Belakang blok tempat saya mengajar ada sebuah kawasan yang agak luas juga. Saya tak tahu nak memanggil kawasan itu sebagai apa, nak kata kawasan landskap taman, tempat itu tak cukup terjaga untuk dipanggil begitu, nak kata kawasan kosong, atau lapang tempat tu sebenarnya tak kosong sebab penuh dengan pokok-pokok besar, nak kata kawasan semak pun macam tak kena juga tapi yang pasti, kawasan itu istimewa di hati saya.
Usai mengajar, saya suka buang pandang ke arah kawasan itu. Biasanya akan ada sekumpulan merpati warna campur-campur yang mengais-ngais tanah sambil mematuk-matuk, jumlah mereka cuma kurang sedikit saja daripada di Trafalgar Square sana! Kadang-kadang tu ada juga suara burung-burung kampung yang barangkali 'turun' ke KL menjenguk anak menantu di kota. Saya juga suka sekali mendengar desiran angin dari celah-celah daun sena yang sangat rimbun. Ada lebih kurang 10 batang pokok yang besar-besar di sana tapi yang paling besar ialah dua batang sena tua yang batangnya hampir dua pemeluk. Entah bilalah pokok itu ditanam dan siapa pulalah yang menanamnya.
Bercakap fasal pokok sena, tiba-tiba saja saya jadi teringat pada sebatang tunggul yang ayah bawa balik dengan vespanya pada suatu petang masa saya dalam darjah lima. Waktu itu, saya campak bola mikasa yang sedang saya main kerana saya kira melihat ayah menanam tunggul itu adalah jauh lebih menarik. Batang kayu itu ayah tanam di penjuru pagar kawat mata punai di halaman rumah kami yang tak berapa luas itu. Selang beberapa lama saya lihat batang pokok itu mula bertunas, dua tiga hari kemudian tumbuh dua helai daun yang cantik dan lembut sahaja, warna hijau muda. Kemudian, tunas jadi semakin banyak dan semakin banyak.
Petang-petang saya selepas itu ditemani oleh teduhan sena yang ayah tanam. Dekat situ saya main khemah-khemah, masak-masak dan main Eddie, Dean, George dan Mona (ini permainan kegemaran saya di mana saya 'lakonkan' semula cerita daripada buku 5 sekawan yang saya tak jemu-jemu baca itu) - Saya paling tak puas hati main permainan ni sebab emak tak pernah nak benarkan saya buat unggun api. Tak tahukah dia bahawa pengembara dan penyiasat hebat perlu pandai buat unggun api?
Lepas saya selesai ambil keputusan UPSR, kami sekeluarga pindah jauh dari situ, ke rumah kami sekarang. Sehinggalah baru-baru ini, apabila saya berpeluang untuk lalu semula di kawasan itu. Wah! Pokok sena ayah sudah besar betul! Daunnya subur dan pokoknya rendang. Di bawah pokok sena ayah, dua orang kanak-kanak - barangkali anak tuan rumah baru ini sedang main pasir dengan selesa. Selamat daripada matahari yang garang membakar. Maka apa lagi, saya terus-terus saja jadi terkenang, sayu dan terharu sungguh-sungguh!
Minggu lepas, saya dengar pihak PIBG sekolah nak tebang habis pokok-pokok sena di belakang blok, mereka nak ganti dengan taman pokok hiasan. Sebabnya, pokok-pokok sena tu semua dah besar sangat, bimbang ancaman ular dan monyet kepada anak-anak sekolah. Banir sena dah pecahkan pagar, pecahkan longkang dan retakkan bangunan blok.
Dan saya? Semestinya saya sangat sedih. Akan tiada lagi desiran angin nyaman dari daun-daun yang gemersik, tiada lagi sinar matahari yang membentuk corak-corak kanopi daun di tanah, tiada lagi kawanan merpati, tiada lagi siulan tekukur kerana yang akan ada cuma tanah yang panas dan gersang serta tengah hari yang membahang. Kasihan si sena tua, dan kasihan sungguh pada anak yang bapanya tanam sena itu, sebab apabila dia kembali semula nanti, apabila dia sudah rindu-rindu, sena yang ditanam bapanya itu sudahpun tiada!
Tuesday, April 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment