Tuesday, October 9, 2012
Noor Insyiratul Arissa
Saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada pukul 5.23 petang. Bayi seberat 3.73 kg itu kemudiannya saya namakan Noor Insyiratul Arissa - Cahaya keazaman yang tenang.
Mengandungkan Arissa adalah pengalaman yang sukar. Selain terpaksa mengusung perut yang besar ke sana ke mari, saya turut diserang UTI, Candida, lower abdomen ache dan paling azab, haemorroid yang teruk. Saya jadi tidak larat berjalan, tak dapat berdiri lama, sering sahaja lesu, tak bermaya dan yang paling pasti, sering terlebih tidur!
Saya selalu berharap-harap dan berdoa, moga-moga apabila bersalin kelak, segala-segalanya akan dipermudahkan untuk saya. Bermacam-macam air tawar dan minyak selusuh saya minum, bermacam-macam Surah dan doa pula saya amalkan. Namun rupa-rupanya, Allah masih lagi mahu menguji dan menduga tahap keimanan saya.
Saya sudah empat kali mengalami "false alarm" - rasa macam nak bersalin tapi sebenarnya bukan pun, lalu Encik Roomate jadi gelabah tak tentu fasal, bimbang saya terbersalin dalam bilik air atau di sekolah. Dia juga sebenarnya sangat bimbang kalau-kalau saya terbersalin awal, sebab dia bilang dia tidak tahu macam mana nak uruskan urinya nanti. Jadi, kami sepakat membuat keputusan untuk saya memohon cuti awal 2 minggu dari tarikh jangka bersalin, supaya saya dapat berehat di rumah mak di kampung. Jadi, sudah tentulah cadangan Encik Roomate yang satu ini saya sambut dengan segala sukacitanya, maklumlah dah dapat cuti dari big boss daripada kerja-kerja rumah, siapa yang tidak mahu!
Di pendekkan cerita, setelah melalui segala dugaan (jerih, payah, perit, susah, sakit, indah, bahagia - segalanya, secukup rasa) akhirnya saya dipertemukan juga dengan buah cinta kami, Noor Insyiratul Arissa yang kemudiannya kami panggil Icha sahaja. Dan inilah wajahnya, wajah kesayangan hamba...
(Untuk pengalaman bersalinkan Arissa ini, In Shaa Allah akan saya ceritakan kemudian - apabila perasaan cuak-serik saya sudah reda mungkin!)
Sunday, July 1, 2012
Rumah Kita ~ Sanggar Singgah
Rumah kami cumalah sebuah rumah teres kecil, yang jika hendak masuk seseorang perlulah masuk melalui pintu selungsur kaca sebab pintu kayu pun tiada! Rumah kami cuma ada laman kecil yang hanya muat dua buah kereta kecil dan sebuah ampaian kain. Rumah kami cuma ada sebuah ruang tamu serba sederhana tempat kami beristirehat selepas pulang kerja.
Alhamdulillah. Syukur kami kepadaMu ya Allah. Semoga rumah kecil ini menjadi tempat berteduh yang penuh rahmah bagi kami sekeluarga. Semoga kami dapat sentiasa saling berkasih sayang di dalam rumah kecil ini. Semoga rumah yang tidak seberapanya ini sentiasa meriah dengan gelak tawa anak-anak dan semoga sentiasa menjadi tempat yang dirindui oleh kami sekeluarga untuk kembali. Ya Allah, satukanlah hati-hati kami di bawah payungan rumah kecil kami! Amin...
Sedikit foto saya dan keluarga yang diambil di Sanggar Singgah :-)
| Saya dan anak-anak (di atas : foto perkahwinan ;p ) |
| Di ruang makan |
| Encik Suami dengan koleksi buku kesayangan saya |
| Di ruang tamu |
Saturday, December 24, 2011
Menelusuri Susur Galurnya
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian? - Mahathir Mohamad
Saya sudah lama teringin untuk menelusuri galur darah Melayu yang mengalir merah dalam diri ini. Saya enggan percaya Melayu itu lemah. Melayu itu bodoh. Melayu itu malas. Sebab yang sebenarnya Melayu itu pelaut handal, pedagang bijaksana dan pendekar ulung. Sedang wangi-wangian di kamar Firaun itu datangnya dari gaharu dan cendana dari Tanah Melayu. Masakan ketika piramid khufu itu dibina, Melayu masih bercawat di gua batu kapur?? oh, saya memang enggan percaya!
Sunday, September 25, 2011
Cemburu rupa-rupanya
Kali ni saya ingin sekali menyentuh tentang poligami. Bab yang satu ini semacam ada pesona 'intrig' untuk menggamit saya meneroka permasalahan dan emosi di sebaliknya dengan lebih dalam lagi. Sempat juga saya tarbiyyah hati di blog Minda Tajdid sambil merewang-rewang sekitar beberapa laman dan blog lain. Akhirnya, saya dapat satu konklusi (jika boleh dipanggil konklusi lah) bahawa dunia ini pinjam-pinjaman. Berteraskan falsafah pinjam-pinjaman inilah maka, segala isi dunia ini turut samalah bersifat pinjaman, tiada yang kekal abadi melainkan Dia.
