Friday, October 29, 2010

Hidup Semula

Lama blog terbiar macam tak bertuan, cakap nak jadi blogger yang komited tapi lepas dua, tiga entri sederet, cutinya sampai berbulan..hehe. Sebetulnya, rasa sayang nak bubuh entri baru sebab setiap kali login mesti nampak jelingan dan senyum manja si pelanduk kecil, jadi kalau nanti dah letak entri baru tentu saja gambar si pelanduk akan terturun ke bawah - tak dapat lagilah curi pandang dia sekilas tiap-tiap hari kecualilah kalau rajin nak scroll pula ke bawah (rasa-rasanya macam tak cukup rajin aje). Tapi, sampai bila entri nak tersekat macam tu aje, kan? jadi di kesempatan malam ini, tambahan pula Encik Roomate keluar menyelia perkhemahan, sambil-sambil mengulit bosan yang semakin membalut, elok kalau saya mulakan sesuatu, sekurang-kurangnya menghidupkan kembali dinding yang senyap sunyi ni.

Jadi, begitulah. Saya dah hidupkannya semula kan? Ok, itu aje. Hehe.

Monday, September 20, 2010

Rindu padanya!


Apa khabar nasi di daun
Nasi di talam bagai nak basi
Apa khabar tinggal setahun
Tinggal semalam bagai nak mati
Yaya tinggallah baik-baik dengan atuk dan nenek ya..insyaAllah, mama dan papa akan siapkan tesis ini jugak-jugak. Lepas tu mama takkan pernah tinggalkan kamu lagi sampai bila-bila. I love you, sayang!
Sedih sungguh terpaksa tinggalkan pelanduk kecil di kampung lagi. Terkenangkan keletahnya, air mata bisa tumpah di dinihari! Semoga segala pengorbanan ini berbalas, Amin!

Sunday, September 19, 2010

Anak Baik dan Encik Papa

Sepatutnya saya upload gambar ni masa demam Jabulani hari tu tapi oleh sebab baru kelmarin saya kosongkan memori kamera dan pindahkannya dalam Cik Hechpilappy maka sekarang barulah sempat saya uploadkan.

Aleiya dan papa bergambar dengan memakai jersi Germany di taman kesayangan atuk. Lollipop strawberi dekat tangan dia tu dah memang jadi trademark dah. Mama pulak jadi camerawoman. Bukan mama tak teringin nak pakai baju jersi sama-sama tapi maklum sajalah, kalau dah berjersi, warna putih pulak tu, mestilah nanti nampak macam nangka berjalan. Jadi mama pun pakai saja baju kurung hitam putih dan tudung belang-belang warna sama supaya tak lari tema.

Aleiya memang tak kalah kalau datang bab mengambil gambar. Cuma perlu suruh buat gaya, macam-macam gaya yang keluar. Tapi gaya "give me five" ni memanglah favourite dia. Jujurnya saya pun tak banyak benda nak diceritakan. Jadi, cukuplah dulu setakat ini. Mama sayang kamu berdua!

Tuesday, August 31, 2010

Segalanya keranamu...

Musuh melanggar kugempur
sungguh rela kugugur kerana
kau tanah pusaka
biar putih tulang jangan putih mata...

Demi tanah ini..demi maruah ini..
Selamat ulang tahun ke-53 semoga terus gagah gemilang

Friday, August 20, 2010

Saya, hubby dan hobby

Pernah suatu hari saya dengar Dr. Fadzilah Kamsah menyebut, kalau suami suka banyak bercakap, isteri patut rasa gembira dan bersyukur sangat-sangat sebab bukan senang nak dapat jenis suami yang macam ni, memandangkan "banyak cakap" adalah trait yang sangat jarang untuk dicerap dalam kalangan kaum Adam. Kiranya, kita dapat yang rare species dan eksklusif la ni. Tapi macam mana ya, Encik Doktor, kalau saya dapat yang betul-betul "hard-core" tahap ultimatum punya jenis banyak cakap ni? Maka saya rasa jawapannya adalah, kita kenalah banyak-banyak sabar! Hehe.

Encik Roomate saya memanglah seorang yang terover ramah. Tapi, dia cuma peramah dengan saya sahaja. Di tempat kerja Encik Roomate banyak diam. Rupa-rupanya semua yang dia hendak cakap dia kumpul banyak-banyak dalam hati dan sebaik sahaja saya buka pintu kereta maka bermulalah macam-macam cerita yang habis tidaknya sampailah mata terlelap di tengah malam. Macam-macam perkara dia ulas dan kupas sampai dialog dengan kawan-kawannya pun dia ulang habis kesemuanya. Itu belum termasuk macam-macam pesanan penaja macam 'jangan jinjing handbag', 'kunci pintu kereta kalau memandu', 'jangan letak handbag dekat passenger seat' dan macam-macam jenis pantang larang lagi yang kalau saya senaraikan sampai Jumaat depan pun belum tentu akan habis. Tetapi saya tahu, dia buat semua itu sebab dia sayangkan saya.

Masalahnya, kadang-kadang saya ni teruk juga. Dek kerana penat (er..dan bosan jugak kot), saya ada juga terbuat "derk" dan buat "nampak-macam-dengar-tapi-sebenarnya-tak" dekat dia. Bila saya fikir-fikirkan semula, saya rasa kesal pulak. Kenapalah saya 'take for granted' macam tu. Uh, tak baik betul. Patutnya sementara dia anggap saya ni sebagai sebahagian dari hidupnya, yang perlu tahu perkembangan dia, yang patut ambil pusing hal ehwal peribadi dan pandangan dia, dan sementara dia masih fikir begitu, sepatutnya saya kenalah hargai dan bagi tumpuan betul-betul. Sampuk dan sahut mana yang perlu.

Lagipun buatnya dia sudah terperasan akan sambutan dingin saya dan tiba-tiba ada pulak perempuan lain yang sudi dengar dan bagi pandangan pada luahan hati dia dengan secara lebih peka dan prihatin daripada saya, ha..takkan time tu baru saya nak menyesal pulak? Lagipun kalaulah kata-kata dia malam ini adalah kata-katanya yang terakhir...maka harusnya saya bagaimana? Pasti kesal saya bertimpan-tindih!

Jadi, sebelum itu semua terjadi, bermula daripada malam ini, saya nekad. Lepas ni saya tak mahu lagi bersikap acuh tak acuh. Take things for granted. Saya akan dengar dan hayati tiap-tiap bait kata-kata dia dan hafal macam lirik lagu, kerana setiap satunya adalah kenangan. Tapi..saya pasti sekali, esok apabila dia mula tutup radio yang saya sudah awal-awal setkan ke stesen Lights and Easy untuk perjalanan jauh ke UPM semata-mata untuk cerita tentang bisnes butik pakaiannya (yang entah bila nak buka itu) saya pasti akan mula hangin semula!

Sunday, August 1, 2010

Cahaya Ketinggian yang Cantik Berseri


Noor Zahiratul Aleiya, anak perempuan sulung saya itu sudah besar dan dah pandai macam-macam. Saya paling suka dengar dia bercakap, macam-macam kosa kata yang saya tak sangka ada dalam kamus dia pun, dia sudah pandai guna ikut situasi. Dia pun suka sekali kalau diajak pergi jalan-jalan. Macam-macam telatah dan kerenah yang dia tunjuk kalau sekali-sekala kami berdua bawa dia keluar makan angin.
Paling dia suka, masa makan. Becok sekali mulutnya bercerita itu, ini. Kalau sesekali outing, makan apa-apa sekalipun dia lalu sahaja.

Sesekali apabila saya tatap matanya, rasa seolah tidak percaya yang saya sudah punya seorang anak perempuan. Rasa-rasanya macam baru semalam saja saya ke kelas tambahan Fizik, dihantar ayah dengan kereta Saga merahnya. Baru malam tadi saya ke kelas, melalui koridor sekolah, mengelek fail bunga-bunga warna kuning sambil bernyanyi kecil lagu Elvis Prestley, "Summer Kisses Winter Tears" yang saya dengar dalam kereta semasa dalam perjalanan tadi.

Hari ini apabila saya bangun, Saga merah ayah sudah buruk, tidak berkilat seperti semalam dan tatkala saya dengar lagu Prestley petang tadi, nyatalah bahawa saya bukannya bermimpi kerana cahaya yang cantik berseri di hadapan saya ini bukanlah hanya sekadar sebuah fatamorgana. Cepat sungguh kamu aduhai masa!

Tuesday, July 27, 2010

Kenapa agaknya ya?

Lama tak berblog rasa macam dah hilang track identiti blog Cerita Dari Hati. Lupa 'cerita dari hati' dari jenis yang macam mana yang sepatutnya ditulis di sini (dan yang macam mana pula yang seharusnya tidak). Ya lah, one sure don't wish to contradict oneself, kan? At least not in black and white where the table could easily be turned. (Haih, lain macam sahaja bunyinya, macam Cik-Tuan-Punya-Blog baru kena serang dengan virus penyakit hati saja ni, haha).

Tapi saya sentiasa percaya, dalam pada kita semua mesti sentiasa ikut kata akal (sebab itulah yang akan kekal), kata hati dan rasa (yang boleh bawa mati dan binasa) pun kadang-kadang wajar didengar juga. Bercakap tentang kata hati, berikut saya senaraikan mesej-mesej dari hati saya yang kedengaran pada tika dan saat ini :-

(i) Saya rasa kecewa, dengarlah tuan..tanyalah kenapa saya kecewa..
(ii) Saya rasa marah juga ni..tanyalah tuan pada apa dan pada siapa..nanti saya bisikkan..
(iii) Saya agak sedih juga...dan dalam pada itu saya juga rasa rindu
(iv) ..dan saya macam ada sikit rasa cemburu la tuan..aduhai..

Aduh la hati..kuatnya la kamu merungut..macam-macam yang kamu rasa ya. Saya ini perempuan yang rasional, saya tak akan ikut kata kamu begitu sahaja, lagipun siang-siang di tempat kerja macam ni, mana lah saya boleh dengar kata kamu? Nanti lah, tengah-tengah malam sikit waktu suasana sudah sunyi-sunyi, waktu itu nanti saya tanya kamu betul-betul ya. Waktu itu saya janji akan dengar semua kata kamu. But please, not now. Not right now. Not yet.

Hati : Baiklah tuan, apa-apa yang tuan kata lah. Tapi...saya tidak fikir tuan baik-baik sahaja kalau tuan sudah berbahasa Inggeris dengan saya!

Sunday, July 4, 2010

Anak Melayu Kita

Pagi tadi, sewaktu sedang mengawas pelajar-pelajar sebuah kelas tingkatan empat, saya terpandang skrip jawapan peperiksaan pelajar di bawah sebuah bangku lantas saya mengutipnya. Skrip jawapan Peperiksaan Pertengahan Tahun, Sains Kertas Dua itu sudah lunyai dan hitam dengan bekas tapak kasut. Membaca jawapan bagi soalan satu, saya rasa tertarik.

Berikut antara soalan dan jawapan pelajar tersebut yang saya ingat :-

Apakah hubungan antara pemalar P dengan Q?
Jawapan : Hubungan perkahwinan

Nyatakan hubungan antara panjang tali dengan ayunan bandul.
Jawapan : Semakin ingin aku lupakan dan semakin bayang wajahmu kan menjelma.

Apakah proton?
Jawapan : Proton Satria GTI

Berapakah nombor atom bahan X?
Jawapan : WDX 5432 - Nombor kereta mak aku

Berapakah halaju yang dicatatkan daripada pemerhatian di atas?
Jawapan : Lebih laju daripada motor double R

Apakah fungsi bahagian berlabel Y?(daripada gambar rajah keratan rentas otak manusia)
Jawapan : Untuk membuat rasa stim dan khayal

Nyatakan struktur yang terlibat dalam menghasilkan sel gamet
Jawapan : Bunkface

Nyata sekali, apa yang ada dalam otak anak-anak bangsa kita hari ini cumalah perkara tentang nikah-kahwin, cinta-rindu, motor, bahan khayal dan muzik. Dan remaja ini adalah anak Melayu yang jelas sekali tidak mengerti satu apa pun jika ditanya tentang jati diri, akar budaya, galur sejarah dan adat warisan bangsa. Apatah lagi jika disoal tentang sistem suria, ekuinoks musim panas, syarikat GLC, dasar fiskal atau pegangan ekuiti. Kasihan bukan? Di saat negara sedang dijajah semula secara perlahan-lahan, inilah dia anak muda Melayu yang konon bakal menjadi pemuda harapan bangsa. Dan saya sebagai guru Malaysia berasa seolah sudah kalah perang. Tewas dan malu. Tahniahlah kepada hiburan televisyen yang sudah banyak berjasa itu.

