Tuesday, October 13, 2009

Ilham di lewat dinihari

Semalam, sedang saya berbual-bual dengan seorang teman tiba-tiba Cik Ilham datang ketuk pintu. Cik Ilham kalau dah datang, tak bolehlah saya pura-pura buat tak endah sebab dia akan ekori saya juga sampailah saya tulis apa yang dibisikkannya ke telinga saya. Bisikannya kali ini berupa sebuah karangan puisi.
Puisi ini tidak ada kena-mengena dengan apa-apa atau siapa-siapa, cuma sebuah untaian kata gubahan rasa daripada seorang perempuan yang biasa-biasa seperti saya.

Duhai angin khabarkanlah

Khabarkan padaku wahai angin
tentang cerita dia
walau mendengarnya bakal memanggang aku dengan api derita
sekurang-kurangnya tidaklah aku terus tertanya-tanya.

Khabarkanlah padaku wahai sang angin
sedang apakah dia
lantaran lisan ini tidak lagi mampu bersabda
ain ini tidak lagi mampu menyapa
dan diri ini tidak lagi mampu bertanya.

Maka, tolonglah kau khabarkan padaku wahai sang angin
di manakah dia gantung hati pemberianku
sudahkah ia kering dipanah terik mentari
atau dingin beku di sejuk dinihari?

Aku merayu agar kau khabarkan padaku duhai angin semilir yang baik hati
di mana hatiku?
agar dapat kujejaki ia
agar dapat kucantum kembali keping-kepingnya
kurawat calar-balarnya
kusapu ubat mujarab pada lukanya
dan supaya dapat kubasuh dengan air telaga biru
sebelum kuisi ia kembali ke dalam dadaku
dada yang kini tidak lebih daripada
sebuah kolong yang kosong.

Semoga ketabahan sentiasa mengiringi insan-insan yang diuji!

Wednesday, October 7, 2009

Tali leher warna merah

1 Ramadhan 1426 bersamaan 5 Oktober 2005 adalah hari bersejarah dalam diari cinta saya dan En. Roomate kerana pada hari inilah saya mula perasan bahawa hati saya telah dicuri olehnya - pencuri hati kelas satu yang cekapnya mengalahkan En. Zorro lagi. Di Pantai Teluk Ketapang hati saya dilarikannya dan sampai kini, hati saya tetap saja menjadi miliknya.
Waktu itu, dalam malu-malu dia minta untuk memandu Kancil perak saya dan kami tidak pula terus-terus pulang ke rumah selepas habis kerja sebagaimana layaknya perempuan-perempuan baik lain lakukan. Hari itu, saya langgar prinsip Perempuan Melayu Terakhir saya dengan membiarkan saja dirinya mambawa saya pusing-pusing makan angin di pantai. Sungguh kena benar konotasi pantai dengan hati yang telah jatuh kasih!
Merenung dia yang cekap memandu (padahal pernah dia mengaku tak pandai bawa kereta) membuatkan saya berfikir dua kali tentang dia - tentang banyaknya yang saya tidak tahu tentang dia, tentang dia yang terlalu budiman dan merendah diri (sehinggakan saya yang menumpangkan dia selama ini tergamak dengan berlagaknya menunjuk-nunjuk skil memandu saya yang kononnya sangat hebat padahal entah apa-apa itu untuk membuatkan dia kagum. Maklumlah, mati-mati selama ini saya percaya yang saya sedang membawa orang tak pandai memandu di sebelah, jadi senang-senang saya 'kapurkan' dia tentang jalan pintas dan macam-macam lagi. Di kebanyakan masa, dia cuma senyum dan angguk..Wahh..sangat maluuu!!)
Apapun, jika hendak diceritakan kisah ini, nescaya sampai bila-bila pun tak akan pernah selesai. Tentang tali leher merah menyala dan cinta yang sama merahnya membakar dalam senyum yang penuh rahsia dan makna.

Nyiur gading puncak mahligai
buat ketupat berisi inti
hancur daging tulang berkecai
kasih sayang sampai ke mati

Cinta Si Burung Bulbul

EK THA GUL AUR EK THI BULBUL DONO CHAMAN - Related Indian Videos, Bollywood Videos - utube.smashits.com

Shared via AddThis

Sedang memerhati perjalanan Peperiksaan PMR pagi tadi, hati teringat tentang kisah burung bulbul. Tentang bagaimana seekor burung bulbul yang setia akhirnya mati bersama kekasihnya dalam dingin musim sejuk yang membeku. Burung bulbul yang memilih maut daripada berpisah dengan cinta hatinya. Di akhir lagu En. Shaashi Kapoor a.k.a Mr. Raja berpesan : Jika suatu hari kamu ditakdirkan bercinta, jadilah setia seperti burung bulbul...

(Sila klik pautan di atas untuk menonton video lagu yang dimaksudkan. Terima kasih)

Monday, October 5, 2009

Kisah Si Chantek

Rumah kecil saya sememangnya serba sederhana. Sekecil-kecil saiznya pun, bila datang bab mengemas, boleh patah juga pinggang saya. Nak-nak pula kalau saya mengemas di satu ruang, sedang En. Roomate pula 'membantu' Si Pelanduk Nakal 'mengatur' mainan-mainannya satu-satu atas lantai, atas almari, celah rak DVD dan bawah meja komputer. Manalah Gunung Vesuvius tak meletup kalau begitu.

Hari minggu adalah hari yang terlebih sibuk bagi saya (dan terlebih rehat bagi yang berbahagia En. Roomate dan anak perempuannya). Masa tu lah Aleiya mahu cuba teknik baru mewarna lantai dengan krayon dan En. Roomate pula tolong hulurkan krayon satu-satu kepada Si Pelanduk yang tersenyum lebar sampai telinga. "Oh sayang, dia tak mahu lukis atas kertas, tak apalah, nanti tolong lapkan saja ye"
Sabar. Sabar. Sabar.

Pukul 5.30 petang saya dah tak tahan panas. Saya capai tuala dan menapak ke bilik air. Saya berkira-kira mahu mandi sepuas-puasnya. Mandi dari air kolah yang sejuk macam air peti sebab hujan malam tadi. Saya mandi sambil menyanyi kecil. Bila tubuh sudah sejuk, hati timbul rasa menyesal sebab memasamkan muka kepada 'anak beranak gembira' di luar tadi. Tak apalah, lepas mandi nanti mama akan goreng keropok dan nugget ikan untuk kamu sebagai tanda damai.

Keluar dari bilik air, saya senyum siap-siap untuk menyambut pandangan Aleiya dan papanya. Tetapi alangkah terkejutnya hati apabila melihat En. Roomate sedang terbongkok-bongkok memasukkan anak kunci dalam tombol pintu bilik. Untuk makluman, En. Roomate selalu saja bersungut tentang bilik kami yang ketiadaan anak kunci - hilang sejak mula-mula kami duduk di sini. Katanya, kalaulah Si Aleiya masuk dan tertekan kunci kemudian hempas pintu, pasti saja dia akan terkurung sebab dia mana pandai lagi pulas tombol pintu. Saya pandang keliling, Aleiya tiada. Sah!

"Aiyya kat dalam" En. Roomate tunjuk muka serius.
"Dah dekat 20 minit dah" Ahhh sudahh..kepala saya mula memutarkan imej bukan-bukan. Tuala hampir saja terloroh.
"Kenapa senyap aje??" Saya guna not panik.
"Itu yang risau tu". En. Roomate terus hogeh pintu.
Saya dah hampir menangis. Chantek!!!
Macam mana kalau dia telan ubat nyamuk? Macam mana kalau dia main dengan gunting? Macam mana kalau kepalanya terhentak sebab jatuh katil? Oh Tuhan, janganlah...

"Aiyya?? Aiyya? Anak mama??
Tiba-tiba, saya lihat wajah En. Roomate berubah riak. Beberapa detik kemudian, dia ketawa terbahak-bahak. Otak saya tak dapat menaakul. Saya bingung.
"Aleiya ikut Kak Syam lah, dia nak pergi main lompat-lompat dengan Si Ayu"
Hah? Apakah?

Saya jeling tajam En. Roomate yang masih ketawa dengan gembiranya. Saya masuk, tutup pintu rapat-rapat dan menangis semahu-mahunya. Lepas menangis, saya berfikir..kenapa ya saya menangis walaupun saya tidaklah marah sangatpun pada En. Roomate dengan lawak antarabangsanya tu. Kemudian saya sedar, saya menangis sebab saya sayangkan Si Pelanduk dengan sangat banyak. Si Pelanduk kecil dengan hobi barunya - main lompat-lompat dengan anak jiran sebelah atas pad bermuzik.

Saturday, September 26, 2009

Budak kecil di ujung padang

Petang tadi saya lalu di jalan kecil tepi Asrama Puteri SMKA Sheikh Abdul Malek. Bukan sekali ini baru saya lalu di jalan kecil itu, boleh dikatakan sepanjang cuti raya kali ini, tiap-tiap hari saya masuk jalan kecil itu - jalan ke rumah Mok. Selalu, Encik Roomate akan jadi terlebih suka untuk masuk ke jalan kecil ini, maklumlah tempat jatuh lagikan dikenang! Dia akan parkir kereta elok-elok di bawah teduhan pokok rambai depan Kedai Ang (atau macam tu la lebih kurang bunyi sebutannya. Untuk pengetahuan, tuan punya kedai kecil berdinding papan ini adalah seorang perempuan Melayu dan bukannya mana-mana Ang Siong Lai atau apa). Daripada depan kedai, saya akan kelek beg merah Aleiya berserta macam-macam buah tangan untuk Mok - separuh daripadanya adalah usaha 'murni' saya untuk mengambil hati Mok sebab saya culas sedikit bila datang bab bermalam di rumahnya. Bukan kerana apa, sebabnya kerana saya kurang pandai memasak jadi saya tak mahu Mok sampai jadi risau memikirkan apa yang saya beri anak kesayangannya makan nanti.

Sebelum-sebelum ini, saya tak pernah pula berpaling ke arah asrama itu. Tak seperti petang tadi. Petang tadi saya bukan sekadar berpaling sepintas lalu, saya melihat dan hati saya jadi terkenang akan sesuatu.

Saya mana pernah suka duduk di asrama, tapi ayah suruh juga saya duduk asrama demi untuk mengajar saya bagaimana susahnya untuk menjadi dewasa. Dalam tempoh sehari ayah tinggalkan saya di asrama, macam-macam perkara sudah terjadi. Elok-elok saja saya selesai mengemas kain baju (dengan air mata berjejeran), saya terkesan setompok warna perang atas cadar putih tempat saya duduk tadi. Dan itulah kali pertama saya dikunjungi 'kawan' yang selepas itu terus setia tanpa mungkir mengunjungi saya tiap-tiap bulan sampai sekarang. Saya masih ingat macamana saya reka-reka cipta cara pakainya alas putih pemberian Fatini. (Terima kasih tak terhingga untuk kamu, semoga sejahtera). Hampir empat hari saya asyik minta saja dari Fatini tanpa terfikir untuk mencari alternatif untuk tidak menyusahkan dia, tetapi gadis 13 tahun sepolos saya..sememangnya hampir saja tidak tahu apa-apa tentang dunia selain lingkungan keluarga yang selama ini sentiasa di sisi. Hari kelima, ayah dan emak datang bawa macam-macam makanan, tapi kesudahannya saya ikut pulang ke rumah dengan berulang-alik ke sekolah selama dua hari.

Suatu petang, semasa saya sedang termenung di langkan asrama, merenung kereta lalu lalang (dan berdoa untuk terpandang kelibat Proton Saga merah ayah memberi isyarat belok ke kanan) saya lihat seorang budak perempuan sedang memaut tembok batu langkan asrama sambil menarik dirinya ke depan dan ke belakang. Lama juga saya perhatikan budak perempuan bertubuh kecil dan berkaca mata bingkai plastik warna hitam itu bermain seorang diri sebelum saya mengambil keputusan untuk pergi menegurnya. Itulah detik perkenalan saya dengan Nurhayu yang kemudian sama-sama mewarnai alam persekolahan saya selama 5 tahun di SHAMS. (Nurhayu sekarang masih lagi seorang sahabat akrab, sedang melanjutkan pelajaran di Perth dalam bidang pergigian). Nurhayu cuma bertahan di asrama kurang sebulan, meninggalkan saya kembali sepi.

Untuk mengisi masa senggang, saya sentiasa berdiri di langkan. Saya lihat rumah-rumah kayu berjajaran di seberang jalan kecil di kiri asrama. Saya terbayang, alangkah indahnya kalau dapat berlari-lari macam budak-budak lelaki yang sedang kejar-mengejar di keliling rumah. Saya selalu saja melihat sekumpulan budak lelaki bermain-main di tepi parit depan sekolah kalau tidak bermain bola di padang sekolah rendah nun di depan sana. Asyik sungguh saya melihat budak-budak itu kejar-mengejar saban petang, macam tak ada masalah langsung!

Masa tu, manalah saya tahu yang suatu hari nanti saya akan pulang beraya di rumah kayu di seberang jalan kiri asrama. Dan kalau bukan Encik Roomate suatu hari 'terbercerita' tentang hobinya masa kanak-kanak yang suka sangat main-main di parit depan sekolah dan tiap-tiap petang jadi striker di padang sekolah rendah, manalah saya akan pernah tahu yang saya sebenarnya selalu saja memerhatikannya saban petang dari langkan asrama bercat biru itu!

