira Noor Adilah kedengaran lebih manis. Saya jerit dekat ayah yang sudah sekerat jalan ke jalan besar dengan Vespa birunya, "Ayah!! Jangan lupa, Noor Adilah yee". Ayah angkat tangan dan angguk kemudian pergi. Masa tu saya tak tahu ayah pergi ke mana, bila difikirkan semula, sudah tentu ayah ke Pejabat Pendaftaran kalau tidak ke Balai Polis.
Jadi begitulah. Noor Adilah. Adik saya yang pertama. Teman, rakan, sahabat, saudara. Saya tidak pandai untuk menjadi lebih puitis lagi, tapi saya tak pernah bohong apabila saya katakan, dialah sahabat yang paling agung yang pernah saya ada. Selamat Hari Ulangtahun ke-25. Begitu cepatnya masa!
Thursday, July 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment