Sunday, February 14, 2010

Raikan Cinta!

Bulan Februari datang lagi. Istimewanya bulan ini di mata saya adalah kerana bulan Februarilah yang menemukan saya dengan En. Roomate dan setahun kemudian di bulan Februari jugalah kami sama-sama memateri kata cinta - Februari 2006, Encik Roomate belikan saya sebentuk cincin tanda - cincin perak cuma, tetapi impaknya telah membuatkan saya kenyang seminggu dengan hanya memandangnya! Cincin yang dibeli dengan wang yang dikeluarkan daripada dompet merah tua yang lusuh itu sudah cukup membuatkan air mata saya menitis di dinihari.

Bulan Februari sering saja dikaitkan dengan cinta. Kalau kita lihat di pusat-pusat membeli-belah, kiosk-kiosk kecil apatah lagi gedung-gedung berjenama hebat, mereka semua saling berlumba-lumba mempamerkan itu dan ini yang kesemuanya mengungkap konotasi cinta. Tapi saya tak pula punya autoriti untuk memberi komen baik buruknya menyambut Hari Kekasih, lagipun subjek itu sudah terlalu banyak kali benar dikupas sehingga sudah menjadi klise benar!

Apa yang penting, di Hari Kekasih 2010, saya telah mendapat sebotol wangian Body Shop yang dah lama benar saya idam-idamkan. Encik Roomate pula nampaknya sangat puas hati dengan set electric shaver yang saya berjaya dapat dengan tawaran yang agak baik. Kami akhiri sambutan kecil kami dengan makan malam yang tenang-tenang di Nando's sebelum Aleiya memutuskan untuk balik cepat dengan 'melangsaikan hajat' di kala kami sedang menamatkan suapan-suapan yang terakhir. Kami pulang ke rumah seusai Aleiya saya mandikan di Baby Room, Jusco Midvalley dan pakaikan pijama kuning air gambar zirafah kegemarannya. Dia tidur nyenyak di pangku saya sebaik saja beberapa minit kereta berjalan.

Bagi kami, kami bukan sama sekali pergi merai Hari Kekasih @ Valentine Day hari ini. Kami cuma pergi meraikan cinta, yang sebetulnya boleh saja dirai bila-bila masa dalam setahun, cuma kami pilih hari ini sebab hari ini kami boleh dapat apa yang kami mahu dengan harga yang lebih rendah, itu sahaja. Maka, salahkah kalau hari yang kami pilih terkebetulan pula jatuh pada 14 Februari? Saya tak fikir begitu.

Sunday, November 8, 2009

Kerongsang

Baru-baru ni seorang teman bawa lima kotak kerongsang ke sekolah. Kerongsang cantik yang ada macam-macam warna. Saya cukup suka dengan kerongsang bentuk daun paku-pakis. Dah lama saya berkenan tapi sering kali tak berkesempatan untuk membeli. Dua tiga hari sebelum itu, En. Roomate sudah belikan sebentuk kerongsang bentuk daun berwarna oren untuk dipadankan dengan tudung merah bata baru saya. Tapi kerongsang yang En. Roomate beli itu agak besar sedikit daripada kerongsang paku-pakis yang saya berkenan ini. Batu 'permata'nya pun ada sampai dua tiga baris berbanding kerongsang paku-pakis yang sangat ringkas dengan permata cuma sebaris sahaja. Diam-diam saya pasang niat untuk tangkap satu - bila En. Roomate dah masuk kelas nanti.

Belumpun belakang kemeja hitam belang-belang milik En. Roomate hilang dari pandangan, saya sudah sampai di meja 'Ustazah Kerongsang'. Saya tenung-tenung isi setiap kotak walaupun sebenarnya dalam hati pilihan sudah ada - warna putih yang boleh senang-senang dipadankan dengan apa saja. Tiba-tiba, muncul seorang teman - guru lelaki yang baru usai mengajar. Saya dengan santai memanggilnya untuk sama-sama datang melihat sambil bercanda agar dia mengambil satu untuk bakal tunangannya. Tanpa banyak soal dia terus letak buku atas meja dan berjalan ke arah saya sambil tersengih-sengih. Saya cepat-cepat 'sambar' kerongsang paku-pakis warna putih, kemudian berkata " Jat, nah, pilihlah semua cantik-cantik".

Lama betul dia membelek. Lepas satu, satu. Diambil, ditilik, diletak. Ambil lagi, ambil satu yang lain, diadukan berdua, letak semula. Saya memerhati, terasa geli hati juga melihat kekoknya orang lelaki memilih kerongsang. Hai..kalaulah bakal tunangnya lihat betapa sungguh-sungguhnya dia memilih, pasti saja perempuan itu akan pakai kerongsang itu nanti ke mana saja, setiap waktu walau ke bilik air sekalipun!

"Mana satu ni Kak Dayah? Semua cantik ni..tapi saya paling suka yang tu lah." Kerongsang putih saya juga yang dia berkenan.
"Hijau ni la cantik..sesuai dengan orang muda, ungu pun boleh tahan juga. Kenapa tidak yang bentuk rama-rama ni? "
"Bentuk rama-rama saya tak hendak..nanti dia terbang". Saya senyum dengan ungkapannya. Saya faham hati orang sedang bercinta.

Akhirnya dia beli tiga, semuanya bentuk bunga besar, bulat. Cuma warna saja lain-lain.
Amboi..tiga sekali beli..maklumlah sedang sayang..

Selepas dia berlalu, sambil bawa kerongsang-kerongsangnya macam menatang minyak, saya terkilas seorang lagi teman yang baru masuk ke bilik guru dari kelas, kali ini seorang teman yang sudah punya anak tiga.
Apabila saya tawarkan kerongsang untuk dia beli buat hadiah kepada isterinya, tahu dia jawab apa? "Huh, tak payah..kalau dia nak pandai-pandailah beli sendiri!"
Aduhai...

Sunday, November 1, 2009

Rindu kepada rindu

Malam hening yang damai
tatkala diam membungkus diri
aku termenung di jendela kayu
dalam bulan yang cuma tinggal sepertiga
dikelilingi bintang yang malu.
Di kala ini
aku jadi rindu kepada rindu
kerana sampai saat ini
aku sudah tidak bisa merasakannya lagi

Wednesday, October 21, 2009

Dia kembar saya

Adik saya yang nombor dua - Noor Syakirah adalah kembar tak seiras saya. Kalau ada apa-apa onar yang saya buat, dialah yang mula-mula jadi tukang sokong, beri sokongan moral supaya saya tak kena marah. Kalau ada sikit-sikit benda baik yang saya buat pun, dia jugalah yang jadi tukang uar-uar supaya semua orang jadi tahu 'kebaikan' saya. Bukan sedikit rahsia saya yang ada dalam kocek dia tapi saya tahu adik saya yang seorang ini orangnya amanah kalau datang bab menyimpan rahsia, sebab tu lah saya berani kongsi macam-macam dengannya.

Masa mula-mula dulu ayah hendak letak nama Noor Eryani padanya, kata ayah maksudnya 'cahaya pintu syurgaku'. Waktu itu, saya dengan yakinnya mengemukakan hujah bahawa sebaik-baiknya nama anak-anak perempuan ayah semuanya harus berakhir dengan huruf 'h'. Lagipun, kalau saya dipanggil 'ida', asu boleh saja dipanggil 'ila', lantas adik yang baru ini boleh kita panggil 'ira'. Kalau dikenang-kenang, cemerlang jugalah idea saya padahal, waktu itu umur saya baru saja sebelas tahun. Kemudian ayah tanya, mahu letak ejaan 'Sya' atau 'Sha'? Saya kata 'Sya' itu akan kedengaran lebih baik, lantas ayah bertanya : Ada beza ye? Saya jawab ya, sebab ejaan 'Sya' itu lebih islamik. Entah di mana saya kutip idea sebegitu.
Itu cerita dulu. Apabila saya kenang-kenangkan semula, saya fikir sebenarnya ayah cuma mahu menduga saya, meneroka cara fikir saya sebab selepas itu saya lihat ayah senyum panjang. Senyum yang beberapa lama kemudian saya kenal sebagai senyum bangga yang ayah akan beri tiap-tiap kali saya banggakan ayah dengan buah fikiran saya.

Saya ingin sekali agar adik saya yang ini boleh jadi seorang doktor. Dulu, saya mana pernah pandai memasang cita-cita lain selain jadi doktor. Masa saya terima surat tawaran kursus Teknologi Industri dulu saya lihat air muka ayah sangat kecewa. Mula-mula masa ayah koyak sampul surat berlambang harimau dengan pelepah pinang itu wajahnya ceria sekali tapi bila saja ayah baca kursus yang saya dapat, serta-merta wajah ceria ayah bertukar mendung. Lepas tu ayah jadi diam. Saya betul-betul tak tahan kalau ayah sampai jadi diam. Saya lebih rela kalau ayah marah-marah atau sekeh saja kepala saya kalau itu boleh buat ayah rasa lebih puas hati. Tapi ayah seperti selalu, tak akan buat perkara-perkara sebegitu, dan kebisuan ayah itu telah menghukum saya dengan lebih dahsyat. Pun begitu, ayah tetap hantar saya pergi belajar dengan senyuman semangat. Ayah tetap usung beg besar saya sampai berbilur bahunya. Ayah tetap ulang-alik ke universiti tiap-tiap hujung semester. Ayah tetap pastikan saya tidak pernah akan terkurang wang. Ayah tetap ayah. Dan saya akan seumur hidup terhutang budi padanya.

Maka, pada adik saya yang ini, saya sandar harapan setinggi puncak Everest. Saya mahu lihat dia jadi doktor, tabibah pertama dalam keluarga. Saya mahu kembalikan senyum pada wajah ayah. Saya mahu emak rasa berbaloi, menyediakan santapan pagi buat kami adik-beradik seawal sebelum subuh, saat ayam jantan pun masih lena bermimpikan kepuk padi. Saya mahu adik bongsu saya terbakar semangatnya untuk jadi anak lelaki yang berjaya macam kakaknya.
Akhir sekali, kerana semua orang biasa mengatakan bahawa dia kembar saya, maka saya ingin sekali agar dia sambut baton di tangan saya ini dan kemudian terus berlari. Kali ini saya benar-benar harap agar dia dapat berlari sehingga sampai. Saya akan tunggu dia di garisan penamat dengan sorakan yang tak pernah putus-putus. Dengan sejambak ros warna biru dan sebuah patung beruang bereben merah.

Sunday, October 18, 2009

Sepeninggalan kamu...

Hari ini hati saya dibawa pergi. Pukul sepuluh pagi tadi ayah, emak, asu dan adik pulang semula ke Terengganu setelah duduk di rumah saya selama 45 jam. 45 jam yang macam mana tu, wahai mak dan ayah? Yang pasti bagi saya 45 jam yang sangat-sangat bermakna dan sangat-sangat berbekas di hati. Saya akan merindui saat-saat manis kita selama-lamanya. Moga tidak serik kamu semua kembali ke teratak daif saya ya. Oh ya, emak dan ayah juga bawa pulang sebahagian dari diri saya bersama-sama - Aleiya, Si Chantek, Si Pelanduk kecil, yang keletah, yang banyak cakap dan suka menyanyi, yang sejak akhir-akhir ini juga sudah pandai menjadi sangat manja.

Memandang tuala hijau yang baru tadi ayah guna, periuk belanga yang baru kejap-kejap tadi emak susun dan bubur ayam yang emak tinggalkan, hati saya menjadi runtun. Senang-senang saja air mata turun tanpa saya sedar. Wah, kalaulah saya terpilih masuk rancangan Macam-macam Aznil segmen menangis-menangis tu saat ini, tentu saya sudah nangis sebelum saja muzik bermula. Harus selepas itu, mungkin saja saya terus-terus saat itu juga dapat tawaran berlakon drama sebab berjaya menghayati watak dengan sangat cekap sampai mengalahkan artis jemputan yang datang segmen yang sama, tapi cuma dapat menangis dalam masa 4-5 kali lebih lama! Betullah kata si Erni Yusniza, kawan zaman kanak-kanak yang baru saya temui semula baru-baru ni, "Oh, awak ni Hidayah, yang manja sangat dengan ayah tu kan?". Wah, sampai begitu sekali dia label saya dalam sistem fail otak dia. "Erni, ya, betullah tu. Sayalah anak manja ayah tu, dan saya masih saja anak manja ayah sampai sekarang".

Tuala hijau ayah tidak akan terus saya basuh. Saya cadang nak guna dulu sampailah tuala tu menjadi busuk sebab dengan begitu saya rasa dekat dengannya. Malam ni pula saya cadang nak tidur atas bantal yang emak guna, biar saya tidur bermimpikannya. Biar saya rasa hangatnya kasih mereka lama-lama. Saat ini, kalau orang tanya apa yang paling ingin saya buat, saya akan jawab yang saya paling ingin peluk Alexander Graham Bell untuk ciptaannya yang amat cemerlang itu. Kalau kini ciptaan itu masih belum wujud, tak sanggup saya lepaskan mereka pulang pagi tadi!

Tuesday, October 13, 2009

Pensel

Masa sekolah rendah, cikgu selalu puji tulisan saya cantik. Daripada Cikgu Rubiah, cikgu Bahasa Melayu darjah satu sampai Cikgu Muhammad, cikgu Bahasa Melayu darjah enam, semuanya suka 'menghayati keindahan' tulisan tangan saya. Sampaikan Cikgu Muhammad bawa balik ke rumah buku karangan saya, buat contoh kepada anak-anak, katanya. Cikgu Abu Bakar pun sama, tunjuk tulisan saya pada anaknya, Rose Aida Baizura (saya ingat nama anaknya sebab bunyinya cantik sangat).

Sebenarnya, saya cuma tiru tulisan ayah. Tulisan ayah sangat cantik dan sangat kemas. Letak aturnya indah sekali. Itu belum lagi ayah tulis pakai pen dakwat. Kalau tulisan berangkai yang ditulis guna pen dakwat milik ayah, di mana-mana dan sampai bila-bila pun saya akan kenal. Terima kasih ayah kerana sudi mengabadikan tulisan yang cantik itu atas cek hantaran perkahwinan saya. Saya sudah simpan dalam album gambar yang InsyaAllah, akan kekal di situ selamanya.

Masa darjah dua, ayah berkata kepada saya, kalau mahu tulisan kemas dan tak kembang, gunalah pensel picit. Pensel tu tak payah asah, cuma kena masukkan ubat aje. Masa tu, manalah banyak sangat pensel jenis mekanikal dijual di kedai, tambahan kedai seperti Kedai Pok Li, sekadar sebuah kedai runcit kampung. Jadi, ayah janji, lain kali kalau ke Kemaman, ingatkan dia tentang hal pensel picit itu, dia akan belikan.

Selang dua minggu, saya ikut ayah ke bandar Kemaman (saya tak pandai memanggilnya 'Chukai' sebab saya tak pernah diajar memanggil begitu). Saya berkitar di belakang ayah, lama saya berhenti di tempat pensel picit tapi ayah tak pula berkata apa-apa. Saya ambil pensel dan main picit-picit dengan harapan ayah perasan dan kemudian jadi teringat akan janjinya. Tapi sampai sudah, ayah tak perasan sebab terlalu sibuk memilih pen khat untuk pertandingan khat peringkat negeri. Lepas beberapa waktu yang saya rasa amat lama, ayah telengkan kepala yang saya faham sebagai isyarat mengajak pulang. Hah, ini tak boleh jadi! Dipendekkan cerita, akhirnya ayah pilih sebatang pensel Papermate warna merah darah ikan yang sangat cantik. Pensel berharga dua ringgit dua puluh sen itu saya bawa pulang dengan rasa sangat bangga.

Di sekolah, semua kawan-kawan tumpang belek pensel picit saya, tapi saya cuma bagi cuba kepada kawan-kawan yang rapat dengan saya saja, yang lain-lain cuma boleh tengok dari jauh saja. Dalam masa seminggu, boleh dikatakan hampir sepuluh orang kawan-kawan saya sudah punya pensel picit. Cuma, tak ada satu pensel pun yang boleh menandingi kecantikan pensel merah saya. Pada pensel itu, saya tampal sticker gambar 'love' warna merah jambu dan gambar bunga yang ada mata dan mulut.

Suatu petang, sedang saya mengemas beg untuk pulang, saya dapati pensel merah saya hilang! Puas saya mencari, isi beg saya keluarkan dan saya belek satu-satu, saya tunggang keluar segala isi kotak pensel, pensel warna pun saya keluarkan satu-satu, saya tanya pada kawan-kawan, semuanya saya tanya termasuk Cikgu Abu Bakar - ada tak nampak pensel picit merah saya? Tapi sampai sepuluh minit lagi nak balik, pensel tu tetap saya tak dapat jumpa. Saya rasa sangat gelisah, saya rasa sangat bersalah pada ayah, apa-apa yang diajarkan oleh Cikgu Abu Bakar, langsung sudah tidak masuk dalam kepala saya.

Tiba-tiba saya terpandang akan Shahrul Nizam. Shahrul Nizam bin Roslan sedang salin sifir lapan dengan pensel Papermate warna merah darah ikan! Sebaik saja loceng berbunyi, saya terpa Shahrul Nizam, saya rampas pensel merahnya. Dia memandang terkulat-kulat. Saya jerit kuat-kuat, saya kata Shahrul Nizam ambil pensel saya. Ida Afdzan, Suzzila dan Siti Rokiah cepat-cepat 'memberi sokongan moral'. Shahrul Nizam pula mati-mati menafikan. Kasihan juga saya tengok dia waktu itu, tapi saya mana peduli sangat, yang saya tahu, pulang hari ni saya mesti bawa balik pensel picit warna merah, tak kira macam mana caranya. Tak kira saya punya atau tidak.

Waktu saya pegang pensel tu, saya serta-merta tahu itu bukan pensel saya. Sebabnya ada dua, pertama, pensel itu sangat buruk dan ada banyak kesan gigit sedangkan pensel saya masih baru dan kedua tak ada langsung kesan gam sticker pada pensel itu. Walau macamanapun, saat Cikgu Abu Bakar datang terkocoh-kocoh dalam kumpulan budak-budak yang sedang bertengkar itu, saya cepat-cepat reka cerita sambil menangis teresak-esak.

Kesudahannya, cikgu suruh saya pulang dan cikgu pujuk Shahrul Nizam supaya beli saja pensel baru lagipun, pensel itu sudah tak cantik lagi. Saya pulang dengan gembira, sambil menggenggam pensel merah Shahrul Nizam. Lepas mandi malam itu, tiba-tiba baru saya teringat yang saya sebenarnya dah tertinggal pensel picit saya dalam bilik muzik! Aduh, kasihan Si Shahrul Nizam! Sebelum balik tadi, saya lihat dia turut menangis, mungkin dek kerana terkejut dituduh mencuri pensel. Ketika saya kembali ke bilik muzik pada minggu depannya, pensel saya memang betul-betul sudah hilang. Dalam pada itu, hampir seminggu juga Shahrul Nizam tak menegur saya.

Semasa Malam Potpourri, kami murid-murid 2 Intan menari lagu Ramlah Ram - Apa Khabarmu Di Sana. Ada 5 pasangan semuanya. Saya salah seorang daripadanya. Saya pakai gaun biru dan reben segala bagai. Dan saya menari berpasangan dengan Shahrul Nizam. Budak yang penselnya saya 'cilok' dengan jayanya itu.

Ilham di lewat dinihari

Semalam, sedang saya berbual-bual dengan seorang teman tiba-tiba Cik Ilham datang ketuk pintu. Cik Ilham kalau dah datang, tak bolehlah saya pura-pura buat tak endah sebab dia akan ekori saya juga sampailah saya tulis apa yang dibisikkannya ke telinga saya. Bisikannya kali ini berupa sebuah karangan puisi.
Puisi ini tidak ada kena-mengena dengan apa-apa atau siapa-siapa, cuma sebuah untaian kata gubahan rasa daripada seorang perempuan yang biasa-biasa seperti saya.

Duhai angin khabarkanlah

Khabarkan padaku wahai angin
tentang cerita dia
walau mendengarnya bakal memanggang aku dengan api derita
sekurang-kurangnya tidaklah aku terus tertanya-tanya.

Khabarkanlah padaku wahai sang angin
sedang apakah dia
lantaran lisan ini tidak lagi mampu bersabda
ain ini tidak lagi mampu menyapa
dan diri ini tidak lagi mampu bertanya.

Maka, tolonglah kau khabarkan padaku wahai sang angin
di manakah dia gantung hati pemberianku
sudahkah ia kering dipanah terik mentari
atau dingin beku di sejuk dinihari?

Aku merayu agar kau khabarkan padaku duhai angin semilir yang baik hati
di mana hatiku?
agar dapat kujejaki ia
agar dapat kucantum kembali keping-kepingnya
kurawat calar-balarnya
kusapu ubat mujarab pada lukanya
dan supaya dapat kubasuh dengan air telaga biru
sebelum kuisi ia kembali ke dalam dadaku
dada yang kini tidak lebih daripada
sebuah kolong yang kosong.

Semoga ketabahan sentiasa mengiringi insan-insan yang diuji!