Friday, September 25, 2009

Saya pada Anas

Sebelum cuti raya, sekolah buat Peperiksaan Percubaan PMR. Macam biasa, saya masuk kelas Tingkatan 3 yang saya ajar sambil bawa kertas soalan Geografi. Lepas bahagi-bahagikan kertas soalan dan jawapan OMR, saya duduk di meja guru sambil baca novel yang saya pinjam dari seorang teman. (Novel yang saya pinjam semata-mata untuk mengambil hati teman yang suka benar ajak saya bertukar-tukar novel, padahal pada saya, citarasa kami berbeza macam langit dengan bumi!). Dalam kantuk, sempat juga saya baca empat bab sebelum saya tutup dan mengalah.

Duduk di baris paling depan, betul-betul depan meja guru ialah Anas, budak lelaki yang dilucutkan dari jawatan pengawas gara-gara sikapnya yang gemar bergaul dengan budak-budak nakal dan selalu lewat datang sekolah. Saya senyum sekilas pada Anas yang asyik menghitamkan jawapan pada kertas OMR. Tiba-tiba dia membongkok ke depan. Dengan suara separuh berbisik, Anas tanya saya jawapan bagi soalan nombor dua puluh tiga. Saya ambil kertas soalan lebih atas meja guru dan buka muka surat yang ada soalan nombor dua puluh tiga - soalan tentang Sungai Lena dan Yenessey. Saya sentiasa suka bab-bab belakang dalam Geografi. Bab yang banyak mengajar tentang alam dan rahsianya. Saya beri saja jawapannya pada Anas yang kelihatan sangat suka. Setelah meronda seketika, saya kembali duduk di meja sambil pura-pura membaca.

Lima belas minit sebelum tamat waktu, saya lihat Anas curi-curi buat sesuatu. Walau bagaimanapun, saya diam saja. Rancangannya, saya akan dekati dia dari arah belakang dalam keadaan dia tidak sedar. Mungkin Anas sedang meniru, sebab tu dia selalu jeling ke arah saya. Dua minggu lepas, saya tangkap Anas sedang baca komik yang di dalamnya ada lukisan kartun ala porno dengan bahasa sedikit lucah. Pun begitu, saya lepaskan Anas kerana mengambil kira dia baru saja kena lucut jawatan. Saya cuma suruh Anas simpan dan jangan bawa lagi komik itu datang sekolah.

Lima minit sebelum masa saya tamat, saya bangun meronda dan saya rapati Anas dari arah belakang seperti yang saya rencanakan. Pada kertas kosong di belakang kertas soalan, Anas lukis gambar seorang perempuan yang sedang duduk sambil membaca. Perempuan itu berbaju kurung, bertudung dan berkaca mata. Perempuan itu saya sangat kenal. Perempuan itu adalah saya. Dan Anas telah berbaik hati dengan melukis gambar saya lebih cantik daripada yang sepatutnya- saya pada kaca mata seorang Anas.

Hijab Kekasih II ~ Mengintai dia dari tirai kamar

Mengintai dari balik tirai yang tersembunyi
menyingkap hijab yang padanya terlindung sekeping hati
menerka maksud dalam indah bait-bait puisi
menebak dalamnya isi sanubari
mungkin khilaf dalam tafsiran
mungkin kabur dalam pandangan
mungkin salah dalam tanggapan
atau mungkin juga segalanya benar bagai anggaran

Syawal 1430 menyaksikan terpaterinya hati-hati adik-adik saya. Sungguh benar, mencintai dia yang dicinta di dalam hati adalah suatu hal yang besar, namun untuk mengakuinya dengan lisan adalah suatu hal lain yang jauh lebih besar..dan bagi dia menyambut dan memulangkan rasa yang sama itu adalah anugerah tertinggi yang tak terhinggakan.
Semoga rasa yang tumbuh sentiasa mekar dan semoga janji yang terpateri membawa kamu ke hala tuju yang kamu berdua inginkan. Amin.
(Sesungguhnya Allah s.w.t. sentiasa memberikan yang terbaik buat sekalian hamba-Nya dan andai sesuatu yang kamu pinta dengan bersungguh-sungguh itu tiada dikabulkan-Nya, maka yakinlah bahawa perkara tersebut bukanlah yang terbaik untukmu - Wallahu a'lam)