Monday, June 22, 2009

Hati tertinggal di Titiwangsa

Barangkali entri saya kali ini agak berlainan daripada yang sudah-sudah kerana ia telah ditulis di altitud 1500m dari aras laut. Malam di Tanah Tinggi Cameron. Cuaca agak dingin dengan suhu saya kira sekitar 260C - sekurang-kurangnya jauh lebih dingin daripada suhu di Lembah Kelang. Suasana sepi sungguh. Kalau bukan dek kerana bunyi klik-klik daripada papan kekunci notebook HP saya, langsung tiada bunyi lain yang dapat ditangkap oleh telinga, barangkali kerana waktu yang telah menginjak 1.20 pagi menyebabkan semua penghuni tanah tinggi ini 'menarik diri' daripada sebarang aktiviti.
Mengenangkan saya yang sebenarnya sedang tercampak di salah satu puncak di Banjaran Titiwangsa yang gah itu, di tengah-tengah rimba belantara yang saya kira semestinya penuh dengan rahsia, menyebabkan saya sedar betapa kerdilnya saya jika dibandingkan dengan alam.
Sebenarnya Tanah Tinggi Cameron adalah salah satu destinasi impian saya sejak sekian lama. Saya sering bayangkan yang saya sedang berjalan bergandingan tangan di celah-celah kebun teh bersama lelaki yang saya cintai. Dalam bayangan saya, lelaki itu kemudiannya menghadiahi saya tiga kuntum ros merah yang cantik dan harum. Saya bermimpi untuk jalan-jalan di tepi batas petunia dan daisi sambil memegang setiap kuntumannya, merasa lembutnya kelopak dan harumnya bunga-bunga yang menyambut saya dengan mesra, menghirup teh suam yang diseduh teliti sehingga tepat tahap 'kemolarannya' sambil mengilas kaki, macam tuan-tuan yang punya ladang berekar-ekar. Itu bayangan saya, tetapi yang terjadi seperti ini - saya mengunjungi tanah tinggi ini dengan 32 orang lagi rakan sejawatan yang datang atas urusan kerja, bukan datang untuk enak-enak bersantai di kebun bunga.
Di Ringlet, saya disambut oleh pemandangan gunung-ganang daripada rangkaian Banjaran Titiwangsa yang tinggi mencuar. Jauh dan membiru, gagah dalam bisu. Air terjun dan tasik kelihatan dingin sekali. Semakin ke atas menuju arah Tanah Rata, hati saya mengakui kata-kata Cikgu Latifah, guru Geografi saya semasa di Tingkatan Dua -"Makin tinggi atas gunung, strata pokok makin berbeza, ada pokok tirus, pokok renek, lepas tu lumut..tu yang pusing belakang tu dengar ke tidak?", Cikgu Latifah tiba-tiba tanya sahabat saya Nurhayu, yang elok-elok saja mengadap saya membelakangkan cikgu. Nurhayu pusing depan semula, merah mukanya. (Nurhayu sekarang sudah jadi doktor gigi, berkhidmat sambil belajar di Brisbane =) Ucapan selamat saya kepadanya.
Tiga jenis tumbuhan memukau saya, pohon-pohon konifer pelbagai spesies yang menggugurkan biji benih di atas rumput padang golf Tanah Rata, pokok paku pakis saiz gergasi dan pohon buluh yang daunnya lebar-lebar sebesar daun pokok mempelam.
Saya cuma dapat perhatikan tiga jenis spesies pokok tirus yang salah satu daripadanya mirip sekali dengan gambar pohon Redwood gergasi di California yang saya pernah lihat dalam buku ensiklopedia yang saya pinjam dari Perpustakaan Awam Kerteh masa saya kecil-kecil dahulu. Pokok lain yang seiras pine saya lihat menggugurkan acorn yang kelihatan sama macam dalam cerita kartun 'Chip and Dale' saja. Pokok paku gergasi berbatang hitam pula sekali-sekala kelihatan menggerunkan. Saya fikir mungkin pokok-pokok itu telah wujud sejak zaman jurasik lagi, kalau tidak, masakan ia setinggi itu! Hampir saja separas pohon kelapa dara! Kalau pucuknya mahu dimasak gulai lemak cili api, mahu kenyang sekampung! Dan akhir sekali pokok buluh. Hutan buluh yang gemersik menari mengiringi angin dingin yang menyapa membuatkan saya terasa seolah-olah saya mengunjungi sebuah daerah di Negara China (walaupun sebenarnya saya tak pernah walau sedetik pun meninggalkan Negara Malaysia). Wah, saya kalau bercerita tentang alam, sekajang kertas memang tak pernah cukup. Saya yang mengaku diri seorang environmentalis!
Di tepi jalan, orang-orang asli mendirikan pondok-pondok kecil daripada bilah-bilah buluh. Pondok yang beratapkan rumbia itu kelihatan sebati sekali dengan alam. Di atas para-para buluh mereka jual ubi, taruk kayu, rebung dan pokok hiasan yang cantik, dan kami naik ke atas lagi.
Rossa Pasadena, Brinchang. Di sini anginnya dingin. Di sini permai dan damai. Di sinilah hati tertinggal, nun di puncak Titiwangsa. Tempat dedaun teh menggeliat malas. Tempat gemalai mawar menari. Pagi di Tanah Tinggi Cameron. 3.05, Cameron menangis...