Warming up?

Lama benar tak menulis, rasanya seperti sudah kehilangan seluruh kosa kata. Betullah seperti kata orang, sesuatu itu kalau tak diguna selalu-selalu, akan jadi rosak dan berkarat. Itu baharu saya bercakap tentang bab menulis dalam Bahasa Melayu, belum lagi Bahasa Inggeris, Perancis atau Arab. Dan apa sudah jadi dengan azam saya nak belajar Bahasa Jepun sendiri-sendiri tu?

Hmmm...Kalau Bahasa Inggeris mungkin bolehlah lagi saya menulis perlahan-lahan, walaupun kalau nak "seru" sesuatu perkataan yang tepat untuk satu-satu maksud tu boleh ambil masa sampai berminit-minit. Tapi Perancis? Arab? Rasanya nak tulis nama angka dari satu sampai sepuluh sahaja pun tentu sudah banyak salah ejaan. Sayang sungguh, benar macam peri pepatah Arab - Ilmu tiada beramal ibarat pokok tiada berbuah. Macam sayalah, tak memberi manfaat kepada diri, apatah lagi orang lain.

Tapi satu yang saya paling benci bila mula menulis semula ialah hilang fokus. Sebenarnya saya masuk ke sini sebab nak berkisah tentang sesuatu yang lain, tiba-tiba perkara yang lain pula yang saya tulis. Semua ini sebab bila saja saya mula menulis, idea akan mula mencurah-curah dari segenap sudut. Sudahnya, saya cuma mampu melalut tanpa fokus yang jelas. Seperkara lagi, saya jadi mudah bosan dengan idea yang banyak itu, langsung akhirnya satu pun tak jadi saya kisahkan. Itulah sebabnya kenapa saya tak pernah berjaya menjadi novelis, mungkin. Tapi untuk isu ini, saya dah pasang niat betul-betul nak atasinya juga suatu hari nanti - walaupun tak tahulah bila suatu hari itu akan muncul.

Untuk setakat ini, rasanya cukuplah dahulu kalau-kalau tulisan ini boleh jadi semacam sesi memanaskan badan. Moga-moga selepas ini, blog ini tak lah terlalu lama terbiar sepi.

Monday, May 10, 2010

Alahai malunya!

Semakin mampir bulan Jun bermakna semakin hampir jugalah tarikh ulangtahun saya dengan Encik Roomate - ulangtahun pertunangan dan ulangtahun pernikahan kami, kedua-duanya pada tarikh yang sama - 01 Jun.
Memang kalau diikutkan banyak betul kenangan yang terjadi dalam bulan Jun, sampai kalau nak diceritakan semuanya, nescaya meletuplah Cik HechPiLappy sebab ter'over' panas dan terlebih guna.

Dalam banyak-banyak kenangan ada dua yang membuatkan saya 'terpaling' malu. Pertama, waktu pertama kali keluar makan dengan bakal emak mentua. Kami sebenarnya dah awal-awal merancang hendak keluar makan malam sehari selepas usai majlis pertunangan. Jenuhlah saya dan Encik Roomate memilih venue yang sesuai untuk membawa emak-emak kami makan malam sambil konon-kononnya beramah mesra dan sesuai-sesuaikan diri, maklumlah bakal nak berbesan, mestilah kenal dulu hati budi masing-masing, chewah!

Akhirnya pada malam yang dijanjikan, kami pun bertemu di sebuah restoran terapung di Kuala Sungai Terengganu. Pemandangannya cantik sekali, dari seberang sini nampak lampu-lampu berjujukan dari Jambatan Sultan Mahmud. Juga pemandangan Seberang Takir dan Pulau Duyong. Angin yang bertiup lembut memang betul-betul menepati tema perjumpaan kami pada malam itu.

Sayangnya, baru separuh steamboat yang dipesan kami nikmati, tiba-tiba hujan turun dengan begitu lebat sekali. Mula-mula kami cuba-cuba juga berbual, lama-lama apabila telinga dah dipekakkan oleh bunyi derai hujan, kami terpaksa makan dengan diam sambil senyum-senyum sahaja. Restoran tepi kuala itu kemudian mula ditempiasi air hujan. Kasihan Encik Roomate yang terlebih 'smart' dengan kemeja batik bergosok lendit dan kasut kulit tu, habis basah dek tempias. Saya yang memang percaya pada 'first impression' ini pula tetap maintain 'kontrol' ayu sambil makan secubit-secubit, pendek kata kalau hendak dikategorikan adab makan saya pada ketika itu, bukan lagi jatuh dalam kategori "sopan" malah telah masuk dalam kategori "sopan-santun tahap alam dewata" dah pun!

Tragedi berlaku sepantas kilat. Sebaik saja kami beredar bangun dari kerusi menuju tangga untuk keluar usai majlis "makan beradab" kami itu, tiba-tiba dengan tak semena-mena..Swoosh..Gedebuk!!! Sedar-sedar aje muka saya dah tercium lantai.
Kain belah terselak segala bagai. Tudung 'batu' kesayangan saya habis hitam kena air kasut-selipar orang lalu-lalang. Baju cantik saya habis jadi kain lap lantai. Muka emak pula dah masam macam asam boi. Yang lain-lain tu, blurr saja pada pandangan saya.

Dalam kereta, jenuhlah saya menadah telinga dengar leteran emak sebab degil nak pakai juga kasut tumit tinggi pinjam yang saiznya besar macam kasut Mickey Mouse tu!

Cerita kedua pendek sahaja. Saya ini sedari kecil lagi memang takut dan geli akan lipas. Saya tak tahan lihat sesungutnya yang panjang dan paling tak tahan dengan kakinya yang berduri-duri tu. Kalau ternampak lipas, saya akan cepat-cepat panjat kerusi sampailah lipas tu betul-betul dah mati disesah oleh emak. Adik-adik pun memang dah cukup faham dengan perangai saya. Kalau ada lipas dalam bilik, biasanya Asu la yang akan bertindak sebagai 'pest controller'. Tapi dalam banyak-banyak lipas, saya paling alergi dengan lipas terbang.
Masanya : Malam pengantin pertama saya di rumah emak mentua.
Waktunya : Semasa saya duduk-duduk depan televisyen dengan seluruh keluarga Encik Roomate selepas penat berkenduri-kendara sebelah siang tadi.

Tiba-tiba, sekali lagi dengan tak semena-mena, datang seekor lipas yang cukup busuk hati terbang hinggap di televisyen. Saya punya cemas, Tuhan sajalah yang tahu tapi saya pelik juga bila lihat kaum kerabat Encik Roomate cuma buat bodoh aje. Lipas jahat tu mula meneruskan aktiviti santai beliau dengan terbang dan hinggap atas lantai pula. Diikuti lampu, kipas, rak dan tiba-tiba betul-betul terbang dan 'parking' atas kepala saya. Saya pun apa lagi, daripada seayu-ayu manusia tadi, terus aje terpekik dengan nyaring sampai semua orang tercengang. Encik Roomate dengan penuh lagak hero cepat-cepat tepis lipas tu dan dilenyek pula dengan selipar jepun oleh adik ipar baru saya yang baik hati tu. Nah, lipas dah mati tapi rasa malunya? Kekal abadi...huhuhu

Moral of the story : Tak payah kontol ayu!

Lagu Reben Kuning

Lagu ni salah satu lagu kegemaran saya..tiada sebarang kenangan yang spesifik, cuma saya sangat suka akan senikatanya yang manis...

Thursday, May 6, 2010

Hati terkenang mulut menyebut...

Entah macam mana, sedang saya termenung di birai jendela sambil memerhati rintik hujan, tiba-tiba hati jadi teringat..Teringat peristiwa 01 Jun 2006.

Tanggal itu saya dan Yang Berbahagia Encik Roomate ditunangkan dalam majlis yang sederhana tapi bagi saya masih punya kelas tersendiri. Waktunya lepas solat Isyak. Encik Roomate tidak datang, katanya sedang menunggu dalam debar di rumah - alah, macamlah rombongannya datang dalam keadaan kami tidak tahu! Kan kita sudah siap-siap berjanji nak konon 'sehidup-semati', takkanlah saya sampai nak tolak pinangan pula sampai nak berdebar-debar!

Saya duduk dalam bilik yang berhias cantik dengan langsir baru, hasil tangan emak dengan dikelilingi 'dayang-dayang' yang terdiri daripada sepupu-sepapat perempuan saya yang sibuk sekali membetulkan itu dan ini. Walaupun saya duduk dalam bilik, saya pasang telinga betul-betul mendengar perbincangan ayah dengan wakil Encik Roomate. Habis budak-budak perempuan tu saya lontar dengan 'pandangan beracun' bila mereka berani-berani ketawa-ketawa dan menghalang pendengaran saya. Akhirnya perbincangan selesai dan saya sama-sama aminkan doa karangan ayah yang cukup berbekas di hati. Ayah menuturkan doa dengan lirih dan bersambut linangan air mata, sampai saya jadi sayu dan syahdu betul. Ayah jarang-jarang menangis tapi bila ayah sudah menangis, saya akan jadi benar-benar terharu. Saya tahu betapa ayah kasihkan saya!

Encik Roomate mewakilkan emak dan kakak sulungnya untuk menyarungkan saya cincin emas bertatah berlian permata satu dan tali tangan bertatah berlian juga. Tapi saya paling lemah bila datang bab nak mengambil gambar, maklumlah kalau nak ambil gambar sedang duduk bersimpuh, susah sikit nak cari angle supaya nampak kurus! Haha! Jenuh la, adik-adik 'dayang-dayang' saya meng'cover-line', menangkap dan men'delete'.

Majlis akhirnya selesai juga. Penat saya tersenyum sampai habis lenguh otot-otot muka. Selesai saja rombongan Encik Roomate dijamu nasi bukhari lauk sambal udang istimewa emak, saya terus hantar kawat kepada Encik Roomate a.k.a waktu itu Encik Tunang untuk melaporkan segala hal yang berlaku.

Paling kelakar bila esoknya, Encik Roomate tanya, hantaran apa yang saya letak dalam bakul dengan reben warna kuning-emas tu sebab dia cuma lihat bakul kosong dengan bunga hiasan saja. Saya jawab, strawberi segar campur Ferrero Rocher. Lepas tu saya dengar Encik Roomate marah-marah. Patutlah! Rupa-rupanya tak sempat sampai ke rumah, habis semua strawberi dan coklat disesah oleh anak-anak buahnya dalam kereta! Hahahaha! Bertuah punya budak-budak! (dan saya syak mak budak dengan bapak budak pun sebenarnya join sekali!)

Tuesday, April 13, 2010

Bila Sena Merimbun

Belakang blok tempat saya mengajar ada sebuah kawasan yang agak luas juga. Saya tak tahu nak memanggil kawasan itu sebagai apa, nak kata kawasan landskap taman, tempat itu tak cukup terjaga untuk dipanggil begitu, nak kata kawasan kosong, atau lapang tempat tu sebenarnya tak kosong sebab penuh dengan pokok-pokok besar, nak kata kawasan semak pun macam tak kena juga tapi yang pasti, kawasan itu istimewa di hati saya.
Usai mengajar, saya suka buang pandang ke arah kawasan itu. Biasanya akan ada sekumpulan merpati warna campur-campur yang mengais-ngais tanah sambil mematuk-matuk, jumlah mereka cuma kurang sedikit saja daripada di Trafalgar Square sana! Kadang-kadang tu ada juga suara burung-burung kampung yang barangkali 'turun' ke KL menjenguk anak menantu di kota. Saya juga suka sekali mendengar desiran angin dari celah-celah daun sena yang sangat rimbun. Ada lebih kurang 10 batang pokok yang besar-besar di sana tapi yang paling besar ialah dua batang sena tua yang batangnya hampir dua pemeluk. Entah bilalah pokok itu ditanam dan siapa pulalah yang menanamnya.
Bercakap fasal pokok sena, tiba-tiba saja saya jadi teringat pada sebatang tunggul yang ayah bawa balik dengan vespanya pada suatu petang masa saya dalam darjah lima. Waktu itu, saya campak bola mikasa yang sedang saya main kerana saya kira melihat ayah menanam tunggul itu adalah jauh lebih menarik. Batang kayu itu ayah tanam di penjuru pagar kawat mata punai di halaman rumah kami yang tak berapa luas itu. Selang beberapa lama saya lihat batang pokok itu mula bertunas, dua tiga hari kemudian tumbuh dua helai daun yang cantik dan lembut sahaja, warna hijau muda. Kemudian, tunas jadi semakin banyak dan semakin banyak.
Petang-petang saya selepas itu ditemani oleh teduhan sena yang ayah tanam. Dekat situ saya main khemah-khemah, masak-masak dan main Eddie, Dean, George dan Mona (ini permainan kegemaran saya di mana saya 'lakonkan' semula cerita daripada buku 5 sekawan yang saya tak jemu-jemu baca itu) - Saya paling tak puas hati main permainan ni sebab emak tak pernah nak benarkan saya buat unggun api. Tak tahukah dia bahawa pengembara dan penyiasat hebat perlu pandai buat unggun api?
Lepas saya selesai ambil keputusan UPSR, kami sekeluarga pindah jauh dari situ, ke rumah kami sekarang. Sehinggalah baru-baru ini, apabila saya berpeluang untuk lalu semula di kawasan itu. Wah! Pokok sena ayah sudah besar betul! Daunnya subur dan pokoknya rendang. Di bawah pokok sena ayah, dua orang kanak-kanak - barangkali anak tuan rumah baru ini sedang main pasir dengan selesa. Selamat daripada matahari yang garang membakar. Maka apa lagi, saya terus-terus saja jadi terkenang, sayu dan terharu sungguh-sungguh!
Minggu lepas, saya dengar pihak PIBG sekolah nak tebang habis pokok-pokok sena di belakang blok, mereka nak ganti dengan taman pokok hiasan. Sebabnya, pokok-pokok sena tu semua dah besar sangat, bimbang ancaman ular dan monyet kepada anak-anak sekolah. Banir sena dah pecahkan pagar, pecahkan longkang dan retakkan bangunan blok.
Dan saya? Semestinya saya sangat sedih. Akan tiada lagi desiran angin nyaman dari daun-daun yang gemersik, tiada lagi sinar matahari yang membentuk corak-corak kanopi daun di tanah, tiada lagi kawanan merpati, tiada lagi siulan tekukur kerana yang akan ada cuma tanah yang panas dan gersang serta tengah hari yang membahang. Kasihan si sena tua, dan kasihan sungguh pada anak yang bapanya tanam sena itu, sebab apabila dia kembali semula nanti, apabila dia sudah rindu-rindu, sena yang ditanam bapanya itu sudahpun tiada!

Sunday, April 11, 2010

Saya yang beruntung :-)

Apa untungnya satu jabatan dengan En. Roomate?

i) Saya boleh datang kerja dengan berlenggang kangkung sahaja sebab beg notebook saya yang berat macam gajah bunting sulung (yang saya dengan suka hatinya sumbat kertas segala bagai kat dalamnya) tu tiap-tiap pagi En. Roomate yang tolong bawa.

ii) Saya boleh senang-senang sahaja kirim SMS supaya En. Roomate belikan air mineral sejuk atau tapaukan teh o ais tiap-tiap kali saya ter'skodeng' dia berjalan ke arah kantin dari tingkap bilik kerja saya.

iii) Masa waktu mesyuarat, saya boleh main SMS, atau conteng-conteng gambar orang, atau paling tidak duduk berangan fasal apa-apa sekalipun sebab En. Roomate saya yang rajin dan terlebih prihatin serta ter'over' ramah itu akan buat ulasan tentang isi mesyuarat tadi sepanjang jalan pulang - jadi saya dengan 'otometiknya' boleh tahu kesemuanya daripada dia sahaja, sebab kalau saya dengar di mesyuarat maknanya saya terpaksa dengar dua kali pula!

iv) Segala bagai surat-surat saya, slip gaji, nota-nota, pekeliling dan macam-macam dokumen lagi itu saya tak payah susah-susah ambil dan simpan sebab En. Roomate saya ini memang rajin kalau datang bab menyusun dokumen dan membuat fail.

v) Saya tak payah susah-susah baca notis sebab semuanya dah terakam dalam otak En. Roomate yang macam kalkulator saintifik tu.

vi) Saya boleh sangkut beg galas, letak fail dekat celah ketiak dia, atau masukkan bekas pensel dalam beg dia masa dia lalu di tempat saya dalam perjalanan ke kereta. (Kalau hendak keluar dari pejabat, dia mesti lalu di tepi meja saya sebab meja saya dekat dengan pintu) jadi saya cuma perlu tunggu dan titip kiriman saja..haha

vii) Kalau dia jadi ketua apa-apa program, dia akan masukkan saya sebagai AJK kecil yang biasanya kerjanya tolak habuk saja.

viii) Kalau orang lain jadi ketua pula dan saya kena jadi AJK yang kerjanya berat-berat, dia akan tolong buatkan semuanya sampai beres.

ix) Kalau ada orang lain berani-berani buat tak tentu dengan saya, nescaya menyesallah orang itu kena 'karan' oleh En. Roomate.

x) Kalau saya bertembung dengan En. Roomate di kantin, lepas makan saya boleh terus cabut sebab nanti En. Roomate akan tolong settle kan hal bayarannya.

xi) Kalau saya malas ke atau segan ke nak cakap di depan ramai, En. Roomate dengan senang hatinya akan tolong cakapkan sebab dia memang suka dekat mikrofon.

dan yang paling 'ter'penting sekali...

En. Roomate tak dapat peluang nak dekat pun dengan budak-budak praktikal yang comel-comel tu sebab saya ni memang seorang pengintip yang cekap..dan budak-budak comel tu pun tak akan berani-berani nak bersenda gurau dengannya sebab takutkan jelingan manja saya! Haha!

Sekian.

Sunday, April 4, 2010

Dikau Dalam Kenangan

Entri kali ini saya dedikasikan khas buat Pak. Yang melintas di fikir saya baru sekejap tadi.
Sebetulnya saya tidak begitu mengenalinya. Wajahnya cuma samar-samar sahaja dalam ingatan saya. Yang saya ingat, rangka tubuhnya agak besar walaupun kulitnya sudah kendur. Mungkin suatu ketika dahulu pak ini sasa orangnya. Bekerja sendiri sebagai tukang rumah, saya kira firasat saya pasti tidak begitu jauh tersasar kerana jika mahu jadi tukang rumah di waktu semua kerja masih perlu pakai tangan, anda harus jadi seorang yang kuat. Yang lain-lain saya tak ingat kecuali matanya yang sangat mirip dengan Encik Roomate.
Saya dengar Encik Roomate itu kesayangannya. Kalau dia bawa balik rambutan dari kebun, yang molek-molek semuanya Encik Roomate yang punya. (Sebab itulah agaknya Encik Roomate saya ini manja sangat, dia memang sudah menjadi manja sejak dari mula lagi!)
Pertemuan saya yang pertama dengan Pak adalah juga pertemuan yang terakhir. Pak terlantar sakit tapi masih berkeras untuk tinggal sendirian, dia tak betah menyusahkan siapa-siapa, padahal bukanlah suatu yang sangat membebankan pun untuk kakak-kakak yang berlima itu menjaga Pak yang seorang!
Tika saya merapati Pak, Encik Roomate yang pada masa itu belumpun siapa-siapa dengan saya turun ke bawah sekejap, entah mencari apa. Saya sendirian dengan Pak. Pak tersenyum melihat saya. "Oh, inilah dia bakal isteri Awang" (panggilan Awang kalau bagi orang Terengganu mencerminkan rasa sayang yang teramat sangat oleh seorang bapa terhadap anaknya). Saya diam sahaja, saya tak berani nak mengangguk atau mengeleng sebab masa tu, saya cuma kawan biasa saja dengan En. Roomate (walaupun saya selalu juga puji ketampanannya dalam hati, haha).
Tiba-tiba Pak bangun dan duduk bersila dengan susah payah. Katanya, "Mek, (Mek ini pun panggilan sayang juga tapi untuk anak perempuan-nampaknya dia sudah berkenankan saya) Mek nanti baik-baik dengan Awang, doksoh baloh (bergaduh), Mek jagalah Awang molek-molek deh, lepas tu kalu Awang ada buat salah, tegurlah dia, nasihatlah dia". Saya jadi sangat tersentuh dengan kata-katanya yang bernada sayu. Rasanya macam dia serahkan anak kesayangannya kepada saya aje. Saya angguk-angguk untuk senangkan hatinya. Saya sempat juga tolong picit-picitkan labu betisnya sebelum kami pulang.
Tak lama selepas itu, saya dengar khabar yang Pak telahpun dijemput pulang. Saya menangis dalam hati, segala permintaan Pak telahpun menjadi amanat.
Lama juga lepas kejadian tu barulah saya ceritakan kisah amanat Pak kepada Encik Roomate (yang masa tu masih lagi berstatus teman tapi mesra dengan saya). Encik Roomate tersenyum sambil berkata, "Akhirnya sempat jugak Arwah Pak kenal bakal menantu dia". Dan saya jadi GULP! Tidak terkata!

Friday, April 2, 2010

Saya dan Encik Jumaat

Hari Jumaat kebiasaannya adalah hari persekolahan yang paling santai dalam seminggu. Maklumlah, kami semua dapat pulang jam 12.30 tengahari. Awal sangat. (Encik-encik engineer, tuan-tuan doktor, puan-puan akauntan dan cik-cik kerani, sila jangan dengki ya..kalau terdetik juga sedikit rasa iri, sila semak headline Berita Harian 01April 2010. Kami ini sudah cukup terseksa tahu. haha).
Sejak pukul 10.45 pagi lagi sebaik kelas terakhir saya usai, otak saya sudah mula ligat memeta aktiviti hujung minggu, buat apa, makan di mana, filem apa yang perlu dikritik minggu ini, menyusun aktiviti mengemas rumah atau paling tidak merancang-rancang untuk tidur sekejap sebaik balik sekolah.
Pelajar pula lagilah terlebih excited menunggu hujung minggu. Kalau dijenguk kelas-kelas terkebelakang pada hari Jumaat, hampir separuh pelajar dah pun dengan jayanya 'mencutikan' diri sendiri sehari lebih awal.
Minggu ini saya dah siap-siap merancang yang saya tidak akan mengajar. Saya mahu ambil sedikit masa untuk mendekati pelajar-pelajar saya. Ya lah, saya tak mahu juga mereka nanti labelkan saya sebagai robot pengajar yang tiada berjiwa. Jadi untuk kelas Pendidikan Sivik, saya dekati sekumpulan pelajar. Saya tarik kerusi dan main BINGO dengan mereka. Wah! Suka benar budak-budak tu. Beria-ia mengajar saya yang pura-pura tak pandai main, padahal BINGO itu 'makanan' saya sejak darjah tiga lagi. Mula-mula saya buat-buat kalah. Lepas dua tiga kali, saya mula main betul-betul dan menang dan menang lagi. Tercengang mereka, "Waa..cikgu ni 'terer' la, baru belajar dah pandai". Saya tersenyum sahaja.
"Apa-apapun kalau kita belajar nanti-nanti mesti kita boleh jadi pandai, yang jadi tak pandai-pandai tu sebab kita tak mahu belajar". Satu pelajaran tidak formal untuk mereka dan saya keluar.
Kemudian saya masuk pula ke kelas Pendidikan Moral. Saya dekati sekumpulan pelajar perempuan India yang tengah ketawa terkekek-kekek. Rupa-rupanya seorang pelajar kena ejek dengan kawan-kawannya sebab mereka jumpa sehelai surat cinta yang ditulis oleh budak perempuan yang kena ejek tadi. Seorang kawannya berikan surat itu untuk saya baca, mati-mati budak yang tulis itu mahu rampas semula surat tadi tapi dengan cekap cepat-cepat saya angkat tinggi-tinggi. Apa lagi, bersorak kawan-kawannya tengok pelajar tadi kena sakat dengan cikgu. Sebenarnya, sebahagian besar isi surat itu saya tak faham langsung, maklumlah pelajar kelas akhir, mereka ni out bila datang bab mengeja. Saya cuma faham perkataan terakhirnya saja, "I love you Mohan". Wah wah, cekap pula dia mengeja yang itu. Saya tanya pada kawan-kawannya siapa Mohan ni?
"Superstar cikgu". Lohh?!
"Cikgu, cikgu kenal cikgu? mau tengok cikgu? Very handsome cikgu".
"Mana? bagi sini cikgu tengok, handsome ke tak".
"Handsome cikgu, kalau cikgu tengok, mesti cikgu suka dekat dia". Makin la saya teringin nak tengok. Lagipun sebenarnya saya mahu sangat tengok lelaki macam mana yang dikata sangat-sangat kacak dari sudut pandang mereka-mereka ini. Budak perempuan tadi keluarkan sekeping dua gambar yang dipotong dari majalah. Saya tilik gambar tadi sambil angguk-angguk.
"Haa..kan kami sudah cakap, cikgu mesti mau suka dia punya". Saya unjuk balik gambar tadi sambil sembunyikan ketawa.
Mana taknya, sebiji macam gambar suami Teh Za, jiran sebelah rumah saya yang kerja jual barang-barang plastik dekat pasar borong tu saja. Cuma apa yang perlu anda buat adalah ambil gambarnya dan lukis jambang dan misai dengan pen marker!
Apa yang hendak saya kata di sini ialah sebenarnya betullah kata orang tu, cantik itu subjektif sangat. Beauty lies in the eyes of the beholder!

Friday, March 19, 2010

"Spring Cleaning"

Wah! Betapa lamanya sudah saya tak berpeluang 'menjenguk' blog ini. Bukan saya tak pernah langsung masuk ke sini, saya selalu-selalu juga singgah - singgah sekadar untuk mendengar indahnya Schubert's Serenade. Kadang-kadang saya singgah untuk membaca entri-entri lama. Tapi sejak kebelangan ini saya memang tak berkesempatan untuk masuk ke sini langsung. Lantas apabila hari ini rasa rindu untuk menulis santai terasa memuncak, saya terus saja ke sini. Rasa sedih menggigit tangkai jantung apabila Schubert's Serenade sudah tidak bernyanyi lagi, entah di manalah silapnya. Mungkin tempoh 'pinjaman' saya sudah luput waktu atau mungkin juga 'laluan penghubungnya' sudah terputus. Wallahu a'lam, saya tidak tahu sebab saya tidak punya terlalu banyak waktu untuk menyiasat.

Walau apapun, janji saya pada diri sendiri saya akan peruntukkan juga masa sekurang-kurangnya dalam satu jam seminggu untuk menulis di sini. Sebetulnya, selain ingin membuang jauh rasa tertekan - dek haruan tesis yang membukit, saya ingin sekali kalau suatu hari nanti Si Pelanduk Kecil dapat meneroka sendiri gaya fikir ibunya dan membuat penilaian berdasarkan kaca matanya sendiri tentang aspirasi dan persepsi ibunya, tanpa si ibu perlu memukadimahkan apa-apa. Saya mahu dia bebas untuk bertanggapan apa-apa pun.

Terlanjur singgah, rasanya saya perlu buat sikit sebanyak "spring cleaning" - buang mana-mana sampah yang tak perlu, bersihkan sawang-sawang yang bergentayangan di sana-sini, mop sikit-sikit dan kemudian sembur sedikit pewangi biar blog ni jadi macam blog yang ada tuan punya, bukan macam blog berhantu yang sudah kematian tuan.

Sampai di sini buat kali ini dan oh ya, jika selama ini saya selalu lupa untuk menyatakan, saya ingin sekali katakan secara rasmi di sini bahawa Si Pelanduk Aleiya itu adalah jantung hati saya dan saya terlalu sayang serta rindu kepadanya. Semoga Aleiya gembira tinggal dengan nenek buat sementara waktu ini dan oh tesis! cepat-cepatlah kamu usai dan menjauh. Jangan tegar pisahkan kami lama-lama...

Sunday, March 14, 2010

Kasih seribu tahun lagi...

Hari ni hari ulang tahun Encik Roomate yang ke-29. Tak banyak yang hendak saya nyatakan selain rasa syukur yang teramat sangat atas kesempatan yang Tuhan berikan - kesempatan untuk berteduh dan menumpang kasih padanya, kesempatan untuk sama-sama menelusuri lorong-lorong hidup di sampingnya. Terima kasih ya Allah kerana pinjamkan aku Encik Roomate yang baik, yang cukup sifatnya sebagaimana layaknya seorang lelaki yang bergelar suami. Kadang-kadang saya terfikir, apalah kebaikan yang telah saya buat di dunia sehingga Tuhan hadiahi saya dengan hadiah yang sungguh tidak ternilai ini...

Semoga abang mendapat kebaikan tertinggi dunia dan akhirat. Dan semoga saya sentiasa ingat untuk bersyukur.

Friday, March 12, 2010

Selamat Hari Jadi Sayang!

Diam tak diam hari ini genap usia Si Pelanduk Kecil Aleiya 2 tahun. Terasa baru benar dia datang membahagiakan hidup kami. Mengimbau detik-detik bahagia sewaktu kami dikhabarkan tentang kehadirannya, waktu itu saya rasa seperti dunia turut sama tersenyum gembira. Memanglah, waktu-waktu tiga bulan terawal itu terasa begitu menguji, tetapi apalah sangat ujian yang sedikit itu berbanding nikmatnya memandang mata hitam kecilnya yang bercahaya sewaktu pertama kali dia buka matanya dipangku saya. Kata orang, kalau kita tidak berani menempuh pekat malam, mana mungkin kita akan bertemu dengan fajar yang indah.Bukankah begitu?

Aleiya ini kerenahnya sedikit. Makannya senang dan penjagaannya pun mudah. Barangkali Tuhan sengaja mahu mempermudahkan saya sebab Dia tahu, saya ini ibu yang naif. Hari pertama Aleiya di dunia saya tidak memberinya minum apa-apa pun! Kalau difikir-fikirkan balik..aduhai..kasihan sungguh anak mama..mesti dia terlalu lapar tetapi tidak mengerti untuk bersuara. Saya pelik juga melihat orang katil sebelah yang sudah beranak dua itu asyik sekali menyua susu kepada anak kecilnya, walaupun ketika bayi itu sedang tidur. Saya fikir isk, isk, isk dahsyat betul ganggu anak kecil sedang tidur. Barangkali, dia pun sebenarnya bertambah-tambah lagilah pelik melihat saya yang relax saja, tak buat apa-apa langsung. Bila emak sampai petang itu, barulah emak angkat Aleiya, basuh mukanya, lurut rambutnya yang hitam lebat dengan air dan sikat dengan sikat kecil warna putih yang saya sebenarnya bawa aja dari rumah, cuma tak diguna saja. Emak tukar lampin dan bedakkan dia, wangi sekali. Barulah nampak macam baby, tadi nampak macam apa aja!

Sebenarnya, saya sudah banyak kali benar berkira-kira untuk mengangkat dia dan meriba dia rapat-rapat di dada, cuma saya takut saya patahkan jari-jarinya yang halus itu, atau kehelkan sendi bahunya yang nampak sangat fragile itu. Jadi saya ini tak bolehlah dipersalahkan seratus peratus ya.

Akhirnya sepanjang malam pertama kami berdua itu, saya asyik angkat-letak dia saja. Rasa tak puas. Tak puas melihat wajahnya, tak puas melihat matanya, tak puas mencium rambutnya, dan pipinya, tentu..rindu sekali! Saya nyanyikan dia satu dua buah lagu dan saya ceritakan macam-macam padanya. Dia diam saja, sambil memandang saya macam anak yang taat. Wah! Perasaan indah ini tidak akan bisa dibeli di mana-mana kedai sekalipun! Separuh malam lagi dia asyik tidur saja. Bagi saya, tak menangis ertinya tak lapar. Takkanlah saya mahu selak baju macam kakak sebelah ni macam tu aja. Saya ni perempuan Melayu terakhir okay! Akhirnya sebelum subuh saya siap tukarkan lampinnya, basuh muka dan lurut rambutnya. Saya juga tukar bajunya dengan baju yang baharu. Dia macam tahu-tahu saja mamanya sangat pemalu jadi dia tak pernah menangis minta susu, sampailah malam kedua sewaktu kami sudahpun di rumah, barulah dia menangis sampai merah-merah mukanya.Kelam kabut saya suakan apa yang ada!

Aleiya sekarang ternyata anak yang pintar. Di usia 20 bulan dia sudah lancar membilang satu sampai sepuluh, one hingga ten dan A sampai Z. Cuma dia kerap sekali tertinggal huruf M dan N. Sekarang saya sedang ajarkan dia membilang dalam Bahasa Arab dan Perancis. Bahasa Arab mahu juga diikutnya, tapi bila datang Bahasa Perancis, dia akan ketawa main-main setiap kali saya menyebut 'trois' dan 'quatre'. Yang pasti, dia sangat manja dengan saya. Setiap malam dia akan kata "Good night mama..I love you mama" dan dia akan ulang-ulang sampailah saya jawab "Good night Ya, I love you too Ya" barulah dia hadiahkan saya dengan ciuman di pipi. Ah! Puteriku yang terlebih manis ini, pandai saja mencairkan hati.

Selamat hari jadi sayang, semoga sayang mama ini panjang umurnya, teguh imannya dan murah rezekinya. Semoga dia jadi anak yang cantik akhlak dan pekerti. Amin.

Sunday, February 14, 2010

Raikan Cinta!

Bulan Februari datang lagi. Istimewanya bulan ini di mata saya adalah kerana bulan Februarilah yang menemukan saya dengan En. Roomate dan setahun kemudian di bulan Februari jugalah kami sama-sama memateri kata cinta - Februari 2006, Encik Roomate belikan saya sebentuk cincin tanda - cincin perak cuma, tetapi impaknya telah membuatkan saya kenyang seminggu dengan hanya memandangnya! Cincin yang dibeli dengan wang yang dikeluarkan daripada dompet merah tua yang lusuh itu sudah cukup membuatkan air mata saya menitis di dinihari.

Bulan Februari sering saja dikaitkan dengan cinta. Kalau kita lihat di pusat-pusat membeli-belah, kiosk-kiosk kecil apatah lagi gedung-gedung berjenama hebat, mereka semua saling berlumba-lumba mempamerkan itu dan ini yang kesemuanya mengungkap konotasi cinta. Tapi saya tak pula punya autoriti untuk memberi komen baik buruknya menyambut Hari Kekasih, lagipun subjek itu sudah terlalu banyak kali benar dikupas sehingga sudah menjadi klise benar!

Apa yang penting, di Hari Kekasih 2010, saya telah mendapat sebotol wangian Body Shop yang dah lama benar saya idam-idamkan. Encik Roomate pula nampaknya sangat puas hati dengan set electric shaver yang saya berjaya dapat dengan tawaran yang agak baik. Kami akhiri sambutan kecil kami dengan makan malam yang tenang-tenang di Nando's sebelum Aleiya memutuskan untuk balik cepat dengan 'melangsaikan hajat' di kala kami sedang menamatkan suapan-suapan yang terakhir. Kami pulang ke rumah seusai Aleiya saya mandikan di Baby Room, Jusco Midvalley dan pakaikan pijama kuning air gambar zirafah kegemarannya. Dia tidur nyenyak di pangku saya sebaik saja beberapa minit kereta berjalan.

Bagi kami, kami bukan sama sekali pergi merai Hari Kekasih @ Valentine Day hari ini. Kami cuma pergi meraikan cinta, yang sebetulnya boleh saja dirai bila-bila masa dalam setahun, cuma kami pilih hari ini sebab hari ini kami boleh dapat apa yang kami mahu dengan harga yang lebih rendah, itu sahaja. Maka, salahkah kalau hari yang kami pilih terkebetulan pula jatuh pada 14 Februari? Saya tak fikir begitu.