Wednesday, July 29, 2009

Hijab Kekasih (Catatan kecil buat seorang sahabat)

Harus bagaimanakah perlu saya mulakan ye...sebetulnya, saya ingin sekali berbicara soal kasih, berkongsi sudut pandang dan perspektif dalam melihat dunia cinta dari kaca mata seorang perempuan yang sudahpun memiliki cintanya. Moga-moga catatan kecil dari hati ini mampu menjadi dian yang menerangi...

Cinta,
cinta itu pohon kayu
cinta itu dian
cinta itu api
cinta itu penawar kepada racun, yang juga bernama cinta...
...cinta itu ubat segala neka.

Ayuhai,
bukan cintalah namanya andai ia tiada tumbuh
bukan cintalah namanya andai ia tiada membakar diri
bukan cintalah namanya andai ia dingin dan sepi
bukanlah ia itu cinta jika ia tidak mampu menyembuhi

Hijab seorang kekasih sewajarnya bisa disingkap..dan cinta itu seharusnya ada wajahnya..
Wallahua'lam

Menghilang tahun kutahan dahaga
setelah habis madah untuk sang puteri
pautan kasih ku kenal sendiri
teringin ku melihat sebalik hijabmu
wajah yang kupuja - M. Nasir

Peristiwa Hujan Lebat

Hujan. Hujan tidak semestinya sentiasa membawa konotasi yang buruk. Seringnya, hujan mudah-mudah saja dikaitkan dengan rasa sendu, syahdu, pilu, sayu dan air mata. Walaupun, melayan sayunya rasa putus kasih di tengah malam dalam deruan hujan yang mencurah terasa 'kena' sekali (seolah-olah alam dan seluruh isinya pun turut sama meratapi sebuah kasih yang tak jadi), hujan kadang-kadang itu bisa saja membawa cerita bahagia.
Contohnya seperti pagi ini..

Sejak kelmarin lagi saya dan En. Roomate telah bersepakat untuk memberi 'bahu dingin' dan 'rawatan senyap' kepada satu sama lain. Mungkin sebab dah lama benar bertukar cerita dalam gelak ketawa, terasa ingin pula menukar angin. Maklum, kami memang anti pada hidup yang monotonus - tak mencabar! Pagi ini, saya bangun daripada tidur yang tak berapa aman (macam-macam mimpi bercampur-aduk, lazimnya begitu jika ada krisis dengan En. Roomate). Pusing kanan, nampak dia sedang lena. Ah! Biarkan..hari ni sehari lagi, esok baru tegur.

Rancangan : Saya ke tempat mesyuarat dengan kereta. En. Roomate naik saja motor kapcainya. Aleiya, biar dia uruskan. Saya akan buat-buat bodoh dan keluar rumah dengan muka ala-ala selamba badak.

Apa yang terjadi : Hujan turun. Lebat bagai.

...Jadi, harusnya bagaimana? Siapa yang perlu beralah untuk berunding?...
(Untuk rekod, saya tidak boleh dicap keras kepala sebab malam tadi saya sudah SMS mintak maaf tapi En. Roomate buat 'donno' aje)
Saya yang berhati mulia ni akhirnya membuat keputusan untuk memulakan misi mencabar itu.

Saya : Hujan pulak
En. Roomate : ...diam..
Saya : (adusss..dia ni memang la..) Naik motor kang basah pulak
En. Roomate : Kena naik keta jugaklah nampaknya
Saya : (huh, jawab pun)
Saya : Nah, kunci

(Senyap)

En. Roomate : Uh, maaf pasal semalam
Saya : Pasal apa pulak abang nak mintak maaf? (Penggunaan kata ganti nama yang pertama untuk hari ini). Rasanya Ida yang salah. (Penggunaan kata ganti nama kedua, nada tegas dibuang, ganti dengan nada yang lebih rendah)
En. Roomate : (Senyum) Boleh ke Ida drive hujan-hujan lebat ni, ke nak abang hantar? (Pengiyaan kata ganti nama yang membawa maksud perjanjian damai sudahpun termeterai)
Saya : Abang hantarlah (nada lebih lunak)
En. Roomate : Emm..iyelah. Nanti abang call sekolah cakap masuk lambat sikit hari ni..

Sebelum turun, saya salam tangannya dan kucup pipinya. Dia balas dengan mesra, dua-dua belah pipi dan dahi. Nah, siapa kata hujan sentiasa membawa berita hiba. Bukankah hujan itu rahmat buat sekalian alam? ;-)

Sunday, July 26, 2009

Kalimah Keramat Itu..