Wednesday, June 17, 2009

Saya dan impian

Saya sememangnya kuat berangan. Saya punya impian yang banyak sekali. Berbicara soal impian membuatkan saya teringat pada satu impian saya yang tak pernah tercapai. Saya pernah berangan hampir setiap masa untuk punya satu unit apartmen sederhana mewah yang terletak di tengah-tengah bandaraya. Apartmen itu dalam fikiran saya tidak besar tetapi cukup cantik, dengan hiasan dalaman bercitarasa tinggi sentuhan tangan saya sendiri. Saya bermimpi untuk mewarnakan dindingnya dengan warna-warna garang dan kemudian menghiasinya dengan kanvas yang dilukis gambar bunga dalam vas tinggi dengan cat minyak. Dan saya berangan untuk melukisnya sendiri. Saya sebenarnya tidak pernah mewarna kanvas dengan cat minyak, tetapi saya kira saya boleh saja belajar dan jika sekalipun lukisan saya tidak cukup cantik, tiada orang yang akan komen kerana yang akan bertembung dengan lukisan hodoh itu saban malam pun bukannya orang lain, tetapi saya sendiri juga. Saya bercadang untuk terus menggantung 'hasil seni' saya itu di situ sehinggalah saya dapat melukis sesuatu yang lebih cantik - mungkin setelah mencuba dengan lebih gigih, barulah saya akan menggantikannya.
Saya benci suasana panas. Oleh sebab itu, saya bercadang memasang hawa dingin bagi setiap ruang di apartmen kecil saya. Pulang dari kerja sekitar jam 6, setelah saya parkir kereta Gen 2 warna oren di garaj, saya akan berdiri lama-lama di balkoni apartmen saya. Saya suka sekali melihat orang lalu-lalang dan kereta bersimpang-siur. Saya gemar memerhati gelagat manusia. Dan seperti kata ayah, semenjak kecil saya memang sentiasa saja pandai memerhati. Saya suka melihat kota dari pandangan atas - sibuk dan penuh aktiviti. Tiap-tiap petang saya akan menyaksikan matahati terbenam di sebalik bangunan tinggi, hari yang semakin suram dan kemudian diganti dengan cahaya neon dari bangunan dan cahaya terang lampu-lampu kenderaan.
Penat berdiri, saya akan masuk, tutup rapat pintu selunsur, pasang penghawa dingin dan saya akan manjakan diri dalam kesuraman lampu mentol kuning, aroma lavender dari pewangi elektrik serta muzik yang dipasang perlahan, mungkin Frank Sinatra kalau bukan Elvis Prestley. Dalam fikiran saya, saya akan duduk enak-enak di kerusi sofa warna merah hati sambil menghirup coklat panas, berfikir tentang perjalanan hari saya.
Saya juga sering memasang impian untuk melihat negara luar seorang diri, tetapi itu semua cerita yang lain. Setelah saya penat menikmati hidup sendirian, yang selesa tetapi sunyi, barulah saya akan terfikir untuk mencari jodoh, barangkali apabila usia saya 33 tahun.
Tetapi Tuhan nampaknya tidak bersetuju dengan rancangan saya apabila, sebelum saya sempat bekerja, saya telahpun jatuh cinta. Untuk yang pertama dan InsyaAllah, terakhir kali.
Saya mengenal dia dan untuknya, saya sedia korbankan segala impian saya.
Sekarang saya hidup tenang-tenang aje. Di usia 28 tahun saya menjadi ibu kepada seorang puteri yang cantik. Saya tidak tinggal di apartmen kecil yang tinggi, saya tinggal di rumah tingkat paling bawah, walaupun masih saja bersaiz kecil. Rumah saya tidak sunyi kerana sering dipenuhi gelak tawa anak-anak jiran. Rumah saya tidak suram kerana disuluh terang lampu kalimatang,baik malam mahupun siang..dan saya tidak pernah pasang muzik kerana dia tidak gemarkan muzik-muzik barat. Pun begitu, di dalamnya saya hidup dengan sangat bahagia. Dan oh ya, saya sempat beli Gen 2 warna oren itu ;-)

Di sini kasih tertumpah

Saya benci untuk menjadi etnosentrik kerana saya mendukung tinggi gagasan Satu Malaysia. Pun begitu, walau di mana sekalipun saya berada, Negeri Terengganu tetap dekat di hati. Pantainya, ombak lautnya, pepohon nyiurnya, sungainya, nasi dagangnya, keropok lekor dan pulut lepanya telah bergaul sebati dengan jiwa saya, mengiringi saya sepanjang jalan menuju dewasa. Dan yang paling utama, adalah kerana saya tahu, di sana ada emak, yang sayangnya tidak pernah surut dan ayah, yang kasihnya tidak pernah susut. Di sana ada adik-adik, Asu, Uda dan Adi, yang keletah dan kerenahnya sentiasa saya rindui. Bersama mereka, saya bisa menjadi diri saya yang sebenar. Itulah sebenarnya antara sebabnya.

Berkereta dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu memakan masa kurang lebih 6 jam. Itupun jika lalu ikut LPT dan jika memecut sekitar 120 km sejam. Jika Abang Khairul yang bawa kereta, alamat tak pernah kurang dari 8 jam, bukan kerana dia kurang cekap tetapi lebih kepada kerana dia terlalu sayangkan saya dan anak kami untuk memotong dan mencelah sana sini sesuka hati.

Dalam menempuh perjalanan yang panjang itupun, tatkala saja saya membaca papan tanda 'SELAMAT DATANG KE NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN' hati saya sentiasa akan menjadi sejuk tiba-tiba. Melihat deretan pokok nyiur yang tinggi melanggut sepanjang jalan dan pokok-pokok rhu yang berpasak gagah membuatkan segala penat dan bosan bertukar rentak menjadi suka. Melihat pakcik-makcik separuh usia yang galak menjual madu tualang, manisan kelulut, umpan udang dan macam-macam jenis makanan kampung di sepanjang jalan di Merchang membuatkan saya rasa semakin dekat dengan rumah. Asap berkepul-kepul dari periuk besar berisi jagung rebus membuatkan saya teringat akan enaknya jagung rebus emak, walaupun kadang-kadang selalu sahaja kekurangan garam.

Tatkala saya buang pandang ke sebelah kanan, ke arah pesisir Pantai Marang, saya seakan dapat menghirup masinnya hembusan angin Laut China Selatan. Ombaknya yang putih bergulung-gulung pecah berderai di gigi pantai menjadi buih-buih yang kemudian diseret semula terapung-apung di permukaan laut yang jernih bak kaca. Ombak Laut China Selatan berlainan sekali dengan ombak Selat Melaka. Ombak di sini garangnya bukan main. Itu belum lagi bersatu dengan angin laut bulan November! Jika di bulan-bulan akhir dalam kalender, Laut China Selatan tidak lagi tersenyum simpul dengan warna-warna biru dan hijau. Kala itu, Laut China Selatan seakan raksasa jahat yang merenung nelayan bot kecil dengan mata merah menyala seolah kelaparan. Di kala itu, laut yang gelisah dan langit yang menangis bersatu dalam warna kelabu yang suram. Sesuram hati anak nelayan, yang terpaksa ke sekolah berbekalkan ubi rebus cecah nyiur dan air daripada botol mineral yang berkerepot kerana diisi kopi yang tadinya panas. Ahh..ombak laut bulan November jarang bersimpati!

Lalu di hadapan deretan gerai di Pantai Kelulut, air liur menjadi kecur dek kerana teringatkan keenakan sotong bakar. Sotong yang baru dicandat malam tadi. Ikan goreng celup tepung, udang, kerang bakar...senarainya tidak pernah akan habis.

Saya juga senang sekali dengan batik Terengganu. Lukisan tangannya terkenal amat indah. Walaupun begitu, saya cuma suka memandang dan menikmati keindahan coraknya sahaja, untuk memiliki sepasang batik corak baru yang cantik itu saya belum mampu. Dengan harga sekitar RM500 sepasang, saya kira ia hanya layak sebagai persalinan mak-mak datin sahaja dan bukan untuk guru biasa bergaji kecil seperti saya.

Di bumi Terengganu inilah kasih saya tertumpah. Di sinilah mengalirnya darah dan air mata. Namun, walau bagaimana sayang sekalipun saya kepada negeri Terengganu dan walau berapa ribu kali sekalipun saya mengaku sebagai watannya, jauh di sudut hati tetap berbunga rasa bangga apabila hujung telinga tertangkap orang berbicara bahawa perempuan Pasir Mas terkenal sangat ayu. Saya yang berasal dari Pasir Mas, Terengganu!

Wednesday, June 10, 2009

Cinta hati saya

Khairul Anuar A. Rahman. Lelaki ini adalah cinta hati saya..Pertama kali melihat dirinya, dia sedang mengelek sejumlah buku di tangan kanannya. Di bilik guru, SMK Padang Negara, Kuala Terengganu. Tarikhnya 02.02.2005 dalam pukul 9 suku lebih. Wah..sampai begitu sekali saya dapat mengingat dengan tepat. Sebabnya, saya akan ceritakan kemudian, jangan lupa ingatkan saya.
Pertama kali melihat dirinya, hati saya berkata " Entah di manalah jodoh saya sedang berada dan apalah pula yang sedang dibuatnya tika ini.." Begitulah apa yang benar-benar terlintas di hati saya saat itu. Saya senyum sendiri. Kemudian kami bertembung pandang untuk beberapa saat. Saya senyum padanya sekilas, sekadar berbahasa dan dia membalas, barangkali atas maksud yang sama.
Sungguh saya tidak menyangka, dialah rupa-rupanya teman yang telah dijanjikan Allah untuk saya, teman yang telah disimpulkan dengan ikatan jodoh sebelum saya mengenal dunia lagi. Dialah rahmat yang telah dianugerahkan kepada saya dalam bentuk lelaki yang sangat sempurna di mata dan di hati saya. Maha Suci Engkau yang telah mempermudahkan!
Barangkali benarlah kata orang bahawa sedang mata tidak mengenal, hati sentiasa akan tahu di mana bahagiannya yang satu lagi berada..Abang, terima kasih untuk segalanya. Engkaulah separuh lagi hatiku yang hilang itu! Semoga kita dapat saling berteman sambil merungkai apakah itu maknanya sayang sampai akhir waktu. Selamat Ulangtahun Perkahwinan yang kedua.

Tuesday, June 2, 2009

Dia yang bernama cinta

Sudah lama benar saya ingin berbicara soal cinta. Seringnya, ada saja halangan yang merencatkan keinginan saya. Malam ini nampaknya saya boleh menulis seenaknya memandangkan Si Pelanduk Aleiya telah tidur dengan pulas sejak jam 9.30 tadi lagi. Harap-harap janganlah Chantek bangun merengek minta susu dulu...
Cinta..
Bila bercakap tentang soal yang satu ini, takrif dan perlambangan yang diberi sering saja cliche. Begitu, sehinggakan orang yang paling kasar sifatnya pun tiba-tiba boleh menjadi begitu puitis apabila disuruh mentakrifkan cinta. Pelik bukan? Sebenarnya tidak..kerana cinta, dengan segala kuasa magis yang ada padanya bisa saja merubah manusia menjadi apa saja.
Bagi saya cinta itu mudah. Cinta adalah satu perasaan yang berasal-usul dari hati. Pun begitu, cinta itu sama sekali tidak sama dengan mana-mana perasaan lain kerana cinta adalah perasaan yang paling agung yang boleh wujud dalam nurani seseorang manusia. Di dalam hati, cinta adalah raja segala rasa.
Maka, tidaklah menjadi suatu kehairanan jika seseorang itu boleh menjadi tunduk kepada perasaan cintanya. Seseorang boleh saja menyeru seseorang yang lain untuk berhenti mencinta tetapi hakikatnya, berhenti untuk mencinta tidaklah sama dengan berhenti daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang lain kerana berhenti mencinta adalah mustahil untuk dilakukan begitu sahaja.
Kalau difikirkan, jika perasaan cinta itu tidak agung, mustahil bagi sebuah empayar yang kukuh dan masyhur seperti Rom boleh hancur hanya kerana penangan kuasa cinta Julius Caesar terhadap Cleopatra..lagipun, bukankah cinta yang memangkin kewujudan kita semua di dunia?
Cinta itu hanya dapat ditakrif oleh mereka yang merasa...