Maka, konotasinya mudah, sudah dipinjamkanNya saya seorang suami (yang kacaknya boleh tahan jugalah) jadi apalah salahnya kalau saya pula pinjamkan suami (kacak) saya supaya kaum saya yang lain - yang teraniaya, yang balu beranak lapan, yang agak-agak sudah lanjut usia supaya dapat merasa menjadi seorang isteri selain dapat pula berkongsi kasih beliau, kan? Lagipun kasih sayang ini sifatnya tumbuh, tidak akan habis. Boleh diberi, diberi dan terus diberi. Lagi, lagi dan lagi. Kasih sayang dan cinta bukan macam petrol kereta yang akan kering bila sampai waktunya. Kasih sayang jika dibaja dan dibelai rapi akan tumbuh terus, malah semakin tinggi, subur dan melata. Lagi pula, Allah kan tidak akan pernah suka dengan orang yang haloba. Apa lagi kalau si haloba itu seorang perempuan, maka semakin buruklah kelihatannya, kan? Lagipun masa tadika dulu emak kan selalu saja pesan supaya kongsi barang-barang dengan kawan-kawan. Sama lah tu.
Satu lagi, berpoligami ni ada baiknya juga untuk wanita. Walaupun 95.98% wanita akan keras-keras menafikannya. Ya lah, apa sahaja kerja pun perlu ada Cuti Rehat Khas kan. Apa lagi kerja sebagai isteri. Mengemas. Membasuh. Menjemur. Melipat kain baju. Melayan suami. Memasak. Menyapu. Mengemop. Melayan suami. Menyeterika. Mengurus anak-anak. Melayan suami. Siram pokok bunga. Melayan suami. Kemas dapur. Melayan suami. Berus longkang. Melayan suami. Penat kan? Isteri pun kadang-kadang mahu juga keluar seharian, sampai puas. Habiskan masa membeli-belah tingkap, makan-makan dengan kawan-kawan lama, tinjau-tinjau buku dan CD terkini, silau-silau baju dan kain ela, belek-belek barang kemas, manja-manjakan diri dekat spa dan macam-macam lagilah termasuk balik kampung secara solo untuk menunaikan janji pada adik untuk bawa dia jalan-jalan makan pizza di pekan. Bukannya tidak boleh buat semua itu jika suami ada menunggu di rumah. Boleh saja. Cuma yang tak akan adanya hanya satu, KETENANGAN. Haha.
Bagus, Puan Ida! Anda memang seorang realis!
Baik. Balik ke rumah. Encik Roomate buka baju dan seluar, campak atas katil macam biasa kemudian macam biasalah, terus selam atas katil yang lendit cadarnya. Great. Saya tinggalkan Aleiya di ruang tamu dengan puzzle barunya, segelas ribena dan sebiji donut. Saya terus ke bilik air, mandi. Keluar dari bilik air, kepingan puzzle bersepah, air ribena tumpah dan gula dari donut mencecer atas karpet ruang tamu. Dan Encik Roomate tidur sahaja dengan wajah yang aman. Yes, great. Saya menyapu dan mengemas sambil membebel. Membebel juga supaya Aleiya cepat-cepat masuk bilik air untuk buang air. Macam biasalah, mesti dia banyak alasan. Kemudian, selama ini tak pernah-pernah pun, dengan tak semena-mena terkencing dalam seluar. Baguslah. Memang bagus sangat. Saya basuh semuanya, pakaikan baju yang baharu dan cuba duduk atas kerusi sebelum dia mengadu hendak buang air besar pula. Saya lalu depan pintu bilik untuk ke bilik air dengan mulut yang riuh, peliknya Encik Roomate sikitpun tak terganggu.
Malam. Encik Roomate akhirnya keluar kepompong untuk ke kedai beli roti canai. Tiba-tiba, saya dengar bunyi 'klik' macam bunyi orang pulas tombol pintu dari luar. Hati saya sudah kecut. maklumlah, kejiranan saya tak begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini. Kemudian saya dengar bunyi seretan selipar mundar-mandir depan pintu. Saya pangku Aleiya, suruh dia duduk diam-diam sampailah Encik Roomate pulang bawa tiga biji roti telur. Saya ceritakan semua kepadanya. Encik Roomate dengar dengan hati-hati. Dia ambil cota dan letak hampir dengannya. Dia juga berpesan, kalau rumah diceroboh, saya bawalah Aleiya ke bilik belakang dan kuncinya dari dalam. Biar dia di luar lawan penjahat. (Apa? Encik Roomate yang langsung tak punya skill itu? Biar benar..) Tapi dalam diam, saya rasa disayangi. Kami makan roti canai dengan senyap. (Oh ya, dan Encik Roomate pun tak pernah suruh saya masak itu ini, selalu dia akan keluar belikan aje. Maka, dua kali sayang)
Selesai makan dan mengemas dapur, saya bersenang-senang dengan Facebook manakala Encik Roomate mengajar Aleiya membaca. Tiga kali sayang. Sudah, diajarnya Aleiya menyimpan dan menyusun semua buku dan alat tulisnya dengan kemas. Empat kali. Kemudian dua beranak tu sama-sama guling-guling sambil bergelak ketawa atas karpet. Aleiya sampai meleleh-leleh air mata sebab terlampau banyak ketawa. Baik, lima kali.
Tiba-tiba, mata saya tertangkap satu komen pada gambar Encik Roomate yang baru di "upload" beliau sekejap tadi, semasa saya sedang menghidang makan malam. Pang! Aura cemburu datang menampar. Serta-merta dunia bertukar menjadi merah. Darah saya jika disukat dengan termometer pada masa itu, mahu pecah bebulinya. Mahu bertabur isi merkurinya membentuk bintik-bintik bulat warna perak atas skrin komputer. Geram rasa di hati tuhan sahaja yang tahu.
Saya toleh Encik Roomate yang tak tahu apa-apa, yang sedang menggeletek Aleiya yang nakal dengan emosi yang berbaur. Baik, saya tidak cukup kuat wahai Tuhan. Saya tarik balik semua resolusi saya siang tadi. Saya mahu dia sorang-sorang. Tak mahu kongsi-kongsi. Titik.
Thursday, September 15, 2011
Aleiya dan PVP baharu
PVP ni pada pengamatan saya bagus juga. Sekurang-kurangnya boleh melatih kemahiran motor anak kecil. Tapi bukan setakat anak kecil sahaja yang boleh leka, mama dan papanya sekali pun sama tau! Permainannya ringkas dan klasik, mudahlah kanak-kanak faham. Aleiya punya ini warnanya merah darah ikan, sekali pandang orang ingatkan PSP yang harganya boleh capai sampai RM850 tu, dua kali pandang memang macam PVP lah, hehe.
Inilah dia PVP Aleiya tu..
..dan yang ini 'tuannya' dengan gaya khusuk habis! Cuma mama harap janganlah sampai terpaksa pakai cermin mata awal sangat ya sayang!
Sunday, August 28, 2011
Travelog Ramadhan : Final Chapter
So, here goes...
Hari kedua puluh lima : Murtabak dengan ais kosong (hari ni edisi sahur terakhir tahun ni di rumah, esok balik kampung, yeay!
Hari kedua puluh enam : Nasi beriyani gam Puan Shamsiah Bibi, ayam "tandoori", papadom, kopi panas dan roti goreng inti kacang hitam..mmm..the best ever!
Hari kedua puluh tujuh : Nasi putih, sup ayam dan telur dadar. Air kopi segera dan biskut kacang.
Hari kedua puluh lapan : Mi goreng dengan keropok. Ais kosong. Titik :-)
Hari kedua puluh sembilan : Sahur terakhir untuk tahun ni...sedih betul..Nasi putih, kari ayam campur kentang, ikan goreng dan sayur peria goreng. Tamat. Terima kasih mak!
Jadinya begitulah. Travelog Ramadhan Hidayah yang tak berapa nak inspirational pun..hehe. Tak berapa puas hati dengan Ramadhan tahun ni. Sebabnya ada banyak, antaranya 1) Masih lagi mengamalkan prinsip dapur petang tanpa asap (tak sekalipun masak untuk berbuka, huhu, kasihan Encik Suamiku itu!!) 2) Tak baca Quran banyak manapun..(Astagfirullah hal aziim) 3) Kurang solat Terawih..huhu..semoga Allah pinjamkan lagi nyawa untuk menebus ketidakpuasan hati ini untuk Ramadhan tahun hadapan. Amin!
Tuesday, August 23, 2011
Travelog Ramadhan 5
Hari kesembilan belas : Maggi. Sekian.
Hari kedua puluh : Hari ni sahur di The Legend Cherating. Oleh sebab semalam dah belasah buffet ingat tak ingat, pagi ni kami cuma jamah sebuku roti Twiggies coklat, segenggam kacang baki semalam dengan air soya sejuk!
Hari kedua puluh satu : Semalam, balik dari Kuantan, Encik Roomate dah siap-siap tapau dua keping roti telur cicah sama kari kacang dal. Bangun pagi, saya cuma tolak masuk dalam microwave dan buatkan segelas susu seorang. Yay! nampak gayanya darjah kemalasan semakin meningkat setiap hari ni!
Hari kedua puluh dua : Roti berlauk yang berinti kentang perisa kari dengan telur sebiji. Nak kacau susu dengan oats pun macam malas, jadi minum saja sirap ais lebih semalam..haha!
Hari kedua puluh tiga : Murtabak bazaar Ramadhan yang manis secara terlampau dengan ais kosong..hehe!
Hari kedua puluh empat : Roti telur Restoran Dinie dengan susu sama oats. Senang. Sedap. Nyum nyum nyum.