Tempatnya, Giant Batu Caves. Hari Ahad, 26 Julai 2009. Pukul 9.17 malam.
Saya sedang selak halaman-halaman majalah apabila tiba-tiba saya dengar kalimah itu dari mulut mungil Aleiya. Si Chantek yang ketelah macam pelanduk kecil. (Saya selalu juga panggil dia dengan panggilan Chantek. Bukan kerana saya perasan dia cantik sangat - walaupun sebagai seorang ibu saya kerapnya tidak boleh lari daripada memberikan pertimbangan yang berat sebelah begitu, cuma saya yakin sekali bahawa kata-kata seorang ibu itu adalah doa. Moga-moga dia cantik di mata semua orang daripada segala segi kelak).

Bukan baru sekali ini dia menyebut 'mama'. Memang sudah berkali-kali. Tetapi semalam, dia telah memanggilnya dengan nada menyeru. Merah-merah mukanya menjerit, mamanggil sungguh-sungguh. Dan apabila saja saya pandang ke arahnya dia senyum panjang semacam puas hati kerana panggilannya bersahut. Saat itu, hati saya terasa kembang sekali.

Dulu, saya ni bukanlah spesies anak dara yang suka sangat pada kanak-kanak. Saya cuma pernah dukung adik-adik saya sahaja. Anak-anak orang lain, entahlah..tak pernah pula berjaya menarik minat saya. Kadang-kadang saya cuma menegur untuk sekadar menegur. (Sehinggakan saya pernah berasa bahawa perempuan yang tidak jujur menyukai kanak-kanak tetapi pura-pura menunjukkan minat amat terhadap mereka sebenarnya hanya ingin menarik minat para lelaki sahaja - seolah-olahnya berkata "saya calon yang sesuai kerana saya sukakan anak-anak dan saya pandai melayani mereka. Jadi, silalah pilih saya"). Hmm..jika dikira, dangkal jugalah konklusi yang saya buat kerana saya tidak pernah mengambil kira sifat keibuan semulacipta yang mungkin benar-benar wujud dalam hati mereka. Hanya kerana saya tidak berjiwa ibu, saya tidak berhak menafikan hak perempuan-perempuan lain yang memang sudah berjiwa ibu walaupun mereka masih belum menjadi ibu. Ah saya! Kadang-kadang bisa menjadi begitu ekstremis. Cuma apa yang ingin saya katakan di sini, adalah bagaimana si kecil Aleiya, dengan matanya yang bercahaya macam bintang timur itu, telah merubah pandangan saya terhadap dunia, dan seluruh isinya.

Terima kasih Chantek, yang telah menjadikan mama seorang perempuan yang lebih lunak jiwanya.
Dan terima kasih daun keladi buat Abang, yang telah memberi ruang dan peluang..

Thursday, July 23, 2009

Catatan Buat Su

Semasa kecil, saya sangat teringin untuk punya basikal sendiri. Akhirnya, ayah belikan saya sebuah basikal beroda empat yang berwarna oren campur putih susu. Cantik sangat. Ada loceng warna kuning yang berbunyi 'trrett..trrett' dan mengeluarkan cahaya merah apabila ditekan atas hendal kanan basikal itu. Roda kecil di belakangnya warna hitam-putih dan dua tayarnya yang lebih besar adalah 'tayar mati'. Saya tak pernah pula dengar istilah 'tayar mati' sebelum ni, rupa-rupanya tayar basikal pun ada yang hidup dan ada yang mati! Kemudian barulah ayah beritahu saya bahawa tayar mati maknanya kita tak perlu isikannya dengan angin, tak payah pam. Oh, begitu rupanya...

Pulang ke Kelantan untuk beraya, rupa-rupanya sepupu saya, Nasiha pun baru saja dibelikan sebuah basikal biru oleh abahnya. (Adik Na, lama betul Along tak dengar berita dari kamu..) Saya pun, macam la tak pernah tengok basikal seumur hidup, terus melompat naik atas basikalnya yang baru sampai dari kedai sebaik saja dipelawa oleh abah. Riuh sekampung Adik Na menangis melihat saya enak-enak pusing-pusing dengan basikal barunya. Akhirnya emak pujuk saya kembalikan basikalnya. Saya bagi balik basikalnya dengan muncung panjang sejengkal.."huh, kedekut habis, tak sukalah main dengan dia, kalaulah ada adik..." Tika itu saya sedar, benda yang lebih menarik daripada sebuah basikal adalah seorang adik.

Balik ke Johor, Lina, jiran sebelah rumah saya yang punya anak patung besar berbaju gaun pun menangis bila emaknya unjukkan anak patung barunya untuk saya cuba dukung. Lina rampas balik anak patung tidak berambutnya itu dan saya menangis pulang ke rumah. Sedih, sebab terlepas peluang mendukung anak patungnya. Huh! Saya cuma mahu pinjamlah!
Ayah peluk saya erat-erat sambil berkata, " Nanti kalau Ida dah ada adik, Ida jangan lagi main dengan Lina. Ida main dengan adiiiik saja". Saya angguk. Dalam hati, "Awak tunggulah nanti Lina, bila saya dah dapat adik, saya tak akan main dengan awak lagi!" (Tak lama kemudian, ayah belikan anak patung yang boleh menangis, pejam-celik dan panggil mama. Anak patung berambut coklat tu kemudian saya namakan Ayu).

23 Julai 1984. Saya pamit emak yang masih ditahan di tangga berpusing wad bersalin HBSA sebab dah masuk dua minggu tapi emak masih juga belum mahu bersalin. Sebelum balik ayah suruh saya bisik dekat perut emak.."Adik, cepatlah keluar..kakak nak ajak main-main". Saya bisik sungguh-sungguh sebab saya percaya sungguh-sungguh bahawa adik dengar apa yang saya bisikkan.

24 Julai 1984. Saya dan ayah bawa emak dan adik balik dengan Mazda biru Pakcik Hidzir. Sungguh, saya tengok dialah bayi yang paling comel di dunia. Saya kata, "Adik kecik-kecik mak bungkus.." apabila tengok dia terbedung kemas dengan kain lampin. Sepanjang jalan pulang dia asyik pejam saja dan saya tak jemu-jemu memerhatikannya.

Petang itu, ayah suruh saya pilih nama adik : Noor Adilah atau Noor Akmal? Saya kira Noor Adilah kedengaran lebih manis. Saya jerit dekat ayah yang sudah sekerat jalan ke jalan besar dengan Vespa birunya, "Ayah!! Jangan lupa, Noor Adilah yee". Ayah angkat tangan dan angguk kemudian pergi. Masa tu saya tak tahu ayah pergi ke mana, bila difikirkan semula, sudah tentu ayah ke Pejabat Pendaftaran kalau tidak ke Balai Polis.

Jadi begitulah. Noor Adilah. Adik saya yang pertama. Teman, rakan, sahabat, saudara. Saya tidak pandai untuk menjadi lebih puitis lagi, tapi saya tak pernah bohong apabila saya katakan, dialah sahabat yang paling agung yang pernah saya ada. Selamat Hari Ulangtahun ke-25. Begitu cepatnya masa!

Sunday, July 19, 2009

Tentang aktiviti rahsia saya

1.15 tengahari..Sewaktu semua cikgu berkumpul ramai-ramai di bilik guru, meraikan tamatnya detik 1.10 di mana dengan rasminya (dan secara teknikalnya) kami semua bebas dari tugas dan tanggungjawab seharian..di celah-celah cikgu-cikgu yang sedang merasa kuih raya dan mengirai kain dan tudung yang ada dalam segala bagai, saya mengintai dia.

Dia sedang ketawa bersama-sama rakan-rakan guru lelakinya, dan dia kelihatan amat manis. Saya jadi teringat pertama kali saya jatuh hati padanya. Saya tak pernah silap dalam memilih dia.

Monday, July 13, 2009

Tentang malam, bas ekspres dan roti telur

Semasa saya masih belajar di Minden dulu, sebahagian daripada kegembiraan pulang bercuti ke kampung adalah perjalanan pulang itu sendiri. Kerapkali, saya pulang sendirian saja. Mungkin dek kerana saya tidak banyak gaul, sudahnya saya sering saja sendirian. Anehnya, saya semacam sangat menghargai 'kebersendirian' itu kerana bagi saya dalam kesunyian, sering ada keindahan. Keindahan tidak pernah saya temui dengan berbicara bersama teman sebelah dalam 8 jam perjalanan bas ekspres Pulau Pinang-Kuala Terengganu. "Alone, but never lonely" saya ucap dalam hati sambil senyum seorang. Akhirnya, saya terima hakikat keinginan hati saya yang paling dalam dan untuk itu, saya beri seribu alasan setiap kali dipelawa pulang bersama-sama oleh sebilangan kecil kawan-kawan yang saya ada.

Sendirian bersandar di kerusi bas yang kerapkali saja rosak (seingat saya jarang benar saya dapat kerusi bas yang tidak rosak), apa yang paling saya tunggu-tunggu adalah setelah bas selesai berhenti di hentian terakhirnya untuk mengambil penumpang, Perhentian Bas Sungai Petani - kerana saya sudah boleh enak-enak mengelamun tanpa ada gangguan daripada orang yang naik-turun lagi, juga tanpa lagi diganggu lampu yang kejap padam, kejap nyala dek kerana bas berhenti mengambil penumpang (yang akan melingas mencari nombor tempat duduknya sehingga saya rasa rimas betul). Kenapalah mesti naik di tengah jalan?

Selepas habis penyeksaan itu semua, barulah saya 'ditinggalkan sendirian' bagi menjalankan hobi saya. Saya paling suka melihat malam. Teringat saya pada filem Melayu lama, Dayang Senandung - sewaktu putera raja terpandang wajah Dayang Senandung yang hitam legam, dia pimpin tangan isterinya itu dengan lembut ke jendela istana sambil berkata "Cuba adinda lihat malam yang gelap gelita ini. Walaupun gelap, malam tetap indah dengan bulan dan bintang-bintang.." Aduhai..budiman sungguhlah putera raja dalam cerita itu. Walaupun isterinya berwajah hodoh, tetap baginda kasihi isterinya itu sungguh-sungguh. Kalaulah lelaki benar-benar begitu..ini tidak, demi dilihat saja wajah isteri yang kurang elok, di malam pertama pula, mahu dia terjun tingkap, cabut lari, tak balik-balik lagi agaknya. Hai..apa-apalah.

Berbalik kepada kisah saya tadi, saya jadi mudah jatuh cinta dengan malam. Melihat malam dari kelam jalan berbukit-bukau di Lebuhraya Timur-Barat. Melihat pemandangan Hutan Belum yang penuh misteri. Mengkagumi tingginya Bukit Kelian Intan, merasakan dinginnya angin malam yang berhembus di Dataran Rabwah. Sambil melihat bintang-bintang yang bertaburan macam intan terpilih. Kadang-kadang, jika nasib saya cukup baik, saya juga akan dapat menatap ayunya wajah bulan. Acap kali, saya nikmati ini semua sambil makan roti telur dari kedai mamak depan universiti yang dah saya tapau siap-siap sebelum naik bas. Roti telur saya makan sorang-sorang dalam gelap. Satu kelebihan kembara sendirian : Anda tak perlu pelawa sesiapa makan bersama anda. Tak perlu berbasa-basi. Anda cuma perlu buka bungkusan dan makan dengan muka penuh selamba. Tika bermesraan dengan alam itulah juga otak saya yang terlebih kreatif ini akan mula mereka itu dan ini..macam-macam!

Suatu ketika, sedang saya duduk sorang-sorang macam biasa, di Sungai Petani naik seorang lelaki muda. Setelah terhendap-hendap mencari nombor tempat duduk, dia duduk di sebelah saya. (Aduh..bikin rosak saja!). Dia perkenalkan namanya - entahlah, saya benar-benar sudah lupa, sejak saya mengahwini En. Roomate, hanya namanya sajalah yang ada dalam register otak saya. Saya tak pernah membohonginya apabila saya kata dialah yang pertama dan dialah juga yang terakhir..moga diizinkan Allah. Lelaki itu pelatih Pembantu Perubatan di Kolej Kesihatan Batu Rakit, orang Kuala Ketil. Menurutnya, rumahnya betul-betul di belakang Balai Polis Kuala Ketil. Hampir sepanjang malam kami berbicara tanpa henti. Agak terharu juga saya apabila dia bersusah-payah turun belikan minyak angin di Bukit Bunga apabila lihat penyakit mabuk bas saya mula datang. Menjelang fajar, lelaki itu dengan beraninya mengaku sukakan saya dan ingin ketemu ibu bapa saya. Saya tolak hasrat baiknya dengan baik juga. Saya memang belum ada siapa-siapa waktu itu, tapi sememangnya belum sedia untuk siapa-siapa sekalipun. Tapi kenapa ya, saya cerita kisah ini di sini? Kerana, untuk rekod, itulah kali pertamanya saya tak dapat nak makan roti telur saya walau secubitpun! Pagi itu, saya kata pada mak, " Nah mak, along teringat mak suka makan roti telur, ni along belikan, dari Pulau Pinang lagi!"