Seharian semalam di tempat kerja, saya duduk depan komputer, cuba kumpul bahan untuk projek novel terbaharu saya (wah, bila saya tulis begini terasa macam saya dah pun punya berbelas-belas judul novel yang dah terbit kan?) Sebetulnya yang ini adalah projek (mega??) saya yang ke empat ratus tujuh puluh lapan agaknya. Yang empat ratus tujuh puluh tujuh sebelum ni semuanya sudah selamat "bersemadi" selama-lamanya dalam tong sampah. Haha!
Kali ni saya ingin sekali menyentuh tentang poligami. Bab yang satu ini semacam ada pesona 'intrig' untuk menggamit saya meneroka permasalahan dan emosi di sebaliknya dengan lebih dalam lagi. Sempat juga saya tarbiyyah hati di blog Minda Tajdid sambil merewang-rewang sekitar beberapa laman dan blog lain. Akhirnya, saya dapat satu konklusi (jika boleh dipanggil konklusi lah) bahawa dunia ini pinjam-pinjaman. Berteraskan falsafah pinjam-pinjaman inilah maka, segala isi dunia ini turut samalah bersifat pinjaman, tiada yang kekal abadi melainkan Dia.
Maka, konotasinya mudah, sudah dipinjamkanNya saya seorang suami (yang kacaknya boleh tahan jugalah) jadi apalah salahnya kalau saya pula pinjamkan suami (kacak) saya supaya kaum saya yang lain - yang teraniaya, yang balu beranak lapan, yang agak-agak sudah lanjut usia supaya dapat merasa menjadi seorang isteri selain dapat pula berkongsi kasih beliau, kan? Lagipun kasih sayang ini sifatnya tumbuh, tidak akan habis. Boleh diberi, diberi dan terus diberi. Lagi, lagi dan lagi. Kasih sayang dan cinta bukan macam petrol kereta yang akan kering bila sampai waktunya. Kasih sayang jika dibaja dan dibelai rapi akan tumbuh terus, malah semakin tinggi, subur dan melata. Lagi pula, Allah kan tidak akan pernah suka dengan orang yang haloba. Apa lagi kalau si haloba itu seorang perempuan, maka semakin buruklah kelihatannya, kan? Lagipun masa tadika dulu emak kan selalu saja pesan supaya kongsi barang-barang dengan kawan-kawan. Sama lah tu.
Satu lagi, berpoligami ni ada baiknya juga untuk wanita. Walaupun 95.98% wanita akan keras-keras menafikannya. Ya lah, apa sahaja kerja pun perlu ada Cuti Rehat Khas kan. Apa lagi kerja sebagai isteri. Mengemas. Membasuh. Menjemur. Melipat kain baju. Melayan suami. Memasak. Menyapu. Mengemop. Melayan suami. Menyeterika. Mengurus anak-anak. Melayan suami. Siram pokok bunga. Melayan suami. Kemas dapur. Melayan suami. Berus longkang. Melayan suami. Penat kan? Isteri pun kadang-kadang mahu juga keluar seharian, sampai puas. Habiskan masa membeli-belah tingkap, makan-makan dengan kawan-kawan lama, tinjau-tinjau buku dan CD terkini, silau-silau baju dan kain ela, belek-belek barang kemas, manja-manjakan diri dekat spa dan macam-macam lagilah termasuk balik kampung secara solo untuk menunaikan janji pada adik untuk bawa dia jalan-jalan makan pizza di pekan. Bukannya tidak boleh buat semua itu jika suami ada menunggu di rumah. Boleh saja. Cuma yang tak akan adanya hanya satu, KETENANGAN. Haha.
Bagus, Puan Ida! Anda memang seorang realis!
Baik. Balik ke rumah. Encik Roomate buka baju dan seluar, campak atas katil macam biasa kemudian macam biasalah, terus selam atas katil yang lendit cadarnya. Great. Saya tinggalkan Aleiya di ruang tamu dengan puzzle barunya, segelas ribena dan sebiji donut. Saya terus ke bilik air, mandi. Keluar dari bilik air, kepingan puzzle bersepah, air ribena tumpah dan gula dari donut mencecer atas karpet ruang tamu. Dan Encik Roomate tidur sahaja dengan wajah yang aman. Yes, great. Saya menyapu dan mengemas sambil membebel. Membebel juga supaya Aleiya cepat-cepat masuk bilik air untuk buang air. Macam biasalah, mesti dia banyak alasan. Kemudian, selama ini tak pernah-pernah pun, dengan tak semena-mena terkencing dalam seluar. Baguslah. Memang bagus sangat. Saya basuh semuanya, pakaikan baju yang baharu dan cuba duduk atas kerusi sebelum dia mengadu hendak buang air besar pula. Saya lalu depan pintu bilik untuk ke bilik air dengan mulut yang riuh, peliknya Encik Roomate sikitpun tak terganggu.
Malam. Encik Roomate akhirnya keluar kepompong untuk ke kedai beli roti canai. Tiba-tiba, saya dengar bunyi 'klik' macam bunyi orang pulas tombol pintu dari luar. Hati saya sudah kecut. maklumlah, kejiranan saya tak begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini. Kemudian saya dengar bunyi seretan selipar mundar-mandir depan pintu. Saya pangku Aleiya, suruh dia duduk diam-diam sampailah Encik Roomate pulang bawa tiga biji roti telur. Saya ceritakan semua kepadanya. Encik Roomate dengar dengan hati-hati. Dia ambil cota dan letak hampir dengannya. Dia juga berpesan, kalau rumah diceroboh, saya bawalah Aleiya ke bilik belakang dan kuncinya dari dalam. Biar dia di luar lawan penjahat. (Apa? Encik Roomate yang langsung tak punya skill itu? Biar benar..) Tapi dalam diam, saya rasa disayangi. Kami makan roti canai dengan senyap. (Oh ya, dan Encik Roomate pun tak pernah suruh saya masak itu ini, selalu dia akan keluar belikan aje. Maka, dua kali sayang)
Selesai makan dan mengemas dapur, saya bersenang-senang dengan Facebook manakala Encik Roomate mengajar Aleiya membaca. Tiga kali sayang. Sudah, diajarnya Aleiya menyimpan dan menyusun semua buku dan alat tulisnya dengan kemas. Empat kali. Kemudian dua beranak tu sama-sama guling-guling sambil bergelak ketawa atas karpet. Aleiya sampai meleleh-leleh air mata sebab terlampau banyak ketawa. Baik, lima kali.
Tiba-tiba, mata saya tertangkap satu komen pada gambar Encik Roomate yang baru di "upload" beliau sekejap tadi, semasa saya sedang menghidang makan malam. Pang! Aura cemburu datang menampar. Serta-merta dunia bertukar menjadi merah. Darah saya jika disukat dengan termometer pada masa itu, mahu pecah bebulinya. Mahu bertabur isi merkurinya membentuk bintik-bintik bulat warna perak atas skrin komputer. Geram rasa di hati tuhan sahaja yang tahu.
Saya toleh Encik Roomate yang tak tahu apa-apa, yang sedang menggeletek Aleiya yang nakal dengan emosi yang berbaur. Baik, saya tidak cukup kuat wahai Tuhan. Saya tarik balik semua resolusi saya siang tadi. Saya mahu dia sorang-sorang. Tak mahu kongsi-kongsi. Titik.
Sunday, September 25, